Salah satu tujuan penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam bidang kebajikan ialah mempertingkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat dengan menyediakan skim bantuan kepada golongan yang memerlukan seperti skim bantuan perumahan.

Tempat kediaman merupakan keperluan asasi dalam kehidupan.  Menyediakan tempat kediaman yang selamat kepada golongan yang memerlukan adalah selaras dengan tujuan penubuhan Yayasan dalam bidang kebajikan.  Bantuan tersebut juga sejajar dengan Matlamat Strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu Mengimbangi Pemedulian Keperluan Asasi.

Pada 26 Rabiulakhir 1446 bersamaan 30 Oktober 2024, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Menandatangani Kontrak Perjanjian Pembinaan Rumah Bantuan di bawah Bantuan Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bertempat di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan. 

Bagi kontrak perjanjian ini, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah akan membina sebanyak lima buah rumah bantuan, iaitu sebanyak tiga buah rumah di Daerah Temburong yang dikontrakkan kepada Syarikat The Ruman Power Co; dan satu buah rumah di Daerah Belait dan satu buah rumah di Daerah Brunei Muara yang dikontrakkan kepada Syarikat Impian Reka Bina Sdn Bhd. 

Sebanyak dua jenis banglo akan dibangunkan iaitu sebuah banglo yang mempunyai dua buah bilik tidur dan sebuah banglo lagi mempunyai tiga buah bilik tidur.  Projek pembinaan rumah bantuan baharu ini akan bermula pada bulan November 2024 dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Februari 2025.

Konsep dan rekabentuk bagi pembinaan rumah bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah lebih moden dan setara dengan teknologi semasa dalam keperluan pembangunan rumah kos rendah yang juga dapat disiapkan sepenuhnya dalam jangkamasa pendek.

Projek bantuan perumahan di bawah Bantuan Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dikhususkan kepada rakyat yang kurang berkemampuan dan keadaan tempat tinggal mereka daif dan tidak selamat untuk didiami.  Bantuan ini juga dihasratkan bagi memberikan mereka peluang untuk memperbaiki taraf hidup keluarga dalam semua aspek kehidupan.

Dari mula projek bantuan perumahan dilaksanakan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada tahun 1996 sehingga kini, sebanyak 176 buah rumah telah dibina di seluruh negara bagi memberikan harapan baru kepada 176 buah keluarga untuk meneruskan kehidupan harian mereka dalam persekitaran rumah yang selesa dan selamat.

Majlis Menandatangani Kontrak Perjanjian Pembinaan Rumah Bantuan di bawah Bantuan Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan menandatangani Kontrak Perjanjian Pembinaan Rumah Bantuan di bawah Bantuan Skim Bantuan Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah antara Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan kedua-dua syarikat yang dilantik iaitu Syarikat The Ruman Power Co dan juga Syarikat Impian Reka Bina Sdn Bhd. 

Menandatangani bagi pihak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmibin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan juga Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.  Penandatangan Kontrak Perjanjian disaksikan oleh tetamu kehormat majlis, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Turut hadir di majlis ini ialah Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Awang Nasir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Pemangku Penghulu Mukim Zon 1, Daerah Temburong; Pegawai-Pegawai Kanan di jabatan kerajaan yang berkenaan, serta pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.