Seramai 17 Bakal Usahawan Dilahirkan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Ke arah mencapai salah satu matlamat strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu Mendukung Pencapaian Taraf Sara Diri, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah turut mendukung usaha Kerajaan membantu meningkatkan tahap sara diri golongan yang memerlukan bantuan melalui program keusahawanan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan.
Skim Pembiayaan Kebajikan merupakan bantuan pengupayaan diri khusus bagi golongan sasar yang memerlukan iaitu berupa pemberian bantuan modal bagi menjalankan perusahaan berserta beberapa program dan kursus kemahiran yang bersesuaian. Bentuk bantuan modal yang diberikan adalah mengikut kriteria dan kesesuaian pemohon seperti kewangan, material, latihan dan pemantauan.
Pada 5 Syaaban 1442 bersamaan 19 Mac 2021, seramai 17 orang bakal “Usahawan Bakarih Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah” menandatangani perjanjian bersama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah untuk diberikan bantuan modal perniagaan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan bagi membolehkan mereka menjalankan dan memajukan usaha perniagaan sebagaimana yang telah mereka rencanakan.
Sebelum mereka dipertimbangkan untuk menerima modal perusahaan atau perniagaan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan, mereka diwajibkan untuk menjalani beberapa program latihan iaitu ‘bespoke programme’ atau program direncana khas menjurus kepada kemahiran dan pengetahuan keusahawanan yang dikendalikan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersama rakan strategik LiveWIRE Brunei.
Majlis Penandatanganan Perjanjian Usahawan Bakarih Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bertempat di Ibu Pejabat Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jalan Perdana Menteri. Menandatangani bagi pihak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ialah Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Hj Abd Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan juga Yang Mulia Awang Haji Musthapa bin Haji Matahir, Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Sejak Skim Pembiayaan Kebajikan mula dilaksanakan pada tahun 2013, seramai 84 orang Usahawan Bekarih telah berjaya dilahirkan. Melalui bantuan modal, latihan dan pemantauan, mereka telah berjaya mengusahakan beberapa jenis perusahaan seperti makanan dan minuman, pertanian, perkhidmatan cuci kereta dan bengkel kereta; pembuatan perabot dan kraf tangan dan sebagainya. Hari ini seramai 17 orang “Usahawan Bekarih Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah” bakal dilahirkan.