Sempena bulan Ramadan 1443H bersamaan 2022M, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan berbentuk kewangan dan makanan berjumlah keseluruhannya BND150,400.00 kepada sebanyak 150 buah keluarga yang terdiri daripada warga emas dan golongan yang memerlukan bantuan di seluruh negara melalui Program Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Program ini juga sejajar dengan matlamat strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam mengimbangi pemedulian terhadap keperluan asasi golongan yang memerlukan. Sumbangan melalui Program Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bertujuan bagi membantu meringankan keperluan perbelanjaan dalam menyediakan keperluan keluarga di bulan Ramadan supaya mereka dapat menjalankan ibadah puasa dengan sempurna dan memberikan keceriaan kepada mereka dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.  
Penyampaian sumbangan melalui Program Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada 150 buah keluarga di seluruh negara dilakukan secara berperingkat pada hari ini dan esok di keempat-empat Daerah.

Pada 25 Ramadan 1443 bersamaan 27 April 2022, Penyampaian sumbangan melalui Program Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dikendalikan di beberapa buah kampong di Daerah Brunei dan Muara yang dibahagikan kepada tiga zon.  Penyampaian pada setiap zon masing-masing diketuai oleh

ZON 1

Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan turut hadir ialah Yang Mulia Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman, Penolong Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

ZON 2

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

ZON 3

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.


Manakala penyampaian di beberapa buah kampong di keempat-empat Daerah akan diteruskan pada 26 Ramadan 1443 bersamaan 28 April 2022.  Sumbangan tersebut akan disampaikan oleh Penolong Penolong Pengarah Urusan dan Pegawai-Pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.