Pada 18 Rejab 1442 bersamaan 2 Mac 2021, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Penandatanganan Perjanjian Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Sesi Pengajian Tahun 2020/2021 iaitu Perjanjian bagi Meninggi Tahap Pengajian bertempat di Bilik Al-Muzakarah, Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis ini ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Dua orang penuntut biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Haji Hassanal Bolkiah yang menerima anugerah bagi meninggikan tahap pengajian adalah Dayang Hajah Izzatul Faizah binti Dr. Haji Mohamad dan Awang Muhammad Aiman Syafiq bin Haji Ramlee. 

Kedua-dua pelajar tersebut telah menerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah semasa Majlis Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang dianugerahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 22 Zuhlhijjah 1437 bersamaan 24 September 2016 lalu.

Dayang Hajah Izzatul Faizah binti Dr. Haji Mohamad akan meninggi tahap pengajian di peringkat Postgraduate Diploma Bar Vocational Studies (with specialism) di The City Law School, City, University of London, United Kingdom.  Sebelum ini, Dayang Hajah Izzatul Faizah telah mengikuti pengajian dalam jurusan Undang-Undang (LLB Law) di London School of Economics & Political Sciences, United Kingdom.

Awang Muhammad Aiman Syafiq bin Haji Ramlee akan meninggi tahap pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Radiation di University of Cambridge, United Kingdom. Sebelum ini, Awang Muhammad Aiman Syafiq telah mengikuti pengajian BEng Biomedical Engineering, University College London, United Kingdom. Pada tahun 2019, Awang Muhammad Aiman Syafiq telah juga menerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Haji Hassanal Bolkiah bagi meninggikan tahap pengajian ke peringkat Sarjana dalam kursus Msc Radiation Biology di University Oxford, United Kingdom.  Awang Muhammad Aiman Syafiq juga menerima insentif daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada tahun 2019 kerana telah mendapat keputusan cemerlang dalam pengajian dengan mendapat Kepujian Kelas Pertama (First Class Honours) BEng Biomedical Engineering, University College London, United Kingdom. 

Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Yang Mulia Pengiran Azliman bin Pengiran Haji Othman, Pemangku Pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. 

Acara majlis diteruskan dengan menandatangani perjanjian penganugerahan biasiswa bagi Dayang Hajah Izzatul Faizah dan Awang Muhammad Aiman Syafiq yang masing-masing ditemani bersama dua orang penjamin yang terdiri daripada ibu bapa mereka atau ahli keluarga terdekat.  Manakala bagi pihak Yayasan pula, penandatanganan dilakukan oleh Yang Mulia Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan SELAKU Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersama dengan Yang Mulia Awang Haji Puasa bin Haji Jumat, Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan disaksikan oleh tetamu kehormat majlis.

Turut hadir di majlis ini ialah para ibu bapa dan ahli keluarga penerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Adalah menjadi harapan dengan adanya biasiswa seumpama ini akan dapat melahirkan pemimpin yang cemerlang, menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara serta menjadi generasi penerus yang akan membarisi tampuk kepimpinan bagi kepentingan ugama, raja dan negara.