Pada 25 Rabiulawal 1446 bersamaan 29 September 2024, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengendalikan Majlis Sembahyang Sunat Hajat iaitu khusus bagi para pelajar yang mengikuti kelas tuisyen di bawah Program Intervensi Pendidikan (PIP) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi seluruh negara.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmibin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan juga Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Kelas tuisyen PIP Yayasan menumpukan pembelajaran mata-mata pelajaran teras bagi memastikan para pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan supaya mereka mendapat peluang terbaik dalam meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.  Selain itu, mata-mata pelajaran wajib bagi Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) juga diserapkan dalam program PIP ini yang dipanggil dengan Projek Tahsin.

Majlis pada pagi ini dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat, bacaan Surah Yasin beramai-ramai dan bacaan Doa Peperiksaan yang diketuai oleh Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.

Pada tahun ini, seramai 264 orang pelajar yang mengikuti projek kelas tuisyen PIP di lapan buah pusat di seluruh negara akan menduduki peperiksaan awam pada tahun ini iaitu 148 orang pelajar akan menduduki Penilaian Sekolah Rendah (Tahun 6); 65 orang pelajar akan menduduki Peperiksaan BCGCE ‘O’ Level (Tahun 11); dan 51 orang pelajar akan menduduki SSSRU.