YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH
PENGENALAN
MENGENAI KAMI
Bersempena Sambutan Jubli Perak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta pada hari Isnin, 9 Rabiulakhir 1413 Hijrah bersamaan 5 Oktober 1992 Masihi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menitahkan penubuhan sebuah Yayasan yang dikenali dengan nama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ditubuhkan di bawah satu akta yang digelar Akta Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Penggal 166). Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ditubuhkan berasaskan pada LIMA tujuan iaitu Ugama, Kebajikan, Pendidikan, Pembangunan dan Kewangan.
Sejak penubuhannya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah melaksanakan beberapa projek dan aktiviti selaras dengan dasar dan tujuan penubuhannya dalam bidang Ugama, Kebajikan, Pendidikan, Pembangunan dan Kewangan. Rakan-rakan strategik dan sukarelawan adalah merupakan antara nadi penggerak Yayasan dalam membantu memperkembangluaskan aktiviti amal dan kemasyarakatannya.
Diantara projek yang telah dilaksanakan adalah pembangunan Bangunan Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Selaras dengan tujuan dan objektif penubuhan Yayasan, Unit Sukarelawan juga telah ditubuhkan dengan tujuan memupuk kesedaran dan menaikkan semangat kesukarelawanan didalam masyarakat
Dengan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, bermula pada tahun 1424 Hijrah bersamaan 2003 Masihi, Yayasan menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan menjemput kelompok masyarakat yang berlainan pada setiap tahun untuk diketengahkan dalam menjana kesejahteraan masyarakat. Di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan berkenan mengurniakan titah yang berupa mesej yang perlu ditanai bagi kepentingan ugama, bangsa dan negara.
Selain itu, Yayasan juga menguruskan pembahagian kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam iaitu buah kurma, pakaian ihram dan telekong yang merupakan projek tahunan Yayasan.