Majlis Doa Kesyukuran Sempena Memperingati Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Ke-42 Tahun
Pada 5 Muharam 1447 Hijrah bersamaan 1 Julai 2025 Masihi, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Memperingati Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Yang Ke-42 Tahun, bertempat di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan berangkat ke majlis ini.
Aturcara majlis dimulakan dengan Bacaan Surah Yaa Sin dan diikuti dengan bacaan Doa Kesyukuran Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Yang Ke-42 Tahun yang dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustapa bin Haji Awang Murat. Majlis diteruskan dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah.
Di Majlis ini Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan memotong kek Ulang Tahun Puja Usia dan menerima pesambah daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah diputerakan pada 19 Ramadan 1403 Hijrah bersamaan 30 Jun 1983 Masihi. Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik telah dilantik menjadi Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 18 Jamadilakhir 1434 bersamaan 1 Mac 2013. Menerajui pucuk pimpinan tertinggi di Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik sangat prihatin terhadap pengurusan dan perkembangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Duli Yang Teramat Mulia juga sering berkenan mempengerusikan mesyuarat Jemaah Tadbir, meninjau dan melibatkan diri dalam apa jua projek dan aktiviti yang diusahakan dan dianjurkan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Semasa majlis ini juga, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiahberkenan menyempurnakan Pengurniaan Anak-anak Kunci Rumah Bantuan Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada lima buah keluarga yang kurang berkemampuan. Para penerima tersebut ialah:
Daerah Brunei dan Muara
- Awang Muhammad Saiful Hazim bin Abdullah
Daerah Belait
- Dayang Hajah Kasum binti Haji Suhaili