Doa Kesyukuran Sempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Ke-32 Tahun
Pada 1 Rabiulakhir 1446 bersamaan 5 Oktober 2024, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Yang Ke-32 Tahun di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustapa bin Haji Murad. Ini diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dan bacaan Doa Kesyukuran sempena 32 tahun penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ditubuhkan atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 5 Oktober 1992 sempena sambutan Jubli Perak menaiki Takhta. Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Ahli Kerabat Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat Baginda serta menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.
Sepanjang 32 tahun penubuhannya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah melaksanakan pelbagai program, projek dan aktiviti untuk meningkatkan dan merangsang perkembangan sosioekonomi serta kesejahteraan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam sekaligus memenuhi aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini. Dalam apa jua perancangan dan pelaksanaan program, projek dan aktivitinya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sentiasa mendukung penuh agenda pembangunan negara sejajar dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.
Terbaru (pada September 2024), Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah menerima Anugerah Perniagaan Inklusif ASEAN ke-7 Tahun 2024 (The 7th ASEAN Inclusive Business Award 2024). Penganugerahan tersebut adalah mengambil kira Bantuan-Bantuan dan Sumbangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah melalui Program Sara Diri. Program tersebut telah membantu golongan keluarga yang kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah untuk memulakan perniagaan dengan diberikan latihan kemahiran dan bantuan modal yang dipantau sehingga mereka berjaya dan mandiri seterusnya membantu keluarga lain yang baharu berkecimpung dalam bidang perniagaan. Program Sara Diri tersebut dilaksanakan sejajar dengan Visi Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu bagi memperkasa Masyarakat Mendiri.
Penyampaian Sumbangan Kewangan Kepada Dua Buah NGOs
Semasa majlis ini juga, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan kewangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada dua buah badan bukan kerajaan yang mengendalikan program pembangunan dan pemulihan golongan orang kelainan upaya (OKU) sebanyak BND100,000.00.
Sumbangan ini adalah merupakan keprihatinan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan OKU yang sewajarnya diberikan bimbingan, didikan dan kemahiran supaya mereka menjadi individu yang berjaya dan mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara. Dua buah badan bukan kerajaan tersebut ialah Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan Persatuan SMARTER Brunei.
Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam menerima sumbangan kewangan sebanyak BND50,000.00. Sumbangan ini adalah merupakan sumbangan tahunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (bagi tahun 2023) iaitu untuk memberi sokongan kepada Pusat ini dalam mengendalikan perkhidmatan dan latihan kepada insan-insan istimewa yang kurang upaya dari segi anggota dan intelek untuk membolehkan mereka mencapai potensi ke tahap maksimum. Sumbangan Yayasan diterima oleh Yang Mulia Dato Paduka Haji Alimin bin Haji Abdul Wahab, Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.
Persatuan SMARTER Brunei menerima sumbangan kewangan berjumlah BND50,000.00. Sumbangan tersebut adalah merupakan sumbangan tahunan Yayasan (bagi tahun 2023). Daripada jumlah sumbangan tersebut, sebanyak 50% disumbangkan kepada Persatuan SMARTER Brunei untuk mengendalikan urusan pengajaran dan pembelajaran khusus bagi anak-anak autistik. Manakala sebanyak 50% lagi adalah untuk pembayaran yuran pendidikan yang dikenakan oleh SMARTER Brunei bagi mengajar anak-anak autisme daripada keluarga yang berpendapatan rendah. Sumbangan Yayasan ini diterima oleh Yang Mulia Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang, Yang Di-Pertua Persatuan SMARTER Brunei.
Juga hadir di majlis ini ialah Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.