Majlis Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi Sesi Pengajian 2024/2025 telah diadakan pada 28 Safar 1446 bersamaan 2 September 2024 bertempat di Istana Nurul Iman, Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bagi menyempurnakan anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini. 

Turut berkenan berangkat ke majlis ini ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Pada tahun ini, seramai lima orang penuntut telah berjaya menerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2024/2025. Mereka ialah:

  • Dayang Nur Hidayah Haziyah binti Handrie adalah lepasan penuntut Sekolah Antarabangsa Jerudong dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Environmental Geoscience di University College, London.
  • Awang Muhammad Asfa Radhi bin Mohammad Yusran adalah lepasan penuntut Pusat Tingkatan Enam Tutong dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Engineering (Honours) (Chemical Engineering) di University of New South Wales Sydney, Australia.
  • Awang Muhammad Nafeez bin Haji Arbaie adalah lepasan penuntut Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Data Science and Decisions di University of New South Wales Sydney, Australia.
  • Awang Muhammad Afiq bin Abdul Rahman adalah lepasan penuntut Sekolah Antarabangsa Jerudong dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Mathematics di University College London, United Kingdom.
  • Awangku Mohammad Idris Fadhlee bin Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim adalah lepasan penuntut Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Syariah Islamiyyah di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menyempurnakan penyampaian anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2024/2025 kepada kelima-lima orang penerima.

Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abd Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga berkenan beramah mesra dengan penerima-penerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar”.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bergambar ramai bersama penerima-penerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar”.

Turut hadir di majlis ini ialah Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Jawatankuasa Pandu Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama; pegawai-pegawai kanan Jabatan Kerajaan yang berkenaan dan pegawai-pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah;  sebahagian Alumni “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan sebahagian Pengetua-Pengetua dari institusi-institusi tingkatan enam di seluruh negara.