Seramai 166 orang pelajar terpilih menyertai Perkhemahan Motivasi Program Intervensi Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.  Para pelajar tersebut terdiri daripada pelajar-pelajar Tahun 6, 11 dan Darjah 6 sekolah ugama yang mengikuti projek kelas tuisyen di bawah Program Intervensi Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (PIP) dari lapan buah pusat kelas tuisyen Program Intervensi Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di seluruh negara.

Perkhemahan Motivasi Program Intervensi Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah diadakan selama tiga hari bermula 11 Ogos 2025 di Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampong Rimba. Majlis Penutup Perkhemahan Motivasi diadakan pada 19 Safar 1447 bersamaan 13 Ogos 2025 dengan acara penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Awang Haji Abdullah @Dollah bin Haji Ahad, Penolong Pengarah Urusan (Perkhidmatan Korporat), Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Acara penutup perkhemahan juga menyaksikan ucapan daripada wakil peserta iaitu Awang Mohamad Aniq Muizz bin Roslany.

Perkhemahan Motivasi merupakan salah satu projek di bawah Program Intervensi Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan diadakan sempena cuti penggal persekolahan.  Tujuan perkhemahan adalah bagi menanam semangat yang positif dan membangun serta membentuk para pelajar untuk menjadi orang yang beriman, berdisiplin, berkeyakinan, bertanggungjawab dan berwibawa yang menjadi asas untuk membantu mereka meraih kejayaan dalam kehidupan. 

Projek Kelas Tuisyen di bawah Program Intervensi Pendidikan (PIP) adalah salah satu inisiatif Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah khusus bagi membantu mempertingkatkan pencapaian pendidikan anak-anak dari keluarga yang berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan yang dikenalpasti sebagai memerlukan bimbingan rapi dalam bidang akademi sepaya mereka dapat meneruskan pengajian dengan sempurna hingga ke peringkat yang lebih tinggi.