Penyampaian Sumbangan Kewangan
Pada 16 Syaaban 1447 bersamaan 4 Februari 2026, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan keseluruhannya berjumlah BND86,500.00 kepada sebanyak 75 buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negaradan sebuah keluarga yang terlibat dalam kejadian rumah roboh. Majlis penyampaian sumbangan diadakan di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Sumbangan-sumbangan yang disampaikan adalah seperti berikut:
1. Sumbangan kepada Masjid, Surau dan Balai Ibadat
Dalam usaha menyokong peranan masjid sebagai pusat pembangunan rohani dan pengembangan syiar Islam, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah menyalurkan bantuan kewangan kepada sebahagian masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara bagi melaksanakan majlis serta aktiviti takmir.
Sebanyak 75 buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara menerima sumbangan dengan jumlah keseluruhan B$81,500.00 bagi menyokong pelaksanaan majlis dan aktiviti takmir, khususnya sepanjang bulan Ramadan 1447 Hijrah yang bakal menjelang.
Bagi masjid, surau dan balai ibadat di Daerah Brunei dan Muara, sumbangan kewangan disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Sementara itu bagi Daerah Tutong, sumbangan kewangan disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Manakala bagi Daerah Belait dan Temburong, sumbangan kewangan disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Kesemua sumbangan tersebut telah diserahkan kepada imam-imam dan pegawai-pegawai masjid berkenaan.
2. Sumbangan Mangsa Rumah Roboh
Selaras dengan dasar penubuhannya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah terus komited melaksanakan aktiviti kebajikan, khususnya dalam membantu golongan yang ditimpa musibah dan sangat memerlukan bantuan.
Dalam hal ini, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah B$5,000.00 kepada keluarga Awang Sahri bin Haji Braitno yang terlibat dalam kejadian rumah roboh akibat tanah susur di Kampong Birau.
Sumbangan kewangan disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Turut hadir di majlis ini ialah pegawai-pegawai Kanan Kerajaan yang berkenaan serta pegawai-pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.