Pada 6 Rabiulakhir 1447 bersamaan 28 September 2025, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengendalikan Majlis Sembahyang Sunat Hajat iaitu khusus bagi para pelajar yang mengikuti kelas tuisyen di bawah Program Intervensi Pendidikan (PIP) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi seluruh negara.

Pada tahun ini, seramai 305 orang pelajar yang mengikuti projek kelas tuisyen PIP di lapan buah pusat di seluruh negara akan menduduki peperiksaan awam pada tahun ini iaitu 172 orang pelajar akan menduduki Penilaian Sekolah Rendah (Tahun 6); 50 orang pelajar akan menduduki Peperiksaan BCGCE ‘O’ Level (Tahun 11); dan 83 orang pelajar akan menduduki SSSRU.

Kelas tuisyen PIP Yayasan menumpukan pembelajaran mata-mata pelajaran teras bagi memastikan para pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan supaya mereka mendapat peluang terbaik dalam meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.  Melalui projek tersebut para pelajar berpeluang mengikuti kelas tuisyen secara intensif dan percuma pada setiap hari Ahad di lapan buah pusat kelas tuisyen PIP di seluruh negara.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis pada pagi ini dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat, bacaan Surah Yasin beramai-ramai dan bacaan Doa Peperiksaan yang diketuai oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustapa bin Haji Murat.  Majlis diteruskan dengan tazkirah bertajuk “Berkat Kunci Kecemerlangan” yang disampaikan oleh Yang Mulia Dr. Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk, Penolong Ra’es III, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Program Intervensi Pendidikan (PIP) merupakan salah satu usaha Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam melaksanakan matlamat strategik bagi “Mendukung Pencapaian Pendidikan yang Berkualiti dan Saksama” khususnya membantu meningkatkan mutu pencapaian pendidikan pelajar dari golongan keluarga yang kurang berkemampuan.