Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Masjid/Surau/Balai Ibadat dalam Menangani Jangkitan COVID-19
Negara Brunei Darussalam juga tidak terlepas dari menghadapi musibah wabak COVID-19 yang melanda dunia pada masa ini. Walaupun negara kita tidak mencatatkan sebarang jangkitan lagi, akan tetapi setiap individu di negara ini masih disarankan untuk melaksanakan tanggungjawab sosial seperti yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan, Negara Brunei Darussalam.
Sebagai sokongan Yayasan terhadap langkah-langkah penjagaan dan keselamatan dalam menangani wabak COVID-19 di negara ini, Yayasan pada 21 Zulkaedah 1441 bersamaan 13 Julai 2020 menyampaikan sumbangan berjumlah BND50,000 bagi keperluan peralatan kebersihan dan keselamatan khusus bagi masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara yang memerlukan. Sumbangan tersebut dihasratkan dapat membantu dalam penjagaan kebersihan masjid, surau dan balai ibadat untuk menjamin kesejahteraan para jemaah masjid.
Sumbangan daripada Yayasan disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan diterima oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Juga hadir ialah Yang Mulia Dr. Dayang Nor Imtihan binti Hj Abd Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.