Seramai 72 orang pelajar terpilih menyertai Perkhemahan Motivasi Program Intervensi Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.  Para pelajar tersebut terdiri daripada pelajar-pelajar Tahun 11 dan Darjah 6 sekolah ugama yang mengikuti projek kelas tuisyen di bawah Program Intervensi Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (PIP) dari tujuh buah pusat kelas tuisyen Program Intervensi Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di seluruh negara.

Perkhemahan Motivasi Program Intervensi Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah diadakan selama tiga hari bermula 23 Ogos 2023 di Pusat Tingkatan Enam Tutong, Daerah Tutong. Majlis Penutup Perkhemahan Motivasi diadakan pada hari ini (25 Ogos 2023) dengan acara penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta dan penyampaian sijil-sijil penghargaan kepada fasilitator. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman, Penolong Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei selaku Pemangku Pengarah Urusan dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Acara penutup perkhemahan juga menyaksikan ucapan daripada Ketua Komandan Perkhemahan iaitu Awangku Hafizzulnazri bin Pengiran Ghani dan diikuti oleh dua orang wakil peserta iaitu Awang Muhd Nur Razeeq bin Abdul Razak dan Dayang Nurin Sakinah binti Md Zulfikarali menyampaikan ucapan penghargaan.

Semasa majlis ini juga disampaikan sumbangan khusus untuk surau di Pusat Tingkatan Enam Tutong berupa 15 gulung sejadah dan 6 buah kipas angin.  Sumbangan ini diterima oleh Yang Mulia Cikgu Haji Azrin bin Haji Bolhassan, Pemangku Pengetua Pusat Tingkatan Enam Tutong.

Perkhemahan Motivasi merupakan salah satu projek di bawah Program Intervensi Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan diadakan sempena cuti penggal persekolahan.  Tujuan perkhemahan adalah bagi menanam semangat yang positif dan membangun serta membentuk para pelajar untuk menjadi orang yang beriman, berdisiplin, berkeyakinan, bertanggungjawab dan berwibawa yang menjadi asas untuk membantu mereka meraih kejayaan dalam kehidupan.  Projek Kelas Tuisyen di bawah Program Intervensi Pendidikan (PIP) adalah salah satu inisiatif Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah khusus bagi membantu mempertingkatkan pencapaian pendidikan anak-anak dari keluarga yang berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan yang dikenalpasti sebagai memerlukan bimbingan rapi dalam bidang akademi sepaya mereka dapat meneruskan pengajian dengan sempurna hingga ke peringkat yang lebih tinggi.