Pada 12 Zulhijjah 1444 bersamaan 1 Julai 2023, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Memperingati Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Yang Ke-40 Tahun di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan berangkat ke majlis ini. 

Menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Ahli Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri selaku Ahli Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Yang  Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah;.

Aturcara majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib berjemaah dan diikuti dengan bacaan Surah Yaasin.  Seterusnya majlis diteruskan dengan bacaan Doa Kesyukuran Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Yang Ke-40 Tahun dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustapa bin Haji Murat. Majlis diteruskan dengan Sembahyang Fardu Isyak berjemaah.

Di Majlis ini Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan memotong kek Ulang Tahun Puja Usia dan menerima pesambah daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah diputerakan pada 19 Ramadan 1403 Hijrah bersamaan 30 Jun 1983 Masihi.  Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik telah dilantik menjadi Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 18 Jamadilakhir 1434 bersamaan 1 Mac 2013.  Menerajui pucuk pimpinan tertinggi di Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik sangat prihatin terhadap pengurusan dan perkembangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.  Duli Yang Teramat Mulia juga sering berkenan mempengerusikan mesyuarat Jemaah Tadbir, meninjau dan melibatkan diri dalam apa jua projek dan aktiviti yang diusahakan dan dianjurkan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Sempena Majlis Doa Kesyukuran Sempena Memperingati Hari Ulang Tahun Puja Usia

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ke-40 Tahun, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah BND70,000.00 kepada sembilan buah persatuan atau badan sukarelawan yang mengendalikan program-program kemasyarakatan kepada golongan-golongan tertentu.  Sebanyak lima buah persatuan terdiri daripada badan sukarelawan yang memberikan pemedulian terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan orang kelainan upaya.  Kesemua persatuan tersebut bergabung dengan Majlis Kesejahteraan OKU (MKOKU).  Manakala sebanyak empat buah persatuan lagi adalah terdiri daripada badan sukarelawan yang mengendalikan program kebajikan dan kesejahteraan saudara-saudara baru.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan menyempurnakan Penyampaian Sumbangan Kewangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada para penerima yang mewakili persatuan masing-masing, iaitu

  • Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Zainal bin Haji Momin, Yang Di-Pertua Persatuan Kanak-Kanak Cacat (KACA) Negara Brunei Darussalam;
  • Yang Mulia Awang Muhamad Hamzi bin Omar, Yang Di-Pertua Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNAB);
  • Yang Mulia Dayang Hajah Siti Zaliha binti Haji Abu Salim, Timbalan Yang Di-Pertua Persatuan Sindrom Down (ABLE);
  • Yang Mulia Dayang Hajah Rokiah binti Haji Bujang, Setiausaha Persatuan Orang-Orang Cacat Berkerusi Roda dan Orang-Orang Cacat Anggota (PAPDA);
  • Yang Mulia Pengiran Haji Norhalim bin Pengiran Haji Abd Rahman, Yang Di-Pertua Persatuan Orang Kurang Pendengaran Kebangsaan (OKP);
  • Yang Mulia Awang Haji Mohamad Hazwan bin Abdullah, wakil Persatuan Nurul Islam (PNI) Daerah Brunei dan Muara;
  • Yang Mulia Dayang Hajah Rohaidah Anizah binti Mohamad Kamsani, Setiausaha Agung Persatuan Saudara-Saudara Baru Daerah Tutong (PESATU) – Bergabung dengan Badan Kebajikan BASKIM, Kiudang;
  • Yang Mulia Dayang Hamsyesulaina binti Abdullah, Setiausaha Agung Persatuan Sinar Islam Daerah Belait
  • Yang Mulia Awang Muhammad Ashim Amrullah bin Abd Rahman, Yang Di-Pertua Persatuan Saudara-Saudara Baru Temburong

Sumbangan kepada lima buah badan sukarelawan yang bergabung dengan Majlis Kesejahteraan OKU adalah merupakan sokongan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah terhadap usaha badan-badan berkenaan dalam memberikan pemedulian terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan OKU.  Golongan OKU sewajarnya diberikan bimbingan, didikan dan kemahiran supaya mereka menjadi individu yang berjaya dan mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara.  Sokongan ini adalah selaras dengan objektif penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam bidang kebajikan.

Sokongan kepada empat buah persatuan yang memeduli kebajikan saudara baru juga adalah selaras dengan objektif penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam bidang ugama iaitu ke arah usaha bagi menjalankan gerakan dakwah dan meninggikan syiar Islam di negara ini.

Hadir di majlis ini ialah Ahli-Ahli Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim; para jemputan khas, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.