Pada 14 Ramadan 1445 bersamaan 25 Mac 2024, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena Bulan Ramadan 1445H bertempat di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Berangkat ke majlis ini ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan takhtim Al-Quran dipimpin oleh Yang Mulia Ustaz Dr. Haji Samsul Muawan bin Haji Shodiq, Guru Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Bagi majlis ini, seramai 30 orang pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah mengkhatamkan bacaan Al-Quran masing-masing. 

Majlis diteruskan dengan Doa Khatam dan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustapa bin Haji Murad. Majlis selanjutnya diteruskan lagi dengan majlis berbuka puasa dan sembahyang fardhu Maghrib berjemaah.

Menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selakuAhli Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan selakuPemangku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Juga hadir di majlis ini ialah Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan; Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim; para jemputan, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan; serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.