Pada 15 Syawal 1442 bersamaan 27 Mei 2021, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat bercemar duli ke majlis ini berserta Kerabat Diraja.

Majlis ini adalah merupakan kali ke-17 dianjurkan sejak ia telah mula diadakan pada tahun 2003.  Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengumpulkan para peserta daripada latar belakang yang berbeza setiap tahun dalam memberikan kesempatan kepada mereka menyembahkan junjung kasih dalam suasana yang lebih mesra dan meriah.  Mereka ini terdiri daripada kumpulan masyarakat yang dikenalpasti dapat memberikan kepentingan dalam menjana kesejahteraan, kebajikan dan kepentingan kepada negara dan penduduk.

Untuk majlis tahun ini, dengan limpah kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dengan bertemakan “MENSYUKURI NIKMAT KESIHATAN SEBAGAI ANUGERAH ALLAH” iaitu yang disejajarkan dengan tema Sambutan Majlis Ilmu 2020 sempena Perayaan Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-74 Tahun, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengetengahkan para peserta yang terdiri daripada para petugas barisan hadapan yang terlibat dalam menangani wabak COVID-19 iaitu termasuk pegawai-pegawai perubatan ‘medical team’ yang terlibat secara langsung menangani pesakit COVID-19, pegawai-pegawai kesihatan awam yang bertungkus lumus mengesan dan mencari kontak-kontak pesakit demi untuk mengekang penularan wabak, para pegawai dari pelbagai agensi yang terlibat menyumbangkan khidmat secara langsung mahupun tidak langsung menangani penularan wabak COVID-19 dan juga para sukarelawan yang turut membantu usaha ini.   Mereka ini mewakili kesemua individu dan pihak terlibat dalam mengekang dan mengawal penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Pemilihan peserta ini adalah bersesuaian bagi menzahirkan rasa syukur seluruh rakyat dan penduduk dengan rahmat Allah Subhanahu wa Ta’ala dan atas keprihatinan dan kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mengekang dan mengawal penularan wabak COVID-19 secara dalaman atau komuniti selama lebih setahun. Kini pengurangan pelbagai sekatan-sekatan dapat dilaksanakan bagi membolehkan aktiviti-aktiviti di semua sektor dapat beroperasi mengikut kesesuaian norma atau kebiasaan baharu.  Negara juga menunjukkan perkembangan yang baik dalam menangani kesan atau impak COVID-19 dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang diusahakan secara seiringan melalui pendekatan Whole-of-Nation Approach bagi menangani impak dan kesan wabak ini.

Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.  Ini diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Acara kemuncak majlis ialah titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Aturcara majlis diteruskan dengan tayangan video yang antara lain memaparkan usaha dan sokongan padu semua pihak bersatu hati membendung dan mengharungi cabaran impak wabak COVID-19.

Majlis diserikan dengan persembahan pentas daripada para pelajar Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (gabungan daripada kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-Kanak, murid-murid Sekolah Rendah dan penuntut-penuntut Sekolah Menengah).

Bersesuaian dengan tema dan konsep sambutan pada tahun ini, pameran mengenai usaha-usaha, inisiatif-inisiatif dan komitmen semua Kementerian termasuk Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam mengawal penularan wabak COVID-19 dan seterusnya menangani kesan atau impak COVID-19 dengan pendekatan Whole-of-Nation Approach bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk terus diberi perhatian dan pemedulian.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam seterusnya berkenan beramah mesra dengan semua peserta yang hadir.  Di samping memberi kesempatan peluang kepada para peserta untuk beramah-mesra dengan raja yang sangat dikasihi,  majlis ini juga setentunya akan memberi inspirasi dan perangsang kepada para peserta dalam melaksanakan peranan mereka masing-masing. 

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap serta para jemputan khas.