Selaras dengan matlamat Pelan Strategik 2020-2025 Yayasan iaitu Mendukung Pencapaian Taraf Sara Diri, pada 9 Oktober 2020, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman bersama LiveWIRE Brunei bertempat di Bilik Mesyuarat, Ibu Pejabat Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jalan Perdana Menteri.

Kerjasama antara Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan LiveWIRE Brunei telah lama terjalin sejak 2018. Melalui Memorandum Persefahaman ini, LiveWIRE Brunei akan memberikan khidmat mengendalikan bengkel dan latihan iaitu ‘bespoke programme’ atau program direncana khas yang menjurus kepada kemahiran dan pengetahuan keusahawanan kepada para penerima bantuan modal keusahawanan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Bengkel dan latihan tersebut bertujuan untuk memastikan para penerima bantuan modal keusahawanan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mempunyai kemampuan dan kemahiran dalam bidang perusahaan yang akan mereka ceburi.  Di samping memberikan bengkel-bengkel keusahawanan, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersama LiveWIRE Brunei turut membuat pemantauan dan memberikan khidmat nasihat dan bimbingan kepada penerima bantuan modal keusahawanan.

Para penerima bantuan modal keusahawanan perlu menjalani bengkel berkenaan sebelum mereka diserapkan ke dalam Skim Pembiayaan Kebajikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah untuk diberikan bantuan modal perniagaan / perusahaan bagi membolehkan mereka menjalankan dan memajukan usaha perniagaan / perusahaan sebagaimana yang mereka hasratkan dan seterusnya diiktiraf menjadi Usahawan Bakarih Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. 

Melalui Memorandum Persefahaman ini juga, LiveWIRE Brunei akan terus menyokong Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah merealisasikan hasratnya untuk melahirkan usahawan yang berjaya menyara diri tanpa bantuan dengan membekalkan mereka dengan tatacara berniaga dengan betul dan tertib, serta pengurusan kewangan dan perancangan masa depan.

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan LiveWIRE Brunei.  Menandatangani bagi pihak Yayasan ialah Yang Mulia Dr. Dayang Nor Imtihan binti Hj Abd Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sementara bagi pihak LiveWIRE Brunei pula ialah Yang Mulia Dayang Hajah Rosita binti Haji Hassan, Pengerusi LiveWIRE Brunei dan Pengurus In-Country Value Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (Brunei Shell Petroleum In-Country Value Manager and Chairman of LiveWIRE).