YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

kebajikan

Semua projek dan aktiviti yang dikendalikan oleh Yayasan dalam bidang kebajikan menumpukan kepada usaha bagi mempertingkatkan kebajikan dan kesejahteraan hidup serta mempertingkatkan pembangunan sosio-budaya dan sosio-ekonomi dikalangan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.

  • BANTUAN KECEMASAN DAN SERTA MERTA
    • Bantuan ini diberikan bagi meringankan beban mangsa bencana alam seperti mangsa banjir, angin kencang, tanah susur dan mangsa kebakaran. Bantuan yang diberikan adalah dalam bentuk sumbangan kewangan (derma), makanan asas dan lain-lain keperluan yang bersesuaian. Bantuan tenaga kerja juga diberikan melalui khidmat sukarelawan Yayasan.
    • Di samping itu, Yayasan juga memberikan sumbangan kepada tabung-tabung bantuan kemanusiaan yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi membantu mangsa bencana di luar negara.

  • BANTUAN MEMPERTINGKATKAN TARAF SOSIO-EKONOMI GOLONGAN YANG KURANG BERKEMAMPUAN
    • Yayasan secara bersendirian atau melalui kerjasama rakan-rakan strategiknya terus menerus melaksanakan berbagai program yang bersesuaian bagi membantu menambah dan meluaskan pendapatan golongan yang kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah supaya mereka dapat berdikari dan membebaskan diri dari lingkungan kemiskinan.
    • Antara projek yang diusahakan adalah dengan membabitkan golongan tersebut dalam sektor perekonomian negara melalui program keusahawanan dan perniagaan kecil-kecilan.

  • BANTUAN KEPADA GOLONGAN ORANG KURANG UPAYA
    • Bagi sama-sama memikul tanggungjawab menangani kebajikan golongan kurang upaya di negara ini, Yayasan secara berterusan memberikan sokongan dan tajaan kepada pertubuhan dan badan-badan bukan kerajaan yang mengendalikan program-program pembangunan dan pemulihan kepada golongan tersebut.

  • BANTUAN PERUBATAN DAN RAWATAN
    • Bantuan ini diberikan kepada pesakit (yang terdiri daripada penduduk Negara Brunei Darussalam) yang tidak berkelayakan di bawah skim bantuan perubatan kerajaan.
  • Yayasan dari semasa ke semasa memberi sumbangan kewangan dan sokongan serta bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan yang lain mengendalikan projek dan program pembangunan belia bagi mempertingkatkan penglibatan dan penyertaan belia dalam pembangunan masyarakat dan negara.
  • Bagi menanam dan memupuk semangat kecemerlangan dalam bidang sosio-budaya di kalangan rakyat, Yayasan sentiasa memberi sokongan kepada pihak yang berkenaan bagi mengembangmajukan bidang sastera, penulisan, kebudayaan dan juga sukan.
  • Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah misalnya merupakan sokongan Yayasan dalam memperkaya dan melestarikan khazanah kesusasteraan Islam.
  • Tempat kediaman adalah merupakan salah satu asas yang penting dalam hierarki keperluan manusia. Menyedari hakikat ini, Yayasan telah menyediakan dua projek perumahan bagi mereka yang memerlukan:
    1. Projek bantuan perumahan kepada mereka yang kurang berkemampuan (miskin dan daif) dan keadaan rumah mereka adalah tidak selamat untuk didiami. Bantuan perumahan ini dihasratkan bagi menyediakan tempat kediaman yang selesa dan bersih supaya dapat mewujudkan kehidupan berkeluarga yang aman dan seterusnya membentuk masyarakat yang harmoni. Projek bantuan perumahan ini dikendalikan di bawah Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
    2. Projek pembinaan rumah tersusun di Kampong Ayer dikenali dengan Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ´A´ dan Kampong Bolkiah ´B´. Tujuan asal pembinaan rumah ini adalah bagi menyediakan perumahan kepada penduduk yang terlibat dalam kebakaran besar di Kampong Ayer pada tahun 1993.
  • Sebanyak 476 buah rumah dibina di bawah projek dan perumahan ini iaitu sebanyak 226 buah sebagai fasa pertama di Kampong Bolkiah ´A´ dan 250 buah sebagai fasa kedua di Kampong Bolkiah ´B´. Dua jenis rumah telah dibina iaitu jenis ´A´ (dua buah bilik tidur) dan jenis ´B´ (empat buah bilik tidur). Daripada jumlah tersebut hanya 26 buah rumah adalah jenis ´A´.
  • Setiap peserta yang mendiami Perumahan Kampong Bolkiah ini adalah diberi tempoh membayar balik rumah yang mereka diami secara ansuran bulanan selama 20 tahun.

Alamat

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Jalan Perdana Menteri
Bandar Seri Begawan, BA 1511
Negara Brunei Darussalam

Waktu Pejabat

ISNIN- KHAMIS
8.15 pagi - 12.00 tengah hari
1.45 tengah hari - 4.45 petang

JUMAAT
8.15 pagi – 11.00 pagi
2.15 petang – 4.45 petang

LAIN - LAIN

Copyright 2024 © YSHHB. All Rights Reserved.