Penyampaian Sumbangan Kewangan
Pada 28 Safar 1447 bersamaan 22 Ogos 2025, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan keseluruhannya berjumlah BND42,050.00 kepada sejumlah sepuluh buah keluarga yang terlibat dalam kebakaran dan bencana alam; Ar-Razaq Kifayah Management; dan Masjid Kampong Penapar, Mukim Tanjong Maya Tutong. Majlis penyampaian sumbangan diadakan di Ibu Pejabat Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jalan Perdana Menteri.
Sumbangan-sumbangan yang disampaikan adalah seperti berikut:
1. Sumbangan Mangsa Kebakaran dan Bencana Alam.
Selaras dengan dasar penubuhannya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah terus melaksanakan aktiviti kebajikan khususnya membantu mereka yang sangat memerlukannya.
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan kewangan keseluruhannya berjumlah BND14,250.00 kepada sepuluh buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah dan bencana alam di beberapa buah kampung di seluruh negara.
Sumbangan ini merupakan bantuan segera dihasratkan bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan harian mereka.
2. Sumbangan kepada Ar-Razaq Kifayah Management.
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah BND6,000.00 kepada Ar-Razaq Kifayah Management bagi tujuan menaja sebahagian perbelanjaan untuk mengadakan Konvensyen Pemimpin Muda Brunei 2025 pada 9 September 2025 hingga 11 September 2025.
Sumbangan ini merupakan sokongan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah untuk mendukung salah satu objektif penubuhannya iaitu bagi mempertingkatkan penglibatan dan penyertaan belia dalam pembangunan masyarakat melalui penganjuran program-program pembangunan kemasyarakatan dan sosiobudaya.
Sumbangan diterima oleh Dayangku Fatin Nur’Masayuni Safwana binti Pengiran Roslan, Pengerusi Konvensyen Pemimpin Muda Belia.
3. Sumbangan kepada Masjid Kampong Penapar, Mukim Tanjong Maya Tutong.
Dalam usaha menyokong peranan masjid dan memberikan kemudahan kepada masyarakat khususnya dalam urusan hal ehwal kematian, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah memberikan sumbangan kewangan berjumlah BND21,800.00 kepada Masjid Kampong Penapar, Mukim Tanjong Maya, Daerah Tutong, bagi pembinaan bilik pengurusan jenazah di masjid tersebut.
Sumbangan diterima oleh Awang Mohd Abd Wafiy bin Haji Abd Kadiroshman, Imam Masjid Kampong Penapar, Mukim Tanjong Maya, Daerah Tutong.
Kesemua sumbangan kewangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selakuAhli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Turut hadir ialah Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.