Pada 23 Rabiulakhir 1444 bersamaan 18 November 2022, Yayasan mengadakan Perasmian Hari Bakarih Yayasan bertempat di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Hadir selaku tetamu kehormat dan merasmikan Hari Bakarih Yayasan ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Hari Bakarih Yayasan merupakan platform perniagaan bagi mengenalkan produk-produk yang dihasilkan oleh para Usahawan Bakarih Yayasan iaitu para pengusaha yang dilahirkan melalui program bantuan modal perusahaan atau perniagaan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.  Seramai 24 orang Usahawan Bakarih Yayasan yang mengusahakan pelbagai perusahaan menyertai aktiviti jualan. 

Program dan bantuan perusahaan adalah selaras dengan salah satu Matlamat Strategik (SG) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu Mendukung Pencapaian Taraf Sara Diri, bagi mendukung usaha Kerajaan membantu meningkatkan tahap sara diri golongan sasar melalui program keusahawanan agar mereka mampu berdikari meningkatkan potensi diri dan mampu meningkatkan taraf kehidupan keluarga.

Hari Bakarih Yayasan juga turut disertai oleh seramai 14 pengusaha di kalangan penerima bantuan di bawah Program Pemerkasaan Keusahawanan yang dikendalikan oleh agensi-agensi yang merupakan rakan strategik Yayasan iaitu BIBD SEED, Konsortium Muallafpreneurs, PROPAZ dan Jabatan Penjara.

Hari Bakarih Yayasan merupakan inisiatif Yayasan bagi menyediakan ruang strategik sebagai sokongan kepada para pengusaha tempatan dalam mengukuhkan portfolio perniagaan mereka dan meluaskan rangkaian pemasaran produk mereka.

Hari Bakarih Yayasan diadakan bermula 17 November hingga 27 November 2022 dan dibukakan kepada orang ramai bermula pukul 10 pagi hingga 9 malam, kecuali hari Sabtu yang bermula pada pukul 3 petang.

Pameran yang memberigakan maklumat mengenai sumbangan dan bantuan Yayasan,  peranan dan aktiviti Sukarelawan Yayasan serta Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan juga dibukakan bagi kunjungan orang ramai sepanjang Hari Bakarih Yayasan berlangsung.

Selain daripada aktiviti jualan dan pameran, pelbagai aktiviti menarik juga disediakan bagi para pengunjung seperti Fun Fair, Kempen Derma Darah, Pemeriksaan Kesihatan, Memanah, Peraduan Mewarna dan bermacam-macam lagi. 

Orang ramai dialu-alukan hadir dan datang memeriahkan Hari Bakarih Yayasan bagi menyokong pengusaha-pengusaha daripada kalangan golongan sasar Yayasan yang Mau Bakarih, Sanggup Bajarih Untuk Balurih.

Turut hadir pada acara Perasmian Hari Bakarih Yayasan hari ini ialah Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan; Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; jemputan khas serta pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.