Majlis Perasmian Galeri Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (PPKKI-YSHHB) dan Pelancaran Buku Pelan Strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 2020-2025
Pada 10 Rejab 1441 bersamaan 5 Mac 2020, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Perasmian Galeri Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pelancaran Buku Pelan Strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 2020-2025 bertempat di Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Rumah Semaun, Jalan Jerambak, Bandar Seri Begawan.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan berangkat menyempurnakan Perasmian Galeri Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pelancaran Buku Pelan Strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 2020-2025.
Aturcara majlis dimulakan dengan Bacaan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin. Majlis diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.
Aturcara majlis diteruskan dengan tayangan video mengenai Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Buku Pelan Strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 2020-2025.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah seterusnya berkenan melancarkan Buku Pelan Strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 2020-2025.
Pelan Strategik ini diasaskan kepada dasar penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah seperti termaktub dalam Akta Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Penggal 166. Bertunjangkan kepada Visi ‘Masyarakat Mandiri’ dan Misi ‘Mengurus Amal Jariah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Ahli-Ahli Kerabat Baginda secara Profesional, Cekap dan Penuh Dedikasi’, Pelan Strategik ini akan menjadi panduan ke arah pengurusan pentadbiran
yang lebih cekap dan strategik ke arah mencapai hasrat untuk mewujudkan masyarakat yang proaktif dan inovatif, berdaya usaha sehingga pada penghujungnya MANDIRI tanpa mengharap kepada bantuan semata-mata. Sebagai sebuah organisasi yang mendukung Wawasan Brunei 2035, Pelan Strategik ini mengadaptasi perspektif yang holistik yang mencakupi pendekatan senegara yang mantap ‘Whole Nation Approach’ dengan melibatkan kolaborasi dari pelbagai agensi bagi sama-sama menangani isu-isu masyarakat masa kini terutama dalam membasmi isu kemiskinan dan mengurangkan kadar pengangguran.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah seterusnya dijunjung berangkat ke bangunan Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Rumah Semaun bagi menyempurnakan perasmian Galeri Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan menyaksikan karya-karya seni kaligrafi di ruang Galeri Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu Galeri Lauhah Al-Islamiah, Galeri Al-Aswad dan Galeri At-Tasmeem. Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik seterusnya dijunjung menyaksikan beberapa aktiviti dan kemudahan-kemudahan yang terdapat di Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah seperti Dewan Al-Ma’rifah, Bilik Kuliah, Kedai Cenderahati Semaun, Kafe Semaun, bilik Muzakarah dan Musolla.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik juga berkenan menerima dua buah pesambah. Pesambah pertama ialah merupakan zukhruf (hiasan) Al-Quran yang dilakar dalam reka bentuk bunga kemboja yang mempunyai enam kelopak sebagai melambangkan Rukun Iman. Karya tersebut dihasilkan oleh Awang Muhammad Asyraaf bin Haji Rambli, salah seorang tenaga kerja di Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Manakala pesambah kedua ialah gambar potret Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik yang dihasilkan menggunakan Seni Pertalian atau String Art. Karya yang menggunakan benang khusus ini sangat unik dan memerlukan kreativiti yang sangat teliti bagi menghasilkan bentuk dan imej yang sempurna. Karya tersebut dihasilkan oleh Awang Muhammad Miqdam bin Zaini, salah seorang pelajar yang telah menerima biasiswa daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi mengikuti program Diploma Seni Mushaf di Kolej Restu, Malaysia.
Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah merupakan sebuah institusi pengajian yang menawarkan program pengajian dan memberikan perkhidmatan dalam mengembangkan pelbagai pengetahuan, kecekapan dan kemahiran seni Islam ke arah memartabatkan tulisan jawi khususnya seni kaligrafi Islam. Penubuhan Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah salah satu inisiatif yang dilaksanakan pada dekad ketiga bagi memartabatkan tulisan jawi dalam menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di samping bagi melahirkan rakyat yang berkemahiran sejajar dengan Wawasan Brunei 2035.
Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bertempat di Rumah Semaun telah mula beroperasi pada 22 Julai 2013 di mana langkah awal dalam pelaksanaan penubuhannya ialah menjalin kerjasama melalui Penandatangan Memorandum Persefahaman dengan beberapa institusi pengajian dalam bidang kaligrafi Islam seperti Yayasan Restu, Malaysia; Pesantren Kaligrafi Al-Quran LEMKA, Indonesia dan O.I.C Research Centre for History, Art and Culture, Republik Turki.
Bagi melengkapi Pusat ini dengan tenaga manusia yang berkemahiran dalam bidang seni Islam, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah membiayai seramai 11 orang pelajar bagi mengikuti program Diploma Seni Mushaf di Kolej Restu Shah Alam, Selangor Malaysia secara berperingkat bermula pada tahun 2011 dan seramai tujuh orang daripadanya telah diambil untuk berkhidmat dengan Pusat ini. Memandangkan program-program pengajian secara formal masih dalam perancangan, Pusat ini mengendalikan beberapa kursus jangka pendek dalam penulisan khat peringkat asas dan lanjutan dan juga reka bentuk seni Islam yang dibukakan kepada orang ramai sejak tahun 2017. Selain itu Pusat ini juga menawarkan perkhidmatan penyalinan semula buku Yasin, takhtim dan doa-doa tulisan tangan dan menghasilkan karya-karya kaligrafi berupa ayat-ayat dari Al-Quran. Galeri Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah merupakan perkhidmatan terbaru yang disediakan oleh Pusat ini.
Galeri Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dihasratkan sebagai Pusat Tumpuan Kesenian Islam dan Kaligrafi bagi mengasuh bakat dan kemahiran di samping memupuk minat di kalangan anak tempatan khusus dalam seni khat jawi agar mereka dapat menandingi karya-karya serantau dan antarabangsa. Galeri ini mempamerkan karya-karya kaligrafi dan kraf kesenian Islam yang dihasilkan oleh anak-anak tempatan yang sebahagiannya adalah untuk dijual. Terdapat tiga ruang galeri iaitu Galeri Lauhah Al-Islamiah (mempamerkan koleksi dan artifak dari luar negara dan koleksi karya khat dan zukhruf Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah); Galeri Al-Aswad (mempamerkan karya-karya, artifak, dan proses tulisan yang berhubung kait dengan perkembangan tulisan jawi dalam kesultanan Brunei dengan menggunakan teknologi hologram) dan Galeri Al-Tasmeem (mempamerkan koleksi hiasan dalaman). Galeri ini dibukakan bagi kunjungan orang ramai (termasuk para pelajar) dan para pelancong.
Selain ruang Galeri, beberapa kemudahan juga disediakan di Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah seperti bilik kuliah, dewan serbaguna, kedai cenderahati, kafe, bilik muzakarah dan dewan sembahyang (musolla).
Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah juga menyediakan pelbagai program dan aktiviti sepanjang tahun untuk disertai oleh orang ramai termasuk para pelajar seperti bengkel seni khat dan rekabentuk Islam, seminar dan pertandingan seni khat.
Sebelum berangkat balik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik juga berkenan bergambar ramai bersama ahli-ahli Jemaah Tadbir dan ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.