Seiring dengan pendekatan senegara yang mantap ‘Whole of Nation Approach’ dalam berkerjasama dengan beberapa agensi yang berkepentingan bagi mempertingkatkan syiar Islam di negara ini, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah melalui program memakmurkan masjid telah menyampaikan sumbangan kepada beberapa buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara pada 26 Safar 1447 bersamaan 20 Ogos 2025.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah memberikan sumbangan keseluruhannya berjumlah BND74,500.00 kepada sebahagian masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara khusus bagi mengadakan majlis atau aktiviti sempena Maulidur Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi tahun 1447H / 2025M. 

Sebanyak 72 buah masjid, surau dan balai ibadat menerima sumbangan kewangan tersebut, iaitu 28 buah di Daerah Brunei dan Muara; 7 buah di Daerah Belait; 24 buah di Daerah Tutong dan 13 buah di Daerah Temburong.  Sumbangan-sumbangan tersebut diterima oleh imam-imam masjid, surau dan balai ibadat berkenaan.

Sumbangan kepada masjid, surau dan balai ibadat disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.