Doa Kesyukuran Sempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Ke-27 Tahun
Pada 6 Safar 1441 bersamaan 4 Oktober 2019, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Yang Ke-27 Tahun di Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampong Bolkiah ‘A’, Mukim Sungai Kebun.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah. Ini diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dan bacaan Doa Kesyukuran sempena 27 tahun penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Majlis diteruskan dengan sembahyang Fardu Isyak berjemaah.
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ditubuhkan atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 5 Oktober 1992 sempena sambutan Jubli Perak menaiki Takhta. Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Ahli Kerabat Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat Baginda serta menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.
Sepanjang 27 tahun penubuhannya, Yayasan telah melaksanakan pelbagai program, projek dan aktiviti untuk meningkatkan dan merangsang perkembangan sosio-ekonomi serta kesejahteraan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam sekaligus memenuhi aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini. Dalam apa jua perancangan dan pelaksanaan program, projek dan aktivitinya, Yayasan sentiasa mendukung penuh agenda pembangunan negara sejajar dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.
Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dipilih sebagai tempat bagi acara sambutan 27 tahun penubuhan Yayasan adalah signifikan kerana masjid ini adalah merupakan wakaf peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi memberikan kemudahan tempat beribadat bagi penduduk rancangan perumahan Yayasan Kampong Bolkiah ‘A’ dan Kampong Bolkiah ‘B’ serta penduduk sekitarnya. Masjid ini yang telah siap dibina dan mula digunakan pada hari Jumaat, 28 Rejab 1421 bersamaan 27 Oktober 2000. Yayasan juga sering memberikan sokongan bagi mengembangkan pelbagai kegiatan takmir masjd ini.
Semasa majlis ini juga, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan Yayasan kepada dua buah badan bukan kerajaan yang mengendalikan program pembangunan dan pemulihan golongan orang kelainan upaya (OKU) iaitu Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan Persatuan SMARTER Brunei. Sumbangan ini adalah merupakan keprihatinan Yayasan terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan OKU yang sewajarnya diberikan bimbingan, didikan dan kemahiran supaya mereka menjadi individu yang berjaya dan mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara.
Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam
Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam menerima sumbangan kewangan sebanyak BND50,000. Sumbangan tersebut adalah merupakan sumbangan tahunan Yayasan (bagi tahun 2020) iaitu untuk memberi sokongan kepada Pusat ini dalam mengendalikan perkhidmatan dan latihan kepada insan-insan istimewa yang kurang upaya dari segi anggota dan intelek untuk membolehkan mereka mencapai potensi ke tahap maksimum.
Sumbangan Yayasan diterima oleh Yang Mulia Dato Paduka Haji Alimin bin Haji Abdul Wahab, Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.
Persatuan SMARTER Brunei (Persatuan bagi sekumpulan ibu-bapa yang mempunyai anak yang memiliki autisma)
Persatuan SMARTER Brunei menerima sumbangan kewangan berjumlah BND50,000. Sumbangan tersebut adalah merupakan sumbangan tahunan Yayasan (bagi tahun 2020). Daripada jumlah sumbangan tersebut, sebanyak 50% disumbangan kepada Persatuan SMARTER Brunei untuk mengendalikan urusan pengajaran dan pembelajaran khusus bagi anak-anak autistik. Manakala sebanyak 50% lagi adalah untuk pembayaran yuran pendidikan yang dikenakan oleh SMARTER Brunei bagi mengajar anak-anak autisme daripada keluarga yang berpendapatan rendah.
Sumbangan Yayasan ini diterima oleh Yang Mulia Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang, Pemangku Yang Di-Pertua Persatuan SMARTER Brunei.
Juga hadir di majlis ini ialah Ahli-Ahli Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim; pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan penduduk Kampong Bolkiah ‘A’ dan Kampong Bolkiah ‘B’.