Unit Sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menganjurkan beberapa siri Jerayawara ke institusi-institusi pengajian tinggi dan Jabatan-Jabatan Daerah bermula 24 Oktober 2020 hingga November 2020. Jerayawara bertujuan untuk menggalakkan semangat dan budaya tolong-menolong dalam kalangan masyarakat khususnya dikalangan belia dalam sama-sama memberikan pemedulian terhadap kebajikan dan masyarakat melalui program-program amal yang dianjurkan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Jerayawara ini adalah antara program pengambilan anjuran Unit Sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi memberigakan program dan aktiviti anjuran Unit Sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Pada 24 Oktober 2020, jerayawara diadakan di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) khusus bagi para mahasiswa dan mahasiswi serta pensyarah dan kakitangan KUPU SB.

Dari mula ditubuhkan pada 9 Januari 2005 sehingga kini, seramai 2,370 orang sukarelawan berdaftar yang terdiri daripada para profesional hinggalah kepada pelajar sekolah. Mereka ini berpeluang melibatkan diri dalam memberikan sumbangan tenaga dan buah fikiran dalam projek dan aktiviti anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Terdapat empat program bantuan Yayasan telah dibentuk oleh Jawatankuasa Sukarelawan Yayasan yang melibatkan penyertaan para sukarelawan iaitu:

  • Program Intervensi Pendidikan (PIP);
  • Projek Bantuan untuk Meningkatkan Sosioekonomi ke Arah Membasmi Kemiskinan (PBSE);
  • Projek Amal Memeduli Warga Emas dan Keluarga yang Memerlukan Bantuan (PAWEK); dan
  • Projek Bantuan Kecemasan dan Kemasyarakatan (PBKK).