Majlis Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi Sesi Pengajian 2025/2026 telah diadakan pada 11 Rabiulawal 1447 bersamaan 4 September 2025 bertempat di Istana Nurul Iman, Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bagi menyempurnakan anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini. 

Turut berkenan berangkat ke majlis ini ialahDuli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.

Pada tahun ini, seramai lima orang penuntut telah berjaya menerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2025/2026.  Mereka ialah:

  • Awangku Muhammad Eljaz Mateen bin Pengiran Muhammad Khairul Nizam adalah lepasan penuntut Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Fizik (MSci in Physics) di University of College London, United Kingdom.
  • Awang Ahmad Danish Hakimi bin Shufiady adalah lepasan penuntut Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Sains – Matematik dan Statistik (Bachelor of Science – Major in Mathematics and Statistics) di University of Melbourne, Australia.
  • Awang Muhammad Saedon bin Haji Sahralidin adalah lepasan penuntut Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Perubatan, Pembedahan dan Obstetrik (Bachelor in Medicine, Bachelor in Surgery and Bachelor in Obstetrics) di Trinity College Dublin, The University of Dublin, Republic of Ireland.
  • Awang Muhammad Mughni bin Haji Mohd Salleh adalah lepasan penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Takhassus Al-Quran Wal Qiraat di Ma’had Qiraat Shoubra, Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.
  • Dayang Dayana binti Adi Rani Soffian adalah lepasan penuntut Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah dan melalui biasiswa “Sultan’s Scholar” beliau akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Syariah Islamiyyah di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menyempurnakan penyampaian anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2025/2026 kepada kelima-lima orang penerima.

Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abd Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga berkenan beramah mesra dengan penerima-penerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar”.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bergambar ramai bersama penerima-penerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar”.

Turut hadir di majlis ini ialah Ahli-Ahli Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Ahli-Ahli Jawatankuasa Pandu Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama; pegawai-pegawai kanan Jabatan Kerajaan yang berkenaan dan pegawai-pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah;  sebahagian Alumni “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan sebahagian Pengetua-Pengetua dari institusi-institusi tingkatan enam di seluruh negara.