Doa Kesyukuran Sempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Ke-30 Tahun
Pada 9 Rabiulawal 1444 bersamaan 5 Oktober 2022, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Yang Ke-30 Tahun di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ialah Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan selaku Timbalan Pengerusi II Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili bin Haji Metali Al-Hafiz, Pegawai Masjid, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah. Ini diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dan bacaan Doa Kesyukuran sempena 30 tahun penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ditubuhkan atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 5 Oktober 1992 sempena sambutan Jubli Perak menaiki Takhta. Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Ahli Kerabat Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat Baginda serta menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.
Sepanjang 30 tahun penubuhannya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah melaksanakan pelbagai program, projek dan aktiviti untuk meningkatkan dan merangsang perkembangan sosioekonomi serta kesejahteraan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam sekaligus memenuhi aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini. Dalam apa jua perancangan dan pelaksanaan program, projek dan aktivitinya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sentiasa mendukung penuh agenda pembangunan negara sejajar dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.
Semasa majlis ini juga, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiahberkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan Yayasan kepada dua buah badan bukan kerajaan yang mengendalikan program pembangunan dan pemulihan golongan orang kelainan upaya (OKU) sebanyak BND150,000.00.
Sumbangan ini adalah merupakan keprihatinan Yayasan terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan OKU yang sewajarnya diberikan bimbingan, didikan dan kemahiran supaya mereka menjadi individu yang berjaya dan mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara. Dua buah badan bukan kerajaan tersebut ialah Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan Persatuan SMARTER Brunei.
Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam menerima sumbangan kewangan sebanyak BND100,000.00.
Daripada jumlah tersebut sebanyak BND50,000.00 adalah merupakan sumbangan tahunan Yayasan (bagi tahun 2022) iaitu untuk memberi sokongan kepada Pusat ini dalam mengendalikan perkhidmatan dan latihan kepada insan-insan istimewa yang kurang upaya dari segi anggota dan intelek untuk membolehkan mereka mencapai potensi ke tahap maksimum.
Sebanyak BND50,000.00 lagi adalah sumbangan Yayasan bagi membiayai sebahagian daripada kos pembinaan Sekolah Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.
Sumbangan Yayasan diterima oleh Yang Mulia Dato Paduka Haji Alimin bin Haji Abdul Wahab, Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.
Persatuan SMARTER Brunei menerima sumbangan kewangan berjumlah BND50,000.00. Sumbangan tersebut adalah merupakan sumbangan tahunan Yayasan (bagi tahun 2022).
Daripada jumlah sumbangan tersebut, sebanyak 50% disumbangkan kepada Persatuan SMARTER Brunei untuk mengendalikan urusan pengajaran dan pembelajaran khusus bagi anak-anak autistik. Manakala sebanyak 50% lagi adalah untuk pembayaran yuran pendidikan yang dikenakan oleh SMARTER Brunei bagi mengajar anak-anak autisme daripada keluarga yang berpendapatan rendah.
Sumbangan Yayasan ini diterima oleh Yang Mulia Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang, Presiden Persatuan SMARTER Brunei.
Juga hadir di majlis ini ialah Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.