YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

SABDA

2024

2023

2022

2019

2018

2017

2016

2015

2014

2013

2012

2011

2010

2009

2009

2008

2008

Alamat

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Jalan Perdana Menteri
Bandar Seri Begawan, BA 1511
Negara Brunei Darussalam

Waktu Pejabat

ISNIN- KHAMIS
8.15 pagi - 12.00 tengah hari
1.45 tengah hari - 4.45 petang

JUMAAT
8.15 pagi – 11.00 pagi
2.15 petang – 4.45 petang

LAIN - LAIN

Copyright 2024 © YSHHB. All Rights Reserved.

Majlis Pelancaran Pengagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi KDYMM Bersempena Bulan Ramadhan 1445H/2024M

Sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Bulan Ramadan 1445 Hijrah, bertempat di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada hari Selasa, 24 Syaaban 1445 bersamaaan 5 Mac 2024.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, segala puji bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang serta selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam, serta kaum kerabat dan sahabat-sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

               Pada tahun ini dengan izin Allah Subhanahu wa Ta’ala kita sekali lagi berpeluang untuk menyempurnakan Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Paduka Ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadhan yang akan menjelang tidak lama lagi.

               Bulan Ramadhan setentunya mempunyai banyak rahsia, pengajaran dan iktibar yang boleh kita gunakan bagi mengharungi kehidupan seharian.  Keikhlasan dalam melaksanakan sesuatu perkara yang bukan didorong kerana kepentingan peribadi mahupun imbalan duniawi, akan tetapi semata-mata kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah satu sifat yang mulia lagi terpuji.

               Ini bertepatan dengan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam Surah Asy-Syura, ayat 20 yang bermaksud: “Sesiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat, Kami tambah baginya keuntungan itu, dan sesiapa yang menghendaki keuntungan di dunia, Kami berikan kepadanya sebahagian daripadaNya dan tidaklah ada baginya suatu bahagian pun di akhirat.”

               Dalam melaksanakan pengagihan kurma kurnia peribadi Paduka Ayahanda ini khususnya kepada mereka yang layak menerimanya, ciri-ciri seperti keikhlasan, komitmen dan kesabaran yang selama ini ditunjukkan oleh para pemimpin akar umbi termasuk Ahli-Ahli Majlis Perundingan adalah amat memberangsangkan dan dihargai.  Walau bagaimanapun, kita janganlah mudah berpuas hati dengan apa yang telah dicapai selama ini.  Ini kerana masih juga kedengaran suara-suara yang mengatakan ada pihak-pihak tertentu yang masih juga belum menerima kurma kurnia peribadi Paduka Ayahanda.  Oleh yang demikian, pihak Pengurusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersama semua pihak yang terlibat hendaklah terus memikul tanggungjawab ini dengan penuh keikhlasan, kebijaksanaan dan dedikasi dalam sama-sama memastikan tidak ada orang-orang tertentu yang tercicir dari menerima buah kurma kurnia Paduka Ayahanda ini sebagai juadah berbuka puasa di negara ini.

               Saya gembira mengetahui pada tahun ini pihak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, sekali lagi akan dilibatkan dalam sama-sama membantu kerja-kerja pengagihan kurma kurnia peribadi Paduka Ayahanda dengan menyediakan pengangkutan kenderaan ke beberapa tempat yang ditetapkan.  Semoga usaha ini akan dapat diteruskan ke arah memberkesankan lagi pengagihan kurma kurnia peribadi berkenaan.

               Di kesempatan ini, saya sukacita ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian dan Jabatan Kerajaan, Pegawai-Pegawai Daerah, Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Radio Televisyen Brunei, Jabatan Penerangan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan dan semua lapisan masyarakat yang terlibat dalam mengurus dan mengendalikan amanah dan tanggungjawab yang berkebajikan ini dengan jayanya.

               Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa kehadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala semoga Paduka Ayahanda akan sentiasa dikurniakan kesihatan dan ‘afiat yang berpanjangan, dimurahkan rezeki dan sentiasa berada di bawah perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu wa Ta’ala serta mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.  Aamiin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Pelancaran Pengagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi KDYMM Bersempena Bulan Ramadhan 1444H/2023M

Sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Bulan Ramadan 1444 Hijrah, bertempat di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada hari Sabtu, 25 Syaaban 1444 bersamaaan 18 Mac 2023.

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, segala puji bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang serta selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam, serta kaum kerabat dan sahabat-sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

               Alhamdulillah, kita panjatkan kesyukuran kehadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala, kerana dengan izin serta limpah kurniaNya jua kita berpeluang untuk berkumpul bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Paduka Ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadhan pada tahun ini.

               Alhamdulillah syukur kita rafakkan kehadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana Negara Brunei Darussalam yang bertuah ini sekali lagi akan menerima buah kurma kurnia peribadi Paduka Ayahanda sebagai juadah berbuka puasa di bulan Ramadhan pada tahun ini.  Walaupun kita masih berdepan dengan Wabak COVID-19, usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan berupaya mengembalikan keyakinan kita untuk meneruskan usaha-usaha murni ini bagi memastikan setiap rakyat dan penduduk yang berugama Islam di negara ini dapat menikmati kurma kurnia peribadi Ayahanda berkenaan.

               Saya percaya pengalaman yang diperolehi sebelum ini akan dapat memberkesankan lagi tatacara pelaksanaan pengagihan kurma kurnia peribadi tersebut.  Oleh itu, pihak Pengurusan Yayasan hendaklah sentiasa memantau dan bekerjasama dengan rakan-rakan strategik bagi memastikan pelaksanaannya mencapai matlamat yang diharap-harapkan.

               Seperti yang kita sedia maklum, bulan Ramadhan banyak mempunyai rahsia, pengajaran dan iktibar yang boleh digunakan bagi mengharungi kehidupan dengan lebih sempurna, berlandaskan ajaran ugama Islam.  Antara perkara yang dituntut untuk dijauhi ialah amalan pembaziran.  Malah amalan ini dilarang oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sehinggakan orang yang membazir itu disamakan dengan saudara syaitan sepertimana firmanNya dalam Surah Al-Isra’, ayat 27 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya”.

               Oleh itu, marilah kita meningkatkan azam untuk menjadikan Ramadhan kali ini lebih bermakna, dan jauh daripada amalan yang tidak menguntungkan itu.  Selain meningkatkan ibadat puasa di siang hari, kita juga janganlah melepaskan peluang untuk menyemarakkan malam-malam di dalamnya dengan memperbanyakkan ibadat seperti sembahyang tarawih, bertedarus, bersedekah dan mengerjakan sembahyang sunat lainnya.  Semoga dengan amalan-amalan tersebut, kita dan negara tidak sepi dari dilimpahi rahmat dan inayah serta perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu wa Ta’ala jua.  Aamiin.

               Di kesempatan ini, saya sukacita ingin merakamkan perhargaan dan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Yayasan Paduka Ayahanda, Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan, Pegawai-Pegawai Daerah, Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Radio Televisyen Brunei, Jabatan Penerangan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan dan semua lapisan masyarakat yang terlibat dalam mengurus dan mengendalikan amanah dan tanggungjawab yang berkebajikan ini dengan jayanya.  Mudah-mudahan usaha dan kerjasama murni yang disumbangkan oleh semua pihak akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala jua.

               Akhirnya, marilah kita sama-sama berdo’a kehadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala semoga Paduka Ayahanda akan sentiasa dikurniakan kesihatan dan ‘afiat yang berpanjangan, dimurahkan rezeki dan sentiasa berada di bawah perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu wa Ta’ala serta mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.  Aamiin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Pelancaran Pengagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi KDYMM Bersempena Bulan Ramadhan 1443H/2022M

 

Sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Bulan Ramadan 1443 Hijrah, bertempat di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada hari Rabu, 13 Syaaban 1443 bersamaaan 16 Mac 2022.

 

Bismillahir Rahmaanir Raheem

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh 

Alhamdulillah kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin serta limpah kurnianya jua kita berpeluang untuk berkumpul bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Paduka Ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadhan pada tahun ini.

Seperti tahun-tahun sebelumnya apabila sahaja kita bercakap mengenai bulan Ramadhan kita tidak boleh lari dari mengatakan kurma kurnia peribadi Paduka Ayahanda. Ini kerana ianya amat sinonim bila sahaja kita memasuki bulan Ramadhan yang sama-sama kita nanti-nantikan. 

Apa yang penting yang sering kali saya tekankan di sini biarlah pengurusan pengagihan kurma kurnia peribadi Paduka Ayahanda pada tahun ini dibuat dengan lebih baik dari tahun sebelumnya ke arah memastikan tidak ada seorang pun umat Islam di negara ini tertinggal dari menikmati kurma kurnia peribadi Paduka Ayahanda sebagai juadah berbuka puasa.

Walaupun kita di negara ini masih berdepanan dengan penularan wabak COVID-19 pihak pengurusan Yayasan Paduka Ayahanda dengan gandingan serta dokongan padu dari agensi-agensi kerajaan dan swasta serta sukarelawan akan melaksanakan pengagihan kurma kurnia peribadi mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Malah saya difahamkan bahawa pada dua tahun yang lalu pihak pengurusan Yayasan Paduka Ayahanda telah melaksanakan penambahbaikkan proses pengagihan kurma kurnia peribadi ini dengan mengadakan pusat-pusat pengagihan melalui Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan bagi penjawat awam serta menyediakan pusat pembahagian bagi kakitangan swasta di samping meneruskan kelaziman pembahagian melalui Penghulu-Penghulu Mukim atau Ketua-Ketua Kampung bagi orang awam. 

