Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1444H / 2023M Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Pada 10 Syawal 1444 bersamaan 1 Mei 2023, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Negara Brunei Darussalam.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat bercemar duli ke majlis ini berserta Kerabat Diraja.
Majlis ini adalah merupakan kali ke-19 dianjurkan sejak ia telah mula diadakan pada tahun 2003. Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengumpulkan para peserta daripada latar belakang yang berbeza setiap tahun dalam memberikan kesempatan kepada mereka menyembahkan junjung kasih dalam suasana yang lebih mesra dan meriah. Mereka ini terdiri daripada kumpulan masyarakat yang dikenalpasti dapat memberikan kepentingan dalam menjana kesejahteraan, kebajikan dan kepentingan kepada ugama, bangsa dan negara.
Dengan limpah kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, majlis tahun ini bertemakan “MEMPERKASAKAN PENGLIBATAN MASYARAKAT DALAM MENCAPAI WAWASAN BRUNEI 2035”. Tema ini adalah disejajarkan dengan usaha ke arah mendukung Wawasan Brunei 2035 yang merupakan gagasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi memastikan Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah negara yang mempunyai rakyat dan penduduk yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya; menikmati kualiti kehidupan yang tinggi; dan mempunyai ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.
Tema ini dipilih bagi memberikan kesedaran kepada setiap lapisan masyarakat bagi memperkasa potensi diri dan mengambil peranan masing-masing dalam mendukung Wawasan Brunei 2035. Setiap lapisan rakyat dan penduduk memainkan peranan penting bagi menjadikan diri masing-masing proaktif dan produktif agar dapat menjadi aset yang berguna kepada pembangunan agama, bangsa dan negara. Setiap sektor sama ada sektor kerajaan, swasta mahu pun badan bukan kerajaan adalah dihasratkan dapat bersama-sama berganding bahu menggembleng tenaga dan kepakaran dalam merealisasikan agenda utama pembangunan negara ke arah Wawasan Brunei 2035.
Bersesuaian dengan tema yang dipilih, dua kumpulan peserta diketengahkan dalam majlis tahun ini. Kumpulan pertama terdiri daripada kombinasi dari wakil warga emas, para belia dan generasi muda iaitu golongan para pelajar. Mereka ini mewakili segenap lapisan masyarakat yang mempunyai peranan masing-masing dalam mendukung dan menjayakan Wawasan Brunei 2035.
Kumpulan peserta kedua pula terdiri daripada para pegawai dan kakitangan dari Syarikat Berkaitan Kerajaan (Government Linked Companies – GLC) dan Syarikat Swasta serta Badan-Badan Berkebajikan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (Non-Governmental Organisation – NGO) dengan fokus kepada isu Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibilities – CSR). Mereka ini diketengahkan bagi memberi inspirasi dan penghargaan terhadap usaha dan komitmen mereka dalam mendukung wawasan dan aspirasi negara bagi membantu meningkatkan taraf sara diri masyarakat yang memerlukan bantuan. Usaha mereka ini setentunya dapat memberikan impak positif terhadap kesejahteraan awam dan menjadi pemangkin kepada pembangunan negara yang lebih berdaya tahan, inklusif dan dinamik.
Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar’ie, Mahkamah Syariah. Ini diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Acara kemuncak majlis ialah titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Aturcara majlis diteruskan dengan tayangan video bertajuk “MEMPERKASAKAN PENGLIBATAN MASYARAKAT DALAM MENCAPAI WAWASAN BRUNEI 2035” yang antara lain memaparkan penglibatan aktif seluruh lapisan masyarakat sama ada dalam sektor kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan mahu pun para sukarelawan secara proaktif memainkan peranan masing-masing dengan pendekatan senegara yang mantap (Whole of Nation Approach) bagi mendukung aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Majlis diserikan dengan persembahan pentas daripada para pelajar Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu gabungan daripada kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-Kanak, murid-murid Sekolah Rendah dan penuntut-penuntut Sekolah Menengah dengan pimpinan tenaga pengajar Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan turut dibantu oleh Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Format pameran bagi majlis sambutan tahun ini berkonsepkan “Rumah Terbuka” dengan suasana keharmonian Hari Raya yang disertai oleh 18 buah Syarikat Berkaitan Kerajaan (Government Linked Companies – GLC) dan badan-badan bukan kerajaan yang terlibat aktif dalam aktiviti pembangunan masyarakat. Sekretariat Wawasan Brunei 2035 juga turut sama mempamerkan inisiatif dan tindakan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan ke arah matlamat Wawasan Brunei 2035.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam seterusnya berkenan beramah mesra dengan semua peserta yang hadir. Di samping memberi kesempatan peluang kepada para peserta untuk beramah-mesra dengan raja yang sangat dikasihi, majlis ini juga setentunya akan memberi inspirasi dan perangsang kepada para peserta dalam melaksanakan peranan mereka masing-masing.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap serta para jemputan khas.