Pada 11 Jamadilakhir 1446 bersamaan 13 Disember 2024, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Memulakan Tiang Rumah-Rumah Bantuan bagi Projek Pembinaan Lima Buah Rumah Bantuan Baharu di Daerah Brunei Muara, Daerah Belait dan Daerah Temburong di bawah Bantuan Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Tahun 2024.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan majlis ini ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Antara tujuan utama penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat, termasuk memberikan pemedulian terhadap keperluan asasi seperti tempat tinggal yang sempurna kepada golongan yang memerlukan. Projek pembinaan rumah bantuan ini merupakan salah satu inisiatif Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam mencapai matlamat tersebut.

Majlis hari ini bermula di tapak pembinaan bagi salah seorang penerima rumah bantuan, Yang Mulia Dayang Rokiah Anak Pagan bertempat di 1076 C, Kampong Amo B, Jalan Batang Duri, Daerah Temburong.

Sebanyak lima buah rumah bantuan akan dibina di bawah projek ini. Tiga buah rumah di Daerah Temburong dikontrakkan kepada Syarikat The Ruman Power Co, manakala satu buah rumah masing-masing di Daerah Belait dan Daerah Brunei Muara dikontrakkan kepada Syarikat Impian Reka Bina Sdn Bhd.

Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2025 dan merangkumi dua jenis banglo iaitu sebuah banglo dengan dua bilik tidur; dan sebuah banglo dengan tiga bilik tidur.

Rekabentuk rumah bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah lebih moden dan mengikut teknologi semasa, setara dengan keperluan rumah kos rendah. Pembinaan ini juga dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang singkat, memastikan penerima dapat mendiami rumah mereka dengan selesa sebelum menjelangnya Hari Raya.

Rumah-rumah bantuan ini dikhususkan kepada rakyat yang kurang berkemampuan, terutamanya mereka yang tinggal di kediaman yang daif dan tidak selamat untuk didiami. Ia bertujuan memberikan peluang kepada penerima dan keluarga mereka untuk memperbaiki taraf hidup dari segi sosial, ekonomi, dan kesejahteraan keseluruhan.

Turut hadir ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan juga Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Juga turut hadir di majlis ini Ahli-Ahli Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan; Yang Mulia Dr. Dayang Nor Imtihan binti Hj Abd Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan yang berkenaan serta Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.