Seiring dengan pendekatan senegara yang mantap ‘Whole of Nation Approach’ dalam berkerjasama dengan beberapa agensi yang berkepentingan bagi mempertingkatkan syiar Islam di negara ini, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah melalui program memakmurkan masjid telah menyampaikan sumbangan kepada beberapa buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara pada 29 Safar 1446 bersamaan 3 September 2024 di Dewan Serba Guna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah memberikan sumbangan keseluruhannya berjumlah BND75,800.00 kepada sebahagian masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara khusus bagi mengadakan majlis atau aktiviti sempena Maulidur Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi tahun 1446H/2024M. 

Sebanyak 72 buah masjid, surau dan balai ibadat menerima sumbangan kewangan tersebut, iaitu 29 buah masjid, surau dan balai ibadat di Daerah Brunei dan Muara; 23 buah di Daerah Tutong; 8 buah di Daerah Belait dan 12 buah di Daerah Temburong.  Sumbangan-sumbangan tersebut diterima oleh imam-imam masjid, surau dan balai ibadat berkenaan.

Sumbangan kepada masjid, surau dan balai ibadat di Daerah Brunei dan Muara, dan Daerah Belait disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; manakala masjid, surau dan balai ibadat di Daerah Tutong dan Temburong disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan selakuAhli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.