Majlis Penutup Perkhemahan Motivasi Program Intervensi Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 2024
Seramai 75 orang pelajar terpilih menyertai Perkhemahan Motivasi Program Intervensi Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Para pelajar tersebut terdiri daripada pelajar-pelajar Tahun 11 dan Darjah 6 sekolah ugama yang mengikuti projek kelas tuisyen di bawah Program Intervensi Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (PIP) dari tujuh buah pusat kelas tuisyen Program Intervensi Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di seluruh negara.
Perkhemahan Motivasi Program Intervensi Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah diadakan selama tiga hari bermula 6 Ogos 2024 di Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampong Rimba. Majlis Penutup Perkhemahan Motivasi diadakan pada 3 Safar 1446 bersamaan 8 Ogos 2024 dengan acara penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Awang Haji Abdullah @Dollah bin Haji Ahad, Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Acara penutup perkhemahan juga menyaksikan ucapan daripada Ketua Komandan Perkhemahan iaitu Ustaz Mohamad Hazrin bin Daud dan diikuti oleh tiga orang wakil peserta iaitu Awang Syabil bin Abdullah, Awang Mohamad Azhuari bin Mal Rosman dan Dayang Nur Nazifa Azirah binti Haji Abdul Hamid menyampaikan ucapan penghargaan.
Perkhemahan Motivasi merupakan salah satu projek di bawah Program Intervensi Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan diadakan sempena cuti penggal persekolahan. Tujuan perkhemahan adalah bagi menanam semangat yang positif dan membangun serta membentuk para pelajar untuk menjadi orang yang beriman, berdisiplin, berkeyakinan, bertanggungjawab dan berwibawa yang menjadi asas untuk membantu mereka meraih kejayaan dalam kehidupan.
Projek Kelas Tuisyen di bawah Program Intervensi Pendidikan (PIP) adalah salah satu inisiatif Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah khusus bagi membantu mempertingkatkan pencapaian pendidikan anak-anak dari keluarga yang berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan yang dikenalpasti sebagai memerlukan bimbingan rapi dalam bidang akademi sepaya mereka dapat meneruskan pengajian dengan sempurna hingga ke peringkat yang lebih tinggi.