Majlis Penandatanganan Perjanjian Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Sesi Pengajian Tahun 2025/2026
Pada 11 Rabiulawal 1447 bersamaan 4 September 2025, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Penandatanganan Perjanjian Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian tahun 2025/2026 bertempat di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Majlis Penandatanganan Perjanjian bagi penerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah kesinambungan daripada Majlis Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Haji Hassanal Bolkiah 2024/2025 yang juga telah berlangsung pada hari ini di Istana Nurul Iman.
Seramai lima orang penuntut yang berjaya menerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2024/2025 hadir menandatangani perjanjian di majlis ini. Mereka ialah:
- Awangku Muhammad Eljaz Mateen bin Pengiran Muhammad Khairul Nizam adalah lepasan penuntut Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan melalui biasiswa “sultan’s scholar” beliau akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Fizik (MSci in Physics) di University of College London, United Kingdom.
- Awang Ahmad Danish Hakimi bin Shufiady adalah lepasan penuntut Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Sains – Matematik dan Statistik (Bachelor of Science – Major in Mathematics and Statistics) di University of Melbourne, Australia.
- Awang Muhammad Saedon bin Haji Sahralidin adalah lepasan penuntut Sekolah Antarabangsa Jerudong dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Perubatan, Pembedahan dan Obstetrik (Bachelor in Medicine, Bachelor in Surgery and Bachelor in Obstetrics) di Trinity College Dublin, The University of Dublin, Republic of Ireland.
- Awang Muhammad Mughni bin Haji Mohd Salleh adalah lepasan penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Takhassus Al-Quran Wal Qiraat di Ma’had Qiraat Shoubra, Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.
- Dayang Dayana binti Adi Rani Soffian adalah lepasan penuntut Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Syariah Islamiyyah di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.
Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Yang Mulia Pengiran Haji Muhammad Wafiuddin bin Pengiran Haji Zulkarnain, Pegawai Buhuth, Jabatan Mufti Kerajaan yang juga Alumni “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Acara majlis diteruskan dengan menandatangani perjanjian penerimaan biasiswa bagi kelima-lima orang penerima biasiswa yang ditemani bersama dua orang penjamin yang terdiri daripada ibu bapa mereka atau ahli keluarga terdekat. Penandatanganan perjanjian bagi pihak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dilakukan oleh Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersama dengan Yang Mulia Mejar (B) Awang Sopian bin Haji Mohammad Yassin, Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan disaksikan oleh tetamu kehormat majlis, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan khusus bagi para penerima biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang akan bertolak dari Negara Brunei Darussalam bagi meneruskan pengajian masing-masing.
Turut hadir di majlis ini ialah Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Ahli-Ahli Jawatankuasa Pandu Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama; Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, para ibu bapa dan ahli keluarga penerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; pegawai-pegawai kanan Jabatan Kerajaan yang berkenaan dan pegawai-pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; alumni “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan sebahagian Pengetua-Pengetua dari institusi-institusi tingkatan enam di seluruh negara.
Sejajar dengan salah satu matlamat utama Wawasan Brunei 2035 iaitu bagi melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah program pembangunan kapasiti manusia yang bertujuan bagi melahirkan generasi penerus yang akan membarisi tampuk kepimpinan bagi kepentingan ugama, bangsa, raja dan negara serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.