Majlis Doa Selamat Permulaan Penulisan Mushaf Jubli Intan Menaiki Takhta
Pada 6 Ramadan 1447 bersamaan 24 Februari 2026, Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (PPKKI-YSHHB) mengadakan Majlis Doa Selamat Permulaan Penulisan Mushaf Jubli Intan Menaiki Takhta.
Adapun Mushaf Jubli Intan Menaiki Takhta tersebut adalah Mushaf keluaran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang akan dihasilkan oleh penulis khat (khatat) daripada Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Usaha ini adalah bagi menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mendukung aspirasi negara untuk menjadi sebuah Negara Zikir dan merealisasikan Wawasan Brunei 2035 dalam melahirkan dan membentuk rakyat khususnya belia-belia yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi.
Mushaf ini akan dihasilkan sebagai manuskrip terunggul Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan ristaan bersempena Sambutan Jubli Intan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mui’zzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam 60 Tahun Menaiki Takhta Tahun 2027.
Projek Penulisan Mushaf Jubli Intan Menaiki Takhta ini adalah merupakan salah satu usaha berterusan PPKKI-YSHHB dalam melatih dan menyiapkan generasi penerus dari kalangan belia-belia yang mampu menguasai dan menghayati nilai-nilai seni Islam khususnya Seni Mushaf.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Lembaga Tadbir Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Penulisan Mushaf Jubli Intan Menaiki Takhta.
Turut hadir Yang Mulia Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah selaku Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Penulisan Mushaf Jubli Intan Menaiki Takhta; dan Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), selaku Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Penulisan Mushaf Jubli Intan Menaiki Takhta.