Inisiatif ini terbukti dapat melancarkan proses pengagihan di samping menjaga keselamatan pihak-pihak terlibat dari terdedah kepada bahaya jangkitan wabak COVID-19. Di kesempatan ini saya sukacita merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan Yayasan Paduka Ayahanda kerana melaksanakan amanah yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

Penghargaan yang sama juga ditujukan kepada Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Pegawai-Pegawai Daerah, Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung dan Agensi-Agensi Kerajaan yang berkenaan termasuk para sukarelawan dan rakan-rakan strategik Yayasan Paduka Ayahanda dan semua lapisan masyarakat yang terlibat dalam mengurus dan mengendalikan amanah dan tanggungjawab yang berkebajikan ini dengan jayanya. 

Mudah-mudahan usaha dan kerjasama murni yang disumbangkan oleh semua pihak akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Akhirnya marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga amalan murni Paduka Ayahanda ini akan mendapat ganjaran dari Allah Subhanahu Wata’ala  di samping dikurniakan rahmat dan inayah dalam bentuk kesihatan dan kebahagiaan yang berpanjangan serta sentiasa berada di bawah perlindungan dan pemeliharaannya jua, Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Wal-Hidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Majlis Pelancaran Pengagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi KDYMM Bersempena Bulan Ramadhan 1440H / 2019M

Sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Bulan Ramadan 1440 Hijrah, bertempat di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa pada hari Selasa, 10 Syaaban 1440 bersamaaan 16 April 2019.

 

Bismillahir Rahmaanir Raheem

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh 

Alhamdulillahi Rabbil Aalamin, segala puji-pujian kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dan selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, kaum kerabat dan sahabat-sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Saya amat bersyukur kerana pada hari ini, Allah Subhanahu Wata‘ala telah mengizinkan kita berkumpul sekali lagi di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Paduka Ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadhan pada tahun ini. 

Apabila kita bercakap tentang bulan Ramadhan di Negara ini, ianya tidak boleh lari dengan amalan yang sering kita lakukan iaitu dengan pengagihan Kurma Peribadi Paduka Ayahanda melalui Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan terima kasih di atas komitmen dan usaha gigih yang selama ini telah ditunjukkan oleh para pemimpin akar umbi dan pihak-pihak yang berkenaan dalam merealisasikan hasrat Paduka Ayahanda untuk melihat Kurma Kurnia Peribadi Baginda dijadikan juadah berbuka puasa di Negara ini.

Sumbangan murni dalam berbakti kepada Raja di samping meraih keberkatan dan ganjaran Allah adalah amalan yang amat dituntut oleh Ugama Islam, lebih-lebih lagi ianya bersangkut paut dengan persiapan kita menyambut bulan Ramadhan yang penuh dengan ganjaran dan pengampunan Allah Subhanahu Wata’ala.

Dalam Islam kita sentiasa dianjurkan untuk berjimat cermat dalam semua aspek kehidupan kita termasuk juga dalam perbelanjaan, bagi mengelakkan sebarang pembaziran. Begitu juga halnya dengan pembelian kurma, dalam mana Saya difahamkan, pada tahun ini pihak Yayasan telah mengurangkan pembelian kurma memandangkan jumlah penduduk Islam yang diberikan adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan statistik yang disediakan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Saya gembira mengetahui tentang inisiatif Ketua-Ketua Kampung yang melibatkan lebih banyak lagi ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung dalam membantu melaksanakan pembahagian kurma mengikut zon masing-masing.

Walau bagaimanapun, saya berseru supaya Ketua-Ketua Kampung hendaklah memastikan petugas-petugas yang diamanahkan membuat pembahagian itu hendaklah sentiasa mencatat penyerahan dengan sempurna bagi mengelakkan berlakunya ketirisan disebabkan jumlah yang diagihkan tidak diketahui dengan tepat.

Saya berasa kecewa mendengar, terdapatnya kejadian di mana kotak-kotak kurma diletakkan di masjid-masjid tanpa adanya kawalan atau penyeliaan.  Selain dari itu, ada juga pihak-pihak yang diberi buah kurma melebihi jumlah yang ditetapkan.  Kejadian-kejadian seumpama ini sepatutnya tidak berlaku dan hendaklah diperbaiki dengan segera kerana ianya menyangkut soal ‘amanah’ kerana tanpanya ia boleh saja melunturkan kepercayaan orang ramai terhadap integriti dan tatacara pengagihan kurma di Negara ini.

Justeru itu, saya mahu pihak pengurusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah hendaklah sentiasa memantau dan bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu ke arah memastikan pelaksanaan pengagihan Kurma Peribadi di seluruh Negara berjalan dengan lancar dan teratur serta bebas dari unsur-unsur yang saya nyatakan tadi.  Ini termasuklah memikirkan tatacara atau kaedah pengagihan yang lebih baik menggunakan kemudahan teknologi maklumat.

Buat mengakhirinya, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pegawai-Pegawai Daerah, Penghulu-Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampung, Anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Radio Televisyen Brunei, Jabatan Penerangan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Pihak Berkuasa Pelabuhan dan Maritim Brunei Darussalam dan agensi-agensi Kerajaan dan swasta yang berkenaan yang terlibat dalam menguruskan dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang berkebajikan ini.  Mudah-mudahan usaha dan kerjasama murni yang disumbangkan oleh semua pihak akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah Subhanahu Wata’ala jua.

Marilah kita sama-sama berdo’a kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, semoga Paduka Ayahanda akan sentiasa diberikan kesihatan dan kebahagiaan yang berpanjangan dan terus dalam perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya Rabbal Alamin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Wal-Hidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Majlis Pelancaran Pengagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi KDYMM Bersempena Bulan Ramadhan 1439H / 2018M

 

Sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Bulan Ramadan 1439 Hijrah, bertempat di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam pada hari Isnin, 7 Syaaban 1439 bersamaaan 23 April 2018.

 

Bismillahir Rahmaanir Raheem

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalamiin, segala puji-pujian kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dan selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, kaum kerabat dan sahabat-sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Saya amat bersyukur kerana pada hari ini, Allah Subhanahu Wata‘ala telah mengizinkan kita berkumpul sekali lagi di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Paduka Ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadhan pada tahun ini.

Ini bermakna sekali lagi kita akan berpeluang mencurahkan khidmat bakti dalam merealisasikan hasrat murni Paduka Ayahanda untuk melihat umat Islam di negara ini tidak mengira bangsa dan kaum berbuka puasa dengan juadah kurma kurnia peribadi Baginda di sepanjang bulan Ramadhan yang mubarak.

Walaupun pengagihan kurma kurnia peribadi ini telah dilaksanakan sejak sekian lama dan boleh dianggap rutin akan tetapi memandangkan asasnya adalah bertujuan untuk menunaikan hasrat murni Paduka Ayahanda, maka ianya hendaklah dilaksanakan dengan sempurna bagi memastikan tidak ada umat Islam di negara ini yang tertinggal dari menerima kurnia peribadi berkenaan.

Justeru itu, bulan Ramadhan yang akan menjelang tidak lama lagi ini adalah merupakan kesempatan yang terbaik dalam meninjau semula sejauh mana kita telah dapat melaksanakan amanah pengagihan kurma kurnia peribadi dengan sebaik-baiknya.

Ini kerana selain melaksanakan ibadah puasa dan memakmurkan masjid di malam hari dengan menunaikan sembahyang Sunat Tarawih, memperbanyakkan membaca Al-Quran, dan menghidupkan malam-malamnya dengan Qiyamullail, kita juga dituntut untuk mengisi bulan Ramadhan itu dengan pelbagai amalan yang berkebajikan.

Amalan yang berkebajikan yang dimaksudkan di sini ialah menunaikan amanah Raja yang sama-sama kita kasihi dengan sebaik-baiknya melalui pengagihan kurma kurnia peribadi Baginda. Oleh itu, saya percaya pihak-pihak dipertanggungjawabkan dalam menanai tugas ini akan dapat memikulnya dengan sebaik-baiknya lagi penuh tanggungjawab.

Semua ini tidak akan dapat dicapai tanpa adanya komitmen dan dedikasi semua pihak yang terlibat baik di peringkat Pegawai-Pegawai Daerah, Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung termasuk segenap lapisan masyarakat dalam sama-sama berganding bahu kearah melaksanakannya dengan sempurna dan teratur.

Walaupun pelbagai cara telah diambil oleh pihak Yayasan dalam memperbaiki kaedah pengagihan kurma kurnia peribadi berkenaan, masih juga kedengaran sepertimana tahun-tahun sebelumnya ada pihak yang tidak menerima kurma kurnia peribadi tersebut. Perkara ini sepatutnya tidak terjadi kerana jumlah kurma yang didatangkan adalah berasaskan statistik yang diberikan sendiri oleh Penghulu Mukim dan Ketua Kampung melalui Jabatan-Jabatan Daerah yang mana melebihi jumlah rakyat dan penduduk negara ini.

Oleh itu, saya berseru supaya semua pihak yang diamanahkan untuk mengagihkan kurma kurnia peribadi berkenaan sama ada di peringkat Jabatan mahupun pemimpin-pemimpin akar umbi khususnya sebagai “front line agent” dalam pengagihan kurma kurnia peribadi ini akan sentiasa dapat memainkan peranan dan tugas masing-masing dengan lebih berkesan dan penuh dedikasi sepertimana yang dihasratkan.

Sama-samalah kita berusaha agar tidak lagi ada sungutan dan aduan di kalangan orang Islam di Negara ini yang menyatakan mereka masih dan tidak menerima sebarang kurma kurnia peribadi Paduka Ayahanda.

Dalam pada itu, saya jua menyeru supaya pihak pengurusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah untuk melihat akan kemungkinan mengambil inisiatif bagi memastikan sebarang sungutan dan aduan yang bersangkutpaut dengan pengagihan kurma kurnia peribadi dapat ditangani dengan berkesan. Pihak Yayasan bolehlah meneroka keperluan mengadakan talian “hotline” untuk menerima aduan-aduan dari orang ramai sebagai usaha ke arah memperbaiki dan mempertingkatkan kaedah pengagihan kurma kurnia peribadi tersebut.

