Pada 14 Jamadilawal 1447 bersamaan 5 November 2025, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersama-sama Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama menganjurkan Majlis Perletakan Batu Asas Bangunan Sekolah Ugama Kampong Bolkiah bertempat di Tapak Bangunan Sekolah Ugama Kampong Bolkiah, Kampong Bolkiah ‘A’, Jalan Kasat, Mukim Sungai Kebun, Negara Brunei Darussalam.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Laungan Azan dan Bacaan Zikir Perletakan Batu Asas secara beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Mohd. Amiruddin bin Pengiran Haji Tejuddin, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampong Kasat.

Majlis diteruskan dengan Upacara Menuang Simen yang didahului oleh tetamu-tetamu kehormat dan diikuti oleh para jemputan khas. 

Taklimat mengenai Rekabentuk Bangunan Baru bagi Sekolah Ugama Kampong Bolkiah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Zuri Maszamri bin Haji Majid, Arkitek, Jabatan Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, Negara Brunei Darussalam.

Pembinaan bangunan baru Sekolah Ugama adalah bagi melengkapkan keperluan penduduk di Kampong Bolkiah ‘A’ dan Kampong Bolkiah ‘B’ serta kawasan sekitarnya.  Pada ketika ini, anak-anak buah Kampong Bolkiah ‘A’ dan Kampong Bolkiah ‘B’ mengikuti pengajian sekolah ugama di bangunan sementara iaitu menggunakan tujuh buah rumah di Kampong Bolkiah ‘B’.  Pembinaan bangunan baru Sekolah Ugama ini dijangka siap pada akhir tahun 2026.

Dalam masa yang sama iaitu mengambil kira mengenai keperluan sekolah rendah bagi anak-anak buah Kampong Bolkiah ‘A’ dan Kampong Bolkiah ‘B’ serta sekitarnya, bangunan baru Sekolah Ugama ini juga akan digunakan secara guna sama bagi Sekolah Rendah. 

Selaras dengan pendekatan senegara yang mantap (Whole of Nation Approach), kos pembinaan bangunan Sekolah Ugama tersebut yang bernilai lebih BND12.4 juta dibiayai bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. 

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Mulia Pengiran Mohd. Amiruddin bin Pengiran Haji Tejuddin, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampong Kasat.