Penyampaian Sumbangan Peralatan dan Keperluan Persekolahan Bagi Sesi Persekolahan Tahun 2020
Majlis Penyampaian Sumbangan Peralatan dan Keperluan Persekolahan Bagi Sesi Persekolahan Tahun 2020 pada kali ini diadakan pada 26 Rabiulakhir 1441 bersamaan 23 Disember 2019 di Dewan Serba Guna, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Majlis ini adalah kesinambungan daripada majlis yang telah diadakan pada 5 Disember lalu.
Dalam majlis ini, seramai 778 orang pelajar (430 orang pelajar Sekolah Rendah dan 348 orang pelajar Sekolah Menengah) dari sejumlah 283 buah keluarga yang kurang berkemampuan di seluruh negara akan menerima sumbangan ini bagi sesi persekolahan tahun 2020.
Adalah dihasratkan sumbangan ini akan dapat membantu meringankan beban keluarga dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka. Penyerahan bantuan ini juga mencerminkan betapa Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Yayasan Baginda mementingkan pendidikan dan setiap pelajar tidak sewajarnya tercicir disebabkan ketidak mampuan membiayai keperluan pembelajaran mereka. Dalam konteks ini, Yayasan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan memastikan anak-anak dari keluarga yang kurang berkemampuan terbantu.
Sumbangan yang diterima oleh setiap penerima adalah dalam bentuk kupon, membolehkan penerima membeli peralatan dan keperluan persekolahan. Setiap seorang pelajar menerima kupon yang bernilai BND250.
Penyampaian sumbangan ini amatlah bertepatan dengan matlamat strategik Yayasan dalam mendukung pencapaian pendidikan yang berkualiti dan saksama bagi semua lapisan masyarakat. Sumbangan tersebut dihasratkan bagi memeduli kebajikan dan hal-ehwal pendidikan pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan bagi meningkatkan motivasi mereka untuk meraih kecemerlangan dalam bidang pendidikan. Di samping itu, sumbangan tersebut dihasratkan dapat membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka khususnya bagi persediaan penggal awal persekolahan tahun 2020.
Sumbangan disampaikan Yang Mulia Awang Haji Musthapa bin Haji Matahir, Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.