Di kesempatan ini saya sukacita ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pegawai-Pegawai Daerah, Penghulu-Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampung, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Radio Televisyen Brunei, Jabatan Penerangan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan, agensi-agensi Kerajaan yang berkenaan dan semua yang terlibat dalam mengurus dan mengendalikan amanah dan tanggungjawab yang berkebajikan ini dengan jayanya.

Mudah-mudahan usaha dan kerjasama murni yang disumbangkan oleh semua pihak akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah Subhanahu Wata’ala jua.

Akhirnya, marilah kita sama-sama berdo’a kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, semoga Paduka Ayahanda akan sentiasa diberikan kesihatan yang berpanjangan, dimurahkan rezeki dan berada di bawah perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala serta mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Wal-Hidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Majlis Pelancaran Pengagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi KDYMM Bersempena Bulan Ramadhan 1438H / 2017M

 

Sabda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Bulan Ramadan 1438 Hijrah, bertempat di Dewan Banquet, Jabatan Perdana Menteri pada hari Khamis, 21 Syaaban 1438 bersamaaan 18 Mei 2017.

 

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh

Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana pada hari ini Allah Subhanahu Wata’ala telah mengizinkan kita berkumpul sekali lagi di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Paduka Ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, sempena bulan Ramadhan 1438 Hijrah. Sesungguhnya pengurniaan buah kurma untuk juadah berbuka puasa ini adalah merupakan salah satu nikmat anugerah yang berterusan daripada Allah Subhanahu Wata’ala yang perlu kita syukuri.

Kita sekarang sudah pun berada di bulan Sya’aban, insyaaAllah dalam beberapa hari saja lagi kita akan berada di bulan Ramadhan yang mubarak. Seperti yang kita sedia maklum, bulan Ramadhan adalah bulan ibadah, bulan dimana kita digalakkan untuk berbuat kebajikan bagi meraih rahmat yang berlipat ganda dari Allah Subhanahu Wata’ala. Pada bulan inilah Allah Subhanahu Wata’ala melipatgandakan pahala dan memberi keampunan dosa pada hamba-hambanya yang memanfaatkan pengisian bulan Ramadhan dengan amalan-amalan yang berkebajikan seperti solat terawikh, qiamulail, bersedekah, membaca Al-Quran, ‘zikir, beriktikaf di masjid, berdoa, beristighfar dan berbuat baik pada sesama manusia.

Salah satu perkara yang membawa seorang muslim ke arah kehidupan yang sempurna dan bahagia ialah memiliki sifat amanah. Amanah merupakan sifat yang mulia dan terpuji disisi Allah Subhanahu Wata’ala dan ianya juga adalah merupakan ciri-ciri muslim sejati. Sifat amanah ini sering kali dikaitkan dengan pemimpin, ini kerana seorang pemimpin mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memimpin sesebuah organisasi malah lebih dari itu sesebuah negara ke mercu kegemilangan. Tanpa adanya sifat amanah ini, setentunya gejala-gejala buruk seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, tidak menghormati masa bekerja, dan lari daripada tanggungjawab akan berleluasa dan setentunya boleh membantut segala usaha-usaha pembaikan yang telah dilaksanakan. Oleh itu, marilah kita meningkatkan azam untuk terus memupuk sifat amanah dalam diri kita. Semoga apa jua yang kita kerjakan akan dapat keberkatan dari Allah Subhanahu Wata’ala.

Menyentuh mengenai pembahagian kurma kurnia peribadi Paduka Ayahanda, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung selaku pemimpin akar umbi yang terlibat secara Iangsung dalam pengagihan buah-buah kurma berkenaan hendaklah memiliki sifat kepimpinan yang jitu pada memastikan pengagihan buah-buah kurma kurnia peribadi Paduka Ayahanda dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah. Ini kerana telah sampai ke pengetahuan saya, masih juga ada orang ramai di negara ini yang tidak menerima kurma kurnia berkenaan. Apa yang lebih dukacitakan, walaupun pihak Yayasan telah menyediakan borang-borang serah terima yang perlu ditandatangani oleh pihak yang menyerahkan dan yang menerima, masih terdapat segelintir penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung yang tidak melaksanakan pengagihan tersebut dengan baik dan sempurna sepertimana yang diamanahkan.  Kepincangan yang berlaku ini menggambarkan adanya sebahagian pemimpin akar umbi yang kurang menepati ciri-ciri dan sifat-sifat yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin iaitu sifat jujur dan amanah.

Oleh itu saya berharap pihak-pihak pengurusan Yayasan termasuk Pegawai-Pegawai Daerah akan dapat memantau pelaksanaannya dengan lebih teliti bagi memastikan perkara tersebut tidak akan berlaku lagi pada tahun ini demi memastikan umat Islam di negara ini tidak terkecuali dari menerima kurma kurnia peribadi Paduka Ayahanda itu.

Buat mengakhirinya saya sukacita merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pegawai-Pegawai Daerah, Penghulu-Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampung, Anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Radio dan Televisyen Brunei, Jabatan Penerangan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Pelabuhan-Pelabuhan dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta semua yang terlibat dalam mengendalikan pengagihan kurma kurnia ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan mengurniakan ganjaran yang setimpal mengenainya.

Marilah kita sama-sama berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga Paduka Ayahanda akan sentiasa diberikan kesihatan dan kebahagiaan yang berpanjangan dan terus berada dalam perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala.

Sekian, Wabillahit Taufeq Wal-Hidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Majlis Pelancaran Pengagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi KDYMM Bersempena Bulan Ramadhan 1437H / 2016M

 

Sabda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Bulan Ramadan 1437 Hijrah, bertempat di Dewan Banquet, Jabatan Perdana Menteri pada hari Rabu, 4 Syaaban 1437 bersamaaan 11 Mei 2016.

 

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh

Alhamdulillahi Rabbil Aalamiin, segala puji-pujian kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dan Selawat serta Salam ke atas Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, kaum kerabat dan sahabat-sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Alhamdulilah, dengan rahmat-Nya jua, sekali lagi kita dapat berkumpul di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Paduka Ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadhan 1437 Hijrah pada tahun ini.

Bulan Ramadhan merupakan satu peluang keemasan untuk setiap umat Islam meningkatkan ketaqwaan diri, selain menambahkan kesyukuran atas nikmat yang dikurniakan untuk mendapat keampunan dari segala dosa yang telah dilakukan.

Kita sering diperingatkan untuk sentiasa bertaqwa dengan sebenar-benarnya kepada Allah Subhanahu Wata’ala, kerana ianya adalah merupakan satu kewajipan kita selaku hamba-Nya.

Secara ringkas orang yang bertaqwa ialah orang yang menjunjung dan patuh kepada semua perintah Allah Subhanahu Wata’ata.

Menurut Imam Al-Ghazali Rahimahullah, kalimah taqwa yang terdapat di dalam Al-Quran Al-Karim membawa tiga makna:

Pertama : bermakna takut, gerun dan Ngeri.

Kedua : bermakna taat; dan

Ketiga : mengandungi maksud menyucikan hati daripada dosa.

Dalam hal ini, ibadat puasa adalah sangat berperanan bagi membentuk ketaqwaan umat Islam kepada Pencipta-Nya. Malah Al-Qur’an telah memperjelaskan bahawa semulia-mulia di kalangan manusia adalah mereka yang paling bertaqwa.

Dalam konteks pengagihan buah kurma kurnia peribadi Paduka Ayahanda, Janganlah kedengaran lagi ada sungutan orang ramai yang masih tidak menerimanya, kerana jika ianya masih berlaku bermakna terdapat kepincangan dalam pengagihan kurma-kurma kurnia peribadi tersebut.

Oleh itu, bagi memastikan proses pengagihan kurma ini benar-benar menepati maksudnya, pihak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah berusaha melaksanakan beberapa inisiatif yang antara menyediakan borang-borang serah terima yang perlu ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak iaitu pihak yang menyerahkan dan yang menerima kurma berkenaan.

Saya berharap dengan adanya kaedah ini, pengagihan kurma-kurma kurnia peribadi berkenaan akan dapat dibuat dengan lebih sempurna, teratur dan bersistematik.

Usaha-usaha ini tidak akan berhasil jika tidak ada sokongan dan kerjasama yang padu daripada semua Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampong. Walau bagaimanapun, telah sampai ke pengetahuan saya, ada sebahagian pemimpin akar umbi yang kurang memberikan kerjasama yang diharapkan.

Perkara ini sepatutnya tidak timbul lebih-lebih lagi tugas-tugas yang dipikul ini adalah merupakan satu amanah yang perlu ditanai dengan sempurna dalam memastikan hajat Paduka Ayahanda untuk melihat buah kurma kurnia peribadi Paduka Ayahanda itu menjadi sajian berbuka puasa di Negara ini.

Oleh yang demikian, saya berseru kepada mereka yang berkenaan supaya akan dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaik-baiknya, dengan ikhlas dan amanah semata-mata bagi meraih ganjaran dari Allah Subhanahu Wata’ala jua.

Di kesempatan ini, saya sukacita merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pegawai-Pegawai Daerah, Penghulu-Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampung, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Radio dan Televisyen Brunei, Jabatan Penerangan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Pelabuhan-Pelabuhan dan agensi-agensi Kerajaan yang berkenaan serta semua yang terlibat dalam mengendalikan pengagihan kurma kurnia peribadi ini, kerana melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala jua yang akan mengurniakan ganjaran yang setimpal.

Akhirnya, marilah kita sama-sama berdo’a kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, semoga Paduka Ayahanda akan sentiasa diberikan rahmat dalam bentuk kesihatan dan umur yang berpanjangan serta mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Aamiin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Wal-Hidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Majlis Pelancaran Pengagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi KDYMM Bersempena Bulan Ramadhan 1436H / 2015M

 

Sabda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Bulan Ramadan 1436 Hijrah, bertempat di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam pada hari Selasa, 15 Syaaban 1436 bersamaaan 25 Jun 2015.

