Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dari semasa ke semasa memberikan pemedulian terhadap golongan yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah seperti kebakaran rumah.  Bantuan ini dilaksanakan bagi meringankan beban mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan harian mereka.

Pada 21 Jamadilakhir 1445 bersamaan 3 Januari 2024, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan kewangan keseluruhannya berjumlah BND11,400.00 kepada lima buah keluarga yang terlibat di dalam kejadian kebakaran rumah di Kampong Bolkiah ‘A’ yang terjadi pada pagi Ahad, 18 Jamadilakhir 1445 bersamaan 31 Disember 2023.  Majlis diadakan di rumah transit Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Kampong Bolkiah ‘A’.

Sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah disampaikan kepada ketua keluarga iaitu:

  1. Awang Rosli bin Haji Tuah
  2. Awang Mohd Supian bin Isa
  3. Awang Mohammad Rosjime bin Awang Rosli
  4. Awang Mohammad Salleh bin Awang Rosli
  5. Awang Haji Raub bin Sulaiman

Kesemua sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah disampaikan oleh Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Semasa majlis ini juga, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan turut menyampaikan sumbangan yang disempurnakan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Mangsa-mangsa kebakaran pada masa ini ditempatkan secara sementara – empat buah keluarga ditempatkan di rumah transit Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Kampong Bolkiah ‘A’, manakala sebuah keluarga lagi akan ditempatkan di Flat Penempatan Sementara Kampong Belimbing Subok di bawah kawalan JAPEM. Bantuan catuan makanan dan keperluan asas juga turut dihulurkan kepada mangsa oleh pihak JAPEM.