Pada hari ini, Sabtu 12 Zulhijjah 1444 Hijrah bersamaan 1 Julai 2023 Masihi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bokiah.

Keberangkatan Baginda Ke Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bokiah (PPKKI-YSHHB) adalah sebahagian daripada Aturcara Lawatan Kerja Baginda sempena Majlis Penyempurnaan Penganugerahan Penggeranan Tanah-Tanah Lesen Tumpang Sementara di Bawah Skim Penggeranan Tanah Lesen Tumpang Sementara bagi Daerah Brunei Muara dan Daerah Temburong dan Penganugerahan Anak-Anak Kunci Rumah Teres dan Unit Pangsapuri serta Lot-Lot Tanah di bawah Skim Perumahan Negara bagi Daerah Brunei Muara di bawah Skim Perumahan Negara bagi Daerah Brunei Muara.

Menjunjung keberangkatan Baginda ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Major Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan ll selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Penubuhan Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (PPKKI-YSHHB) merupaka salah satu inisiatif Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang bertujuan untuk memartabatkan tulisan jawi dalam menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Tulisan Jawi merupakan khazanah negara yang agung yang perlu dijaga dan dipertahankan khususnya di Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Melayu yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara dan berfalsafah Melayu Islam Beraja.

PPKKI-YSHHB ditubuhkan atas titah berkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 13 Januari 2013 dan mula beroperasi di Rumah Semaun pada 22 Julai 2013.

Selaras dengan hasrat penubuhan PPKKI bagi memartabatkan tulisan jawi, sebuah Galeri Kesenian dan Kaligrafi Islam telah dibina dan dirasmikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 5 Mac 2020.

Sepanjang lawatan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menerima sembah taklimat mengenai fungsi, rancangan dan aktiviti serta pencapaian PPKKI-YSHHB yang disembahkan oleh Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Aturcara keberangkatan lawatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bermula dengan lawatan ke ruang Galeri Kesenian dan Kaligrafi Islam yang mempamerkan koleksi kaligrafi dan artifak seni Islam dari luar negara dan hasil karya kaligrafi anak-anak tempatan.  Ruang galeri juga mempamerkan karya-karya, artifak, dan proses tulisan yang berhubung kait dengan sejarah dan perkembangan tulisan jawi dan kaligrafi Islam menrentas zaman pemerintahan sulatan-sultan Brunei.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya berkenan menandatangani lembaran kenangan sempena lawatan kerja Baginda dan menerima pesembah yang merupakan hasil karya kaligrafi daipada penulis khat (khatat) PPKKI-YSHHB.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga berkenan menyaksikan kegiatan dan program pengajian yang dilaksanakan oleh PPKKI-YSHHB serta meninjau kemudahan-kemudahan yang tersedia di bangunan PPKKI-YSHHB.

Aturcara lawatan kerja  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di PPKKI-YSHHB diakhiri dengan sesi bergambar ramai.