 

Bismillaahir Rahmaanir Raheem 

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh 

Alhamdulillah, segala puji-pujian kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dan Selawat serta Salam ke atas Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, kaum kerabat dan sahabat-sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman. 

Saya sangat bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah kurniaNya yang berterusan dalam memberi kita nikmat umur dan kesihatan, yang membolehkan kita hadir beramai-ramai di majlis yang berkebajikan ini iaitu Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Paduka Ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadhan 1436 Hijrah. 

Insya’ Allah pada tahun ini, sepertimana juga di tahun-tahun lalu, setiap menjelangnya bulan Ramadhan, rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang berugama Islam akan dapat menikmati buah-buah kurma, yang merupakan kurnia peribadi Paduka Ayahanda sebagai juadah berbuka puasa. 

Pada ketika kita berada di dalam bulan Sya’aban, di mana dalam beberapa hari sahaja Iagi kita akan melangkah ke bulan Ramadhan yang mubarak yang amat kita nanti-nantikan ketibaannya sebagai Bulan pembawa rahmat dan berkat kepada seluruh umat Islam. 

Selain, Bulan Ramadhan, Bulan Sya’aban juga mempunyai beberapa kelebihan dan keistimewaan  tertentu, terutamanya dalam mempersiapkan diri bagi kedatangan bulan Ramadhan dengan memperbanyakkan amal kebajikan sebagai latihan rohani. 

Antara amalan yang dianjurkan pada bulan Sya’aban ialah memperbanyakkan Selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, bertaubat dan beristighfar, bersedekah dan bersembahyang sunat terutamanya pada waktu malam. 

Selain itu, kita juga dianjurkan untuk memperbanyakkan melakukan puasa sunat sebagaimana amalan Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam di mana Baginda lebih banyak melakukan ibadat puasa sunat pada bulan Sya’aban. 

Bulan Ramadhan pula merupakan masa untuk menguji tahap kesabaran dan meningkatkan pelbagai amalan kebajikan khususnya kepada yang amat memerlukan ihsan. 

Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah menyarankan beberapa amalan utama untuk dilakukan dalam bulan Ramadhan, termasuk melazimkan bacaan kalimah taiyibah iaitu “LAA ILAAHA ILLALLAH”, serta bacaan istighfar, kerana Allah Subhanahu Wata’ala telah berjanji akan memberi kita jalan keluar daripada segala kesukaran dan membebaskan kita daripada segala kesedihan. 

Ini kerana, Bulan Ramadhan juga memiliki keistimewaan yang tersendiri, di antaranya Al-Quran telah diturunkan pada bulan Ramadhan sepertimana firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud: “Bulan Ramadhan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan Al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan petunjuk tersebut dan pembeza (antara yang benar dan yang batil).” (Surah Al-Balqarah, ayat 185).

Maka adalah amat rugi jika Ramadhan datang dan berlalu meninggalkan kita begitu saja, tanpa ada usaha dari kita untuk memanfaatkannya dengan melakukan berbagai ibadah dan amalan soleh. 

Dalam konteks pengurniaan buah kurma kurnia peribadi Paduka Ayahanda ini, ianya amat sinonim apabila sahaja tiba Bulan Ramadhan. 

Jesteru itu, saya tidak jemu-jemu untuk mengingatkan betapa pentingnya pihak-pihak yang diamanahkan untuk membuat pengagihan tersebut untuk melaksanakannya dengan sempurna dan teratur ke arah memastikan hasrat Paduka Ayahanda untuk melihat setiap umat Islam di negara ini berbuka puasa dengan kurma kurnia Paduka Ayahanda itu dapat ditunaikan dengan sebaik-baiknya. 

Oleh itu, saya menyeru supaya perhatian yang khusus juga diberikan oleh pihak-pihak tertentu dalam pengagihan buah-buah kurma tersebut kepada golongan orang-orang susah dan kurang berkemampuan, termasuklah juga di kalangan orang-orang tua. 

Apa yang saya harapkan supaya Penghulu dan Ketua-Ketua Kampong hendaklah sentiasa bersikap prihatin dalam mengelinga golongan-golongan tersebut sehingga janganlah sampai terdapat situasi di mana ada di antara mereka tidak menerima buah-buah kurma berkenaan sehinggakan mereka terpaksa pula mencari dan berkunjung ke rumah Penghulu dan Ketua-Ketua Kampong bagi mendapatkan kurma-kurma tersebut. 

Saya percaya banyak kemanfaatan yang boleh sahaja diperolehi jika Penghulu dan Ketua-Ketua Kampong selalu berdudun ke rumah-rumah anak-anak buah kampong masing-masing, bukan sahaja untuk tujuan pengagihan buah-buah kurma ini bahkan juga sekaligus dapat meninjau dan berinteraksi secara dekat dengan mereka bagi bertanyakan hal ehwal dan kesejahteraan mereka. 

Oleh itu, dalam menangani proses pengagihan tersebut, saya amat berharap supaya pihak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah akan turut memantau proses tersebut dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk memastikan kesempurnaannya. 

Di kesempatan ini, saya sukacita merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pegawai-Pegawai Daerah, Penghulu-Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampong, Anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Radio dan Televisyen Brunei, Jabatan Penerangan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Pelabuhan-Pelabuhan dan agensi-agensi Kerajaan yang berkenaan serta semua yang terlibat dalam mengendalikan pengagihan buah kurma kurnia ini. 

Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan mengurniakan ganjaran yang setimpal di atas usaha-usaha mereka yang ikhlas itu. 

Pada akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, semoga Paduka Ayahanda akan dilanjutkan usia dan sentiasa berada dalam keadaan sihat wal’afiat serta dalam perlindungan dan pemeliharaanNya dengan mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Amin. 

Sekian, Wabillahit Taufeq Wal-hidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Majlis Pelancaran Pengagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi KDYMM Bersempena Bulan Ramadhan 1435H / 2014M

 

Sabda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Bulan Ramadan 1435 Hijrah, bertempat di Dewan Banquet, Jabatan Perdana Menteri pada hari Rabu, 27 Syaaban 1435 bersamaaan 25 Jun 2014.

 

aanir Raheem

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh

Alhamdulillah, segala puji-pujian kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dan Selawat serta Salam ke atas Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, kaum kerabat dan sahabat-sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Saya amat bersyukur kerana pada hari ini, Allah Subhanahu Wata’ala telah mengizinkan kita berkumpul sekali lagi di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Paduka Ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadhan 1435 Hijrah.

Berbanyak kesyukuran juga kita panjatkan kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat dan hidayahNya jua, Paduka Ayahanda sukacita berkenan meneruskan lagi kurnia Baginda kepada seluruh umat Islam di Negara Brunei Darussalam berupa buah kurma yang dihasratkan untuk dijadikan sebagai juadah berbuka puasa.

Beberapa hari lagi kita akan memasuki bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan. Bulan rahmat yang kita nanti-nantikan, bukan sahaja oleh umat Islam di Negara ini bahkan juga oleh semua umat Islam di seluruh dunia.

Di bulan inilah kita diwajibkan mengerjakan ibadah puasa dan melipat gandakan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan mentaati segala perintahNya serta menjauhi segala IaranganNya.

Selain mengerjakan ibadah puasa di siang hari, kita juga dituntut untuk menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan amal ibadah, di samping memperbanyakkan amalan yang berkebajikan sepertimana yang disarankan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Malah kita juga digalakkan untuk terus memakmurkannya dengan membaca AI-Quran dan berzikir kerana dengannya akan dapat mententeramkan hati dan juga menjauhkan kita dari sifat-sift mazmumah seperti hasad dengki, buruk sangka, pemarah, takbur, terlalu cintakan dunia dan pemalas.

Begitu juga pada sepuluh malam terakhir Ramadhan, di mana kita juga dituntut untuk memperbanyakkan amal ibadah kita bagi meraih keistimewaan yang ada pada salah satu malam yang lebih mulia dari seribu bulan iaitu malam Laitatul Qadar.

Sepertimana firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al-Qadr, ayat 1 hingga 5, Allah Subhanahu Wata’ala telah menjanjikan kehadiran Lailatul Qadar pada bulan Ramadhan, iaitu satu malam yang  mempunyai keutamaan, kemuliaan, keberkatan dan keistimewaan, dan dirahsiakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala sebagai satu ujian kepada umat Islam dalam mencari dan meraih rahmat serta kasih sayang daripadaNya.

Justeru itu, marilah kita berusaha bersungguh-sungguh dengan tidak membiarkan malam Lailatul Qadar berlalu begitu sahaja bagi meraih rahmat serta kasih sayang yang dijanjikan Allah Subhanahu Wata’ala itu dengan membulatkan azam kita untuk terus beriman kepadaNya, dan sentiasa istiqamah dalam melakukan ibadah sepanjang bulan Ramadhan.

Menyentuh mengenai dengan pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Paduka Ayahanda, saya ingin menyarankan kepada semua  pihak yang terlibat dalam pengagihan buah-buah kurma kurnia tersebut untuk sentiasa menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna dan penuh amanah. Janganlah sampai terdapat sebarang aduan dari kalangan umat Islam di negara ini, yang menyatakan bahawa mereka masih belum atau tidak menerima kurma kurnia peribadi Paduka Ayahanda itu.

Perkara ini haruslah diambil perhatian serius oleh pihak-pihak yang berkenaan, kerana jika masih terdapat aduan sedemikian, bermakna bukan sahaja kita telah gagal dalam menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan, tetapi juga bererti bahawa hasrat Paduka Ayahanda untuk melihat seluruh umat Islam di negara ini menikmati kurma kurnia peribadi Baginda itu sebagai juadah berbuka puasa tidak akan tercapai.

Oleh itu, saya berharap supaya pihak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah akan mengambil Iangkah-langkah yang proaktif dalam memantau pelaksanaan pengagihan kurma kurnia tersebut bagi memastikan perkara tersebut tidak akan berlaku.

Di kesempatan ini, saya sukacita merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pegawai-Pegawai Daerah, Penghulu-Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampung, Anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Radio dan Televisyen  Brunei, Jabatan Penerangan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Pelabuhan-Pelabuhan dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta semua yang terlibat dalam mengendalikan pengagihan buah kurma kurnia Paduka Ayahanda ini.

Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan mengurniakan ganjaran yang setimpal di atas khidmat bakti yang telah disumbangkan itu.

Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, semoga Paduka Ayahanda akan sentiasa berada dalam keadaan sihat wal’afiat dan dalam perlindungan serta di bawah pemeliharaanNya di samping mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Wal-hidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Majlis Pelancaran Pengagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi KDYMM Bersempena Bulan Ramadhan 1434H / 2013M

 

Sabda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Bulan Ramadan 1434 Hijrah, bertempat di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam pada hari Rabu, 10 Syaaban 1434 bersamaaan 19 Jun 2013.

 

Bismillaahir Rahmaanir Raheem 

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh 

Alhamdulillah, segala  puji-pujian kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dan Selawat serta Salam ke atas Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, kaum kerabat dan sahabat-sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman. 

Saya bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah kurnia rahmat dan hidayat-Nya jua, yang mengizinkan kita berkumpul sekali lagi di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Paduka Ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadhan 1434 Hijrah. 

Tidak lama lagi umat Islam di seluruh dunia dan di Negara Brunei Darussalam akan menyambut kedatangan bulan Ramadhan Al Mubarak yang menjanjikan seribu macam keistimewaan, dengan penuh kegembiraan dan keinsafan. 

Justeru itu, kita perlu mengisikan bulan yang istimewa ini dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan memperbanyakkan amalan-amalan yang berkebajikan semata-mata untuk mendapat keredhaan dan keampunan dari Allah Subhanahu Wata’ala. 

Bulan Ramadhan bukanlah sekadar bulan ruhiyah bagi mereka yang tekun menghayatinya, tetapi ia sebenarnya bulan untuk menunjukkan keyakinan kita bahawa formula untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara akan hanya dapat dicapai apabila seluruh umat Islam di negara ini berpegang teguh kepada Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.                                                                                            

Inilah asas bagi memastikan kelangsungan hidup beragama, terus terbela dan terpelihara manakala kekuatan umat Islam sebagai ummah terus terjamin. 

Antara mekanisma untuk membina kekuatan ummah ialah melalui konsep tolong-menolong dalam perkara kebajikan, kebaikan dan taqwa. 

Ini jelas termaktub dalam Surah Al Maa-idah, ayat 2 yang kira-kira maksudnya: 

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kepada Allah Subhanahu Wata’ala, sesungguhnya Allah Subhanahu Wata’ala maha berat azab seksaNya (bagi mereka yang melanggar perintahNya).”

Saya amat gembira mengetahui bahawa konsep tolong-menolong memang diamalkan oleh pihak-pihak yang telah diamanahkan untuk melaksanakan pengagihan kurma kurnia peribadi Paduka Ayahanda ini. 

Perkara ini perlulah dikekalkan serta ditingkatkan dengan menambah lagi penglibatan dari kalangan ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung di seluruh negara. 

Menerusi konsep ini, saya yakin bahawa tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh Penghulu-Penghulu Mukim serta Ketua-Ketua Kampung sebagai pemimpin akar umbi, akan menjadi lebih ringan, dan membuahkan hasil seperti mana jua yang dihasratkan oleh Paduka Ayahanda di mana kurma-kurma kurnia ini, Insya’ Allah akan dapat dinikmati sebagai juadah berbuka puasa oleh semua golongan rakyat dan penduduk Islam di negara ini. 

Janganlah terdapat kejadian di mana ada umat Islam di negara ini yang tidak menerima buah kurma kurnia peribadi Paduka Ayahanda itu. 

Jika ini terjadi, bermakna kita telah gagal menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita semua dalam pengagihan buah kurma tersebut. 

Dalam hal ini, ada baiknya pihak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah memantau perkara ini dengan berkesan, bagi memastikan perkara tersebut tidak berlaku. 

Malah mungkin sudah tiba masanya untuk pihak Yayasan mengkaji semula cara-cara pengagihan yang berjalan pada masa ini, dan melihatnya secara holistik bagi membolehkan ianya diperbaiki dan diperkemaskinikan lagi mengikut keperluan semasa dan perubahan persekitaran. 

Di kesempatan ini, saya sukacita merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pegawai-Pegawai Daerah, Penghulu-Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampung, Anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polls Diraja Brunei, Jabatan Radio dan Televisyen Brunei, Jabatan Penerangan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Pelabuhan-Pelabuhan dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta semua yang terlibat dalam mengendalikan pengagihan buah kurma kurnia ini kerana melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan. 

Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan mengurniakan ganjaran yang setimpal. 

Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, semoga Paduka Ayahanda akan sentiasa diberikan kesihatan yang berpanjangan dan berada dalam perlindungan dan pemeliharaan Nya serta mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Amin. 

Sekian, Wabillahit Taufeq Wal-hidayah, Wassalamu ‘Alaikum WarahmatuIlaahi Wabarakaatuh.

Majlis Pelancaran Pengagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi KDYMM Bersempena Bulan Ramadhan 1433H / 2012M

 

Sabda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Bulan Ramadan 1433 Hijrah, bertempat di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam pada hari Selasa, 13 Syaaban 1433 bersamaaan 3 Julai 2012.

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Subhanahu Wata’ala Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kaum kerabat dan sahabat-sahabat serta pengikut-pegikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Allah Subhanahu Wata’ala telah mengurniakan kepada kita limpah rahmat-Nya yang berterusan, di mana pada petang ini kita dapat berkumpul sekali lagi, di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Paduka Ayahanda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadan 1433 Hijriah.

Berbanyak-banyak syukur kita rafakkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana telah mengurniakan kesihatan dan umur yang panjang serta rezeki yang amat luas kepada Paduka Ayahanda.

Dengan nikmat tersebut, maka Paduka Ayahanda dengan sukacita berkenan meneruskan lagi kurnia baginda kepada seluruh lapisan masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam, yang berupa buah kurma untuk juadah berbuka puasa.

Dalam beberapa hari saja lagi, bulan Ramadan, bulan yang mulia yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam akan menjelang.

Dalam keghairahan umat Islam menyambutnya, iaitu setelah bermuhasabah diri pada Ramadan tahun lalu, ramai yang berazam untuk cuba memperbaiki kekurangan sebelum ini, dengan mengamalkan konsep ‘hari ini lebih baik dari semalam’.

Tetapi jika ditinjau dari sudut kesihatan pula, berapa ramaikah yang menyematkan di hati sebagai azam baru untuk menjaga pemakanan agar nikmat kesihatan tidak terabai apatah lagi kalangan umat Islam yang masih mengamalkan tabiat buruk merokok?

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Tirmizi dan Ibnu Majah : “Dua nikmat agung yang diabaikan kebanyakan orang ialah kesihatan dan masa lapang.”

Perkara ini jelas dilihat daripada peningkatan masalah kesihatan masyarakat negara kita disebabkan gaya hidup yang tidak sihat dan seimbang.

Sebelum melangkah ke bulan Ramadan, marilah kita mempersiapkan diri kita dari aspek rohani, jasmani dan mental.

Justeru itu, masyarakat Islam perlu lebih mengamalkan cara pemakanan yang sihat dengan mengurangkan makanan dan minuman yang boleh memudaratkan tahap kesihatan.

Bulan Ramadan juga mempunyai suasana yang sangat baik untuk berhenti merokok dan oleh yang demikian, umat Islam yang merokok wajarlah mengambil kesempatan di bulan Ramadan yang mubarak ini untuk meninggalkan tabiat buruk amalan merokok.

Dengan itu, insya-Allah, kita akan dapat menjalani ibadah puasa dengan penuh bertenaga dan memiliki risiko kesihatan yang rendah.

Semoga dengan kekuatan iman dan keyakinan, kita dapat melaksanakan ibadah dengan ikhlas, mampu meraih maghfirah dan ketakwaan serta menjadikan kita Muslim yang lebih baik berbanding dengan sebelumnya.

Saya juga berharap hasrat Paduka Ayahanda akan tercapai, dengan pengagihan dan pembahagian buah-buah kurma kurnia peribadi baginda secara teratur dan sempurna, kepada semua mereka yang layak menerimanya.

Dari itu, perkara ini harus diambil perhatian yang berat oleh pihak-pihak yang berkenaan khususnya bagi mereka yang diamanahkan untuk mengagih-agihkan kepada yang berhak, supaya jangan terdapat aduan yang menyatakan bahawa mereka tidak menerima kurma kurnia peribadi Paduka Ayahanda.

Jika ini berlaku, ertinya kita telah gagal menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita dengan sebaik-baiknya.

Maka bertabaruk dengan bulan Ramadan yang akan kita lalui, sama-samalah kita berdoa semoga pengagihan kurnia peribadi Ayahanda ini akan berjalan dengan lancar dan sempurna.

Dalam kesempatan ini saya sukacita mengucapkan terima kasih dan tahniah serta penghargaan kepada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pegawai-pegawai Daerah, penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Radio dan Televisyen Brunei, Jabatan Penerangan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Pelabuhan-Pelabuhan dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta kepada semua yang terlibat di atas segala usaha-usaha untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan mengurniakan ganjaran yang setimpal.

Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, semoga Paduka Ayahanda akan sentiasa diberikan kesihatan yang berpanjangan dan berada dalam perlindungan dan pemeliharaan-Nya serta mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Pelancaran Pengagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi KDYMM Bersempena Bulan Ramadhan 1432H / 2011M

 

Sabda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di Majlis Pelancaran Pengagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena Bulan Ramadhan 1432H/2011M di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam pada hari Selasa 10 Syaaban 1432H bersamaan 12 Julai 2011M.

 

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Subhanahu Wataala, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kaum kerabat dan sahabat-sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala di atas limpah kurnia-Nya jua yang mengizinkan kita hadir di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Paduka Ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadhan 1432 Hijrah ini.

Bulan Ramadhan yang mubarak akan tiba dalam beberapa minggu sahaja lagi.

Oleh itu, wajarlah kita bermuhasabah diri untuk memastikan kita akan berusaha mencapai matlamat untuk melaksanakan ibadah puasa dengan penuh ketaqwaan.

Jika tidak, kita akan tergolong dengan orang-orang yang rugi.

Kehadiran bulan Ramadhan, bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini, disambut oleh umat Islam dengan penuh rasa kesyukuran kerana kita masih dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala rahmat kesihatan dan dipanjangkan usia.

Namun ada juga setengah orang yang merasa gusar kerana terpaksa mengubah rutin harian iaitu tidak dapat menikmati makana pada waktu siang hari seperti biasa.

Sebahagiannya pula menyambut bulan mubarak ini dengan rasa kegembiraan, kerana di samping dapat meningkatkan amal ibadat, dapat pula mengurangkan pengambilan makanan serta mengurangkan berat badan bagi mempertingkatkan kesihatan.

Sejak akhir-akhir ini, kita diperingatkan bahawa amalan pemakanan yang berlebihan dan tidak seimbang adalah salah satu punca kepada pelbagai penyakit yang tidak berjangkit, seperti kencing manis, penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok dan kanser.

Masalah obesiti atau kegemukan sekarang telah menjadi ancaman kesihatan dalam masyarakat kita.

Jika dulu kegemukan seringkali ditafsirkan sebagai tanda sihat, namun kini kegemukan dikaitkan pula dengan masalah kesihatan.

Secara umumnya, cara pemakanan dan gaya hidup tidak sihat merupakan punca utama yang boleh menyumbang kepada masalah kegemukan.

Sehubungan ini, pelbagai program dan aktiviti sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan, untuk menyedarkan masyarakat kita tentang pemakanan dan gaya hidup sihat, serta untuk mengurangkan masalah kegemukan di kalangan rakyat dan penduduk di negara ini.

Sungguhpun adanya usaha-usaha sedemikian, masih ada orang yang terus mengabaikan nasihat ini.

Islam menggalakkan kita mengambil langkah pencegahan seperti yang disebutkan oleh Al Harith ibn Kaladah bahawa pencegahan itu adalah inti pengubatan dan perut adalah sarang penyakit.

Kita juga digalakkan untuk memakan buah-buahan khasnya sebelum kita menikmati hidangan utama, yang mana amalan ini merupakan sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Pada majlis yang berkebajikan ini, marilah kita sama-sama menyembahkan rasa kesyukuran kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana Paduka Ayahanda dapat meneruskan kurnia peribadi baginda berupa buah kurma kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di negara ini untuk juadah berbuka puasa.

Kita doakan semoga Allah Subhanahu Wataala akan sentiasa melimpahkan rahmat dan nikmat lanjut usia kepada paduka ayahanda serta sihat walafiat lagi sejahtera.

Akhirnya saya sukacita merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pegawai-Pegawai Daerah, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Radio dan Televisyen Brunei, Jabatan Penerangan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Pelabuhan-Pelabuhan serta semua yang terlibat dalam sama-sama mengurus dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang berkebajikan ini dengan jayanya.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Pelancaran Pengagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi KDYMM Bersempena Bulan Ramadhan 1431H / 2010M

 

Sabda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena Bulan Ramadhan 1431H/2010M pada Hari Sabtu, 12 Syaaban / 24 Julai 2010 bertempat Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam.

 

Alhamdulillah, segala puji dan syukur hanya bagi Allah jua. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kaum kerabat dan sahabat-sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.

Di antara nikmat yang sangat bernilai ialah nikmat kesihatan dan umur panjang. Dengan nikmat ini dapatlah kita berkumpul di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Paduka Ayahanda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadhan 1431 Hijrah.

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh rahmat, di samping juga terdapat pelbagai dugaan.

Dugaan, bukan saja dalam perkara menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menahan diri dari sebarang perbuatan keji dan maksiat. Kerana walaupun berpuasa, jika dicampur dengan maksiat, maka alamatlah puasa itu akan jadi sia-sia.

Dalam sebuah hadis, bermaksud bahawa puasa itu adalah untuk Allah, sementara lain-lain amalan adalah untuk anak Adam sendiri.

Ini membawa makna, ibadat puasa itu adalah berkait langsung dengan keimanan kepada Allah, dan barangsiapa jua yang melakukannya, orang itu adalah benar-benar memelihara hubungannya dengan Allah.

Demikian pula dalam masa berpuasa, hubungan kita sesama manusia juga hendaklah dijaga. Bagaimana menjaga hubungan sesama kita itu? Di antaranya, janganlah sekali-kali memutuskan silaturahim, jangan mengumpat, jangan berbohong dan jangan melakukan sebarang penganiayaan terhadap orang lain.

Juga dalam bulan Ramadhan, kita boleh mengambil peluang keemasan untuk membanyakkan sedekah, kerana pada bulan ini sangat-sangat digalakkan untuk bersedekah. Tidakkah ini juga satu cara bagi menjalinkan hubungan di antara pemberi dan penerima sedekah itu?

Dalam masa inilah, rezeki yang kita miliki, kita sumbangkan sedikit kepada mereka yang berhajat atas nama sedekah, dan insya-Allah, ganjarannya akan diterima menurut kadar yang telah ditentukan oleh Allah.

Di majlis yang berkebajikan ini, saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana melimpahkan kepada Paduka Ayahanda nikmat lanjut usia serta sihat afiat lagi sejahtera.

Dengan nikmat ini jugalah, Paduka Ayahanda dapat meneruskan lagi kurnia peribadi baginda berupa buah kurma untuk juadah berbuka puasa.

Kita merasa beruntung kerana dengan adanya buah kurma kurnia Paduka Ayahanda itu, maka hubungan serta pertalian sesama kita juga akan dapat terus ditingkatkan, melalui semangat kerjasama dan permuafakatan sesama kita pada melaksanakan pengagihan kepada rakyat dan penduduk Islam di Negara Brunei Darussalam ini.

Pada kesempatan ini, saya sukacita merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pegawai-pegawai Daerah, Penghulu-penghulu Mukim, Ketua-ketua Kampung, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja , Jabatan Pelabuhan, Jabatan Penerangan dan Jabatan Radio dan Televisyen Brunei serta semua yang terlibat dalam sama-sama mengurus dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang berkebajikan ini dengan jayanya.

Mudah-mudahan usaha dan kerjasama yang disumbangkan oleh semua pihak itu, akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah Subhanahu Wataala jua. Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, semoga paduka ayahanda akan sentiasa berada dalam pemeliharaan Allah dan beroleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Pelancaran Pengagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi KDYMM Bersempena Bulan Ramadhan 1430H / 2009M

 

Sabda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Bersempena Bulan Ramadhan 1430 Hijrah / 2009 Masihi, pada hari Isnin, 12 Syaaban 1430 bersamaan 3 Ogos 2009 , bertempat di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam.

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim,

Alhamdulillah, segala puji dan syukur hanyalah teruntuk Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah rahmat dan nikmat-Nya juga, mengizinkan kita sekali lagi dapat berkumpul di majlis yang mulia lagi berkebajikan ini, iaitu Majlis Pelancaran Pengagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi Paduka Ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadan 1430 Hijrah.

Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, kaum kerabat dan sahabat-sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Sebagaimana yang sama-sama kita maklumi, buah kurma ini adalah dihasratkan untuk juadah kita berbuka puasa.

Pengurniaan buah kurma dari Paduka Ayahanda kepada umat Islam di Negara Brunei Darussalam, tanpa mengira kerakyatan, bangsa dan umur, adalah merupakan salah satu rahmat kurnia Allah Subhanahu Wata’ala kepada kita semua.

Masa berlalu begitu cepat. Dalam beberapa minggu sahaja, bulan Ramadhan yang mulia dan penuh keberkatan akan kembali menemui kita.

Inilah bulan, di mana pintu rahmat dan kebaikan dibuka seluas-luasnya dan segala amal ibadah jika dilakukan dengan penuh khusyuk dan ikhlas, akan mendapat ganjaran pahala berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Betapa penting dan tingginya nilai harga masa dalam kehidupan kita, sering saja dikaitkan dengan ungkapan ‘Masa itu emas’.

Dalam Islam, kepentingan masa ini telah ditekankan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al ‘Ashr yang mafhumnya:

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang- orang yang beriman dan beramal soleh.”

Ketibaan bulan Ramadhan adalah bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam di seluruh dunia, bulan di mana umat Islam akan berusaha bersungguh-sungguh memanfaatkan masa, untuk meningkatkan amal ibadat, bagi meraih balasan pahala yang berlipat ganda, dan juga sebagai bukti ketaatan kepada Allah Maha Pencipta.

Dalam pada itu, bulan Ramadhan bukan sahaja mengajar umat Islam menghargai masa, tetapi juga mendidik untuk menjadi seorang yang berdisiplin.

Rutin harian bagi seseorang Muslim dan Muslimah di sepanjang bulan Ramadhan umpamanya, telah diatur dengan ketepatan masa untuk bersahur, bersungkai dan melaksanakan amal ibadat.

Salah satu kegiatan yang digalakkan dilakukan di bulan Ramadhan ialah menghampirkan diri dengan masjid.

Kita merasa bersyukur, dengan kehadiran para jemaah untuk menunaikan Sembahyang Tarawih, di masjid-masjid di negara ini.

Demikian juga dengan kegiatan-kegiatan keugamaan yang diungkayahkan oleh kebanyakan masjid di bulan Ramadhan.

Sehubungan ini, kita ingin melihat bahawa lebih banyak lagi kegiatan keugamaan dan kebajikan akan dapat dilaksanakan, khususnya dalam membawa generasi muda mengimarahkan masjid-masjid, terutama di bulan Ramadhan ini nanti.

Oleh yang demikian, maka sama-samalah kita merebut peluang yang ada pada bulan Ramadhan nanti, dengan menggunakan masa dengan bijak, mengatur segala kegiatan yang berkebajikan yang hendak dilakukan di bulan yang mulia lagi mubarak itu.

Rancanglah masa untuk bermunajat, bermuhasabah diri dan berfikir tentang kebesaran ciptaan Ilahi.

Di samping itu, kita perlu juga merancang masa untuk memenuhi keperluan hidup manusia seperti berehat, bekerja, berkeluarga dan bermasyarakat.

Mengenai pengagihan buah kurma kurnia pula, saya berseru kepada semua para petugas yang telah diamanahkan, supaya akan dapat merancang dan mengatur strategi dengan bijak, agar pengagihannya berjalan dengan lancar dan sampai kepada penerima-penerimanya tepat pada masanya.

Dalam kesempatan ini, saya sukacita merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yayasan Sultah Haji Hassanal Bolkiah, Pegawai-pegawai Daerah, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei serta semua jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang telibat dalam pengurusan dan pengendalian pengagihan kurma kurnia ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Pelancaran Sultan Omar Ali Saifuddien Memorial Lecture Pada Hari Rabu 29 Safar 1430 Bersamaan 25 Februari 2009

 

Sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan Di Jabatan Perdana Menteri pada hari Rabu, 29 Safar 1430 bersamaan 25 Februari 2009 bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

 

Bismillah Hir Rahman Nir Rahim
Assalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh

Saya amat berbahagia dan berbangga dapat menyertai para hadirin sekalian pada hari ini bagi Syarahan Memorial Sultan Omar ‘Ali Saifuddien yang pertama.

Saya mengucapkan tahniah kepada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam, yang menganjurkan syarahan memorial ini bagi memperingati Paduka Nenda Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, siapa sesungguhnya adalah seorang negarawan yang layak diteladani.

Saya percaya syarahan seumpamanya ini adalah yang julung kalinya dianjurkan di Brunei Darussalam, dan di dalam beberapa tahun yang akan datang, adalah diharapkan lebih banyak syarahan-syarahan akan dianjurkan dengan penglibatan pensyarah-pensyarah terkenal tempatan dan antarabangsa, dengan matlamat utama bagi kelestarian budaya belajar sepanjang hayat di Negara Brunei Darussalam.

Al-Marhum Paduka Nenda adalah seorang raja yang mempunyai kesungguhan dan semangat yang tinggi. Baginda memiliki gagasan yang mantap dan jauh kehadapan bagi haluan untuk mencorak negara kita dan membuat persediaan bagi masa hadapan. Al-Marhum Paduka Nenda adalah juga dikenali sebagai seorang pemimpin tersohor yang memiliki kebolehan luar biasa dan pelbagai lingkungan minat. Melalui lingkungan luas dasar-dasarnya, Baginda telah berjaya meletakkan asas-asas bagi negara kita sepertimana yang kita ketahui hari ini, dan untuk itu, Baginda adalah bertepatan sekali dikenali sebagai Akitek Brunei Moden.

Selain seorang penulis yang prolifik, artis yang berjiwa jitu, akitek dan ahli sukan yang gigih, Paduka Nenda adalah seorang pemimpin yang mempunyai kearifan dan kemahiran diplomatik yang hebat. Tidak kurang pentingnya adalah penghayatan dan kepatuhan sepanjang hayat Baginda kepada ajaran-ajaran murni Islam.

Saya mempunyai penghormatan dan cinta yang amat mendalam terhadap Al-Marhum Paduka Nenda dan dedikasi Baginda dalam mempertingkatkan negara kita dan kehidupan seluruh rakyatnya. Dengan itu, saya berpendapat bahawa adalah bertepatan sekali bagi Syarahan Memorial ini diabadikan bersempena Baginda.

Pada zahirnya, adalah dihasratkan bahawa syarahan-syarahan ini akan mengumpulkan para cendiakawan, ahli-ahli akademik, para intelek tersohor dan pensyarah-pensyarah bagi membincangkan buah-buah fikiran yang Al-Marhum Paduka Nenda amat dambakan untuk direalisasikan.

Saya percaya adalah juga penting bagi Syarahan-Syarahan Memorial untuk berkembang bagi meliputi isu-isu aliran utama sejagat dengan tahap interaksi yang tinggi di antara komuniti ahli akademik dan intelek tempatan dengan rakan antarabangsa mereka.

Kita sekarang berada dalam zaman masyarakat bermaklumat, di mana penyebaran pantas maklumat global adalah menjadi sebahagian ciri dari kehidupan yang berkuasa mempengaruhi keputusan-keputusan dalam kewangan, politik dan ekonomi bagi semua negara secara menyeluruh.

Sekarang, secara lebih jelas lagi, adalah mustahak bagi negara kita untuk memajukan perkembangan pengetahuan di kalangan rakyat kita, dengan menanamkan proses belajar sepanjang hayat sebagai asas utama dalam kehidupan kita, dan saya berharap Syarahan-Syarahan Memorial akan memainkan peranan ke arah mencapai matlamat ini.

Komuniti global menghadapi pelbagai cabaran kewangan, ekonomik dan persekitaran yang mendesak. Penduduk Negara Brunei Darussalam dalam masa yang sama telah merasakan akibat dari krisis-krisis global ini walaupun pada skala yang lebih kecil berbanding dengan kebanyakan lainnya.

Pada tahun ini saja, kita telah menyaksikan bagaimana perubahan iklim dan impak dari pertukaran corak cuaca yang telah membawa bersamanya banjir yang meluas dan ganguan kepada banyak bahagian negara kita.

Kita juga telah menyaksikan bagaimana krisis kewangan global dan kemurungan ekonomi telah memberikan impak teruk kepada industri-industri dan ekonomi-ekonomi yang berasaskan ekspot di dalam rantau kita ini.

Bagi mengenangani dengan lebih berkesan cabaran-cabaran ini, kita memerlukan ramai individu-individu yang berpengetahuan dan sebuah masyarakat yang dilengkapi secara sempurna dengan kemahiran-kemahiran dan pengetahuan bagi mengatasi cabaran-cabaran tersebut melalui inovasi dan kolaborasi.

Wawasan yang jauh kehadapan Al-Marhum bagi mengembangmajukan sistem pendidikan nasional kita telah dibuktikan dan selanjutnya lebih dikembangluaskan lagi oleh Paduka Ayahanda. Kedua-dua generasi pemerintah ini telah mengiktiraf bahawa keupayaan manusia dan sumber-sumbernya adalah pemacu utama bagi kesinambungan kemajuan dan telah membuat pelaburan-pelaburan besar dalam memodenisasikan prasarana pendidikan dan perkembangan sumber tenaga manusia.

Cabaran utama yang saya nampak bagi sistem pendidikan kita adalah bagaimana ianya berupaya mengimbangi keselarian dengan keperluan-keperluan semasa dan kehadapan matlamat-matlamat kemajuan sosio-ekonomi kita.

Rakyat kita, khususnya belia-belia kita dan generasi bakal pemimpin masa depan kita, juga menghadapi cabaran yang sama dalam berusaha untuk memenuhi dan mengatasi tuntutan-tuntutan dunia moden yang menghendaki kemahiran dan tekanan-tekanannya. Dalam kita bangkit menghadapi cabaran-cabaran ini, kita juga sepatutnya tidak terlepas pandang akan siapa diri kita sebagai orang-orang Brunei, dengan nilai teras dan budaya kita yang berakar-umbikan kepada falsafah Melayu Islam Beraja.

Sebagai sebuah negara, kita tidaklah berseorangan dalam menghadapi cabaran-cabaran ini dan saya merasakan terdapat banyak yang boleh kita pelajari dari pengalaman-pengalaman negara lainnya dalam rantau kita dan yang lebih jauh. Inilah salah satu bidang di mana Syarahan Memorial ini mempunyai peranan sinergistik untuk dimainkannya sebagai pelantar bagi kemajuan akademik dan intelektual.

Pada majlis yang istimewa ini, saya ingin menyampaikan penghargaan yang mendalam kepada Tuan Yang Terutama Menteri Mentor Dato Laila Utama Lee Kuan Yew, yang bersama kita hari ini, bagi meluangkan masanya, pengalaman-pengalaman dan pemahaman dalaman yang unik mengenai keakraban hubungan di antara Negara Brunei Darussalam dan Singapura.

Tuan Yang Terutama setentunya bukan asing kepada Negara Brunei Darussalam dan melalui kebestarian, diplomasi dan persefahamannya, beliau telah meletakkan asas-asas bagi hubungan yang sangat akrab dan kerjasama yang dinikmati hari ini di antara Negara Brunei Darussalam dan Singapura.

Tuan Yang Terutama adalah seorang yang ‘kontemporari’ dan sahabat akrab Al-Marhum Paduka Nenda, dan adalah merupakan salah seorang negarawan Asia yang dikagumi. Saya merasa amat berbesar hati bagi beliau untuk berucap pada syarahan kali ini.

Saya percaya Syarahan Memorial Sultan Omar ‘Ali Saifuddien akan menjadi pelengkap penting terhadap usaha-usaha kita dalam mengembangluaskan pengejaran ilmu pengetahuan dan penanaman budaya belajar sepanjang hayat di kalangan warga kita.

Saya mendoakan bagi kejayaan syarahan pertama ini dan siri-siri syarahan akan datang. Semoga syarahan ini mencapat matlamat-matlamatnya dan saya mengucapkan kejayaan kepada para peserta dalam syarahan-syarahan dan perbincangan-perbincangan mereka.

Dengan kalimah Bismillah Hir Rahman Nir Rahim, saya dengan ini mengisytiharkan Syarahan Memorial Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, dibuka dengan rasminya.

Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Majlis Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 2008

 

Sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan Di Jabatan Perdana Menteri pada hari Rabu, 7 Zulkaedah 1429 bersamaan 5 November 2008 bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

 

Assalamu’Alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh
Bismillah Hir Rahman Nir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua kita dapat hadir di Majlis Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada pagi ini.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di atas inisiatif menganjurkan Majlis Anugerah Kesusteraan Islam sebagai manifestasi dan penghayatan terhadap tamadun Islam.

Kesusasteraan Islam adalah merupakan karya sastera yang menegakkan hubungan yang wujud di antara manusia, alam dan yang Maha Pencipta. Sebab itulah, karya sastera dan seni berunsurkan Islam bukan sahaja indah pada pendengaran dan penglihatan, malah kehalusan keseniannya berupaya menambat hati nurani serta membawa sinar hidayah.

Kebelakangan ini berlaku percanggahan antara Islam dan bukan Islam bilamana Islam telah dikaitkan dengan elemen-elemen yang kurang sihat. Terdapat penulisan oleh karyawan barat yang mengatakan keadan ini berpunca dari ‘clashes of civilization’ atau “percanggahan tamadun”. Kebenaran analisa ini belum dapat dipastikan, akan tetapi apa yang berlaku ialah percanggahan ini telah menimbulkan ketegangan terutama apabila golongan bukan Islam yang menghasilkan penulisan mereka mengenai Islam kurang memahami Islam yang sebenar.

Justeru itu, usaha dan inisiatif Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah untuk melestarikan tamadun Islam melalui galakan penulisan karya sastera Islam adalah bertepatan sekali. Kita mengharapkan penulisan karya sastera Islam di negara ini akan membantu menyebarkan dan menerapkan nilai-nilai murni budaya masyarakat yang berpegang teguh kepada agama Islam dan konsep Melayu Islam Beraja.

Dari segi sejarah, Negara Brunei Darussalam mempunyai sejarah kesusteraannya yang tersendiri. Penulisan karya sastera moden di negara ini telah bertapak pada tahun 1845 dengan lahirnya Syair Rakis, karangan Pengiran Shahbandar Mohd Salleh yang membawa pemikiran baru dan kritis.

Penulisan karya berunsurkan Islam pula telah bertapak pada awal abad ke sembilan belas. Kita amat berbangga dengan hasil penulisan Paduka Nenda Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, dengan nama pena “Muda Omar ‘Ali Saifuddien”, yang telah bergiat aktif melahirkan karya-karya berbentuk syair.

Baginda bukan sahaja dapat merakamkan sejarah sosio-ekonomi dan politik semasa, tetapi mencetuskan pemikiran yang tajam dan nasihat-nasihat yang bermanfaat untuk bangsa. Luahan pemikiran dan nasihat-nasihat tersebut masih lagi segar dan relevan sehingga kini.

Tentu sahaja hasil karya kesusasteraan yang awal ini telah mengilhamkan dan mendorong penulis-penulis pada masa ini untuk terus aktif bergiat menulis dan menghasilkan karya masing-masing. Ini telah terbukti dengan adanya penulis-penulis tempatan kita yang telah pun mendapat pengiktirafan serantau umpamanya menerusi Anugerah Penulis Asia Tenggara atau South East Asian Writers Awards di Thailand, dan Hadiah Sastera MASTERA, Malaysia.

Di kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada para penulis tempatan, khasnya karyawan kesusasteraan Islam kerana telah dapat meneruskan khazanah warisan ini dan pada masa yang sama berusaha dengan gigih untuk mengangkat martabat kesusasteraan Islam di negara ini ke tahap yang sebanding dengan negara jiran serantau.

Dalam hubungan yang sama, penglibatan karyawan muslimah tanah air amatlah dialu-alukan ke arah mencapai hasrat yang murni tersebut.

Sayan percaya Anugerah Kesusasteraan Islam ini akan dapat menjadi pendorong dan perangsang ke arah usaha memartabatkan kedudukan kesusasteraan serta kesinambungan perkembangan dan kemajuannya di negara ini.

Pada masa yang sama, para penggiat atau karyawan keIslaman akan dapat terus menyumbang ke arah penyebaran dakwah Islamiah dan memperkukuh ikatan ummah serta memperkaya khazanah kesusasteraan Islam setempat.

Dalam konteks ini, pengiktirafan terhadap pencapaian kepada individu adalah juga merupakan tanda aras atau ‘benchmark’ dalam membuat penilaian hasil karya dalam sejarah perkembangan kesusasteraan sesebuah bangsa itu.
Sehubungan dengan ini, dengan titah perkenan Paduka Ayahanda, dan berasaskan sokongan Panel Penilai Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Baginda telah memperkenankan bagi:

Al-Marhum Paduka Nenda Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam, diiktiraf sebagai TOKOH SASTERAWAN ISLAM BRUNEI, dan Al-Marhum Pengiran Shahbandar Mohd Salleh ibnu Pengiran Sharmayuda sebagai PELOPOR KESUSASTERAAN MODEN BRUNEI.

Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Pelancaran Pengagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi KDYMM Bersempena Bulan Ramadhan 1429H / 2008M

 

Sabda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Di Majlis Pelancaran Pengagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Bersempena Bulan Ramadhan 1429H / 2008M pada Hari Rabu, 11 Syaaban 1429 / 13hb Ogos 2008 Bertempat di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) Berakas.

 

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wata’ala, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, kaum kerabat dan sahabat-sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi setia serta jujur hingga ke akhir zaman.

Saya amat bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah kurnia-Nya jua dapat mengizinkan kita berhimpun beramai-ramai di Majlis Pelancaran Pangagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi Paduka Ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadhan 1429 Hijrah ini.

Sepanjang ingatan saya, pengurniaan buah kurma daripada paduka ayahanda sempena bulan Ramadhan ini adalah merupakan kali yang ke-17. Buah kurma ini dihasratkan sebagai juadah berbuka puasa bagi setiap umat Islam di Negara Brunei Darussalam tanpa mengira status rakyat, jenis bangsa dan peringkat umur.

Saya berasa gembira dan bangga di atas iltizam, semangat tinggi dan usaha berterusan daripada pihak-pihak yang terlibat dalam sama-sama mengungkayahkan pembahagian buah kurma ke seluruh negara ini.

Insya-Allah, bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini, iaitu bulan Ramadhan yang dinanti-nantikan oleh setiap umat Islam yang beriman, akan tiba tidak berapa lama lagi.

Dalam bulan Ramadhan, umat Islam di samping menunaikan ibadat puasa juga berusaha merebut peluang keemasan pada meningkatkan amal ibadat dan taqwa diri serta menambahkan rasa syukur atas nikmat yang begitu melimpah-ruah yang telah dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

Terdapat banyak nas Al-Qur’an yang menjelaskan mengenai konsep bersyukur atau sentiasa mensyukuri akan nikmat-nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala ini. Misalnya dalam Surah Ibrahim, sebahagian ayat 7 yang kira-kira tafsirannya:
“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”

Sebagai mukmin sejati, kita hendaklah sentiasa bersyukur terhadap apa jua bentuk nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

Namun kesyukuran itu juga akan lebih bermakna jika nikmat yang diperolehi itu digunakan atau dimanfaatkan ke arah jalan yang diredai oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan bukannya untuk perkara-perkara yang mungkar.

Dalam bulan Ramadan yang mulia, rasa syukur ini juga perlu diseimbangkan dengan sikap kesederhanaan, iaitu mengamalkan sikap sederhana dalam perbelanjaan dan mengelakkan perkara-perkara pembaziran.

Dalam hal ini, kita perlu mengambil iktibar bagaimana Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah mengajar umatnya bersederhana dalam aspek menggunakan makanan seperti mana sabda Baginda:

“Tidak ada bejana yang lebih buruk yang diisi oleh manusia daripada perut sendiri. Cukuplah seorang itu memakan beberapa suap makanan yang dapat menegakkan tulang belakangnya. Kalau terpaksa, maka ia boleh mengisi sepertiga perutnya dengan makanan, sepertiga lagi dengan minuman dan sepertiga bakinya untuk nafas.”

Ini memberi ruang pengajaran kepada kita agar bersederhana dalam aspek makanan dan menghindarkan diri daripada makan secara berlebih-lebihan tanpa mengawal hawa nafsu.

Oleh itu, sama-samalah kita mengawal nafsu kerana ianya merupakan dugaan yang hebat daripada Allah Subhanahu Wata’ala bagi menguji keimanan dan ketaqwaan kita.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan agensi-agensi kerajaan serta semua yang terlibat dalam menguruskan dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab bagi kerja-kerja yang berkebajikan ini dengan penuh amanah dan dedikasi.

Semangat kerjasama dan permuafakatan yang telah diamalkan sebelumnya perlulah diteruskan dan dipertingkatkan lagi dengan sebaik-baiknya, agar apa yang dihasratkan oleh paduka ayahanda itu akan menepati sasaran dan tujuan.

Dalam hal ini, pihak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Jabatan-jabatan Daerah hendaklah sentiasa memastikan bahawa semua pihak yang diamanahkan dalam pengagihan buah-buah kurma ini, termasuk Penghulu-penghulu, Ketua-ketua Kampung dan orang-orang tertentu, memahami peranan masing-masing supaya buah kurma kurnia peribadi Paduka Ayahanda ini akan dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat yang beragama Islam di negara ini.

Mudah-mudahan usaha dan kerjasama murni yang disumbangkan oleh semua pihak akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah Subhanahu Wata’ala jua.

Sebagai balasan yang tulus ikhlas dan sekali gus untuk menghargai kurnia Paduka Ayahanda ini, marilah kita sama-sama berdo’a ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, semoga paduka ayahanda sentiasa sihat walafiat dan selalu dalam perlindungan serta pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala dan mendapat kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat, amin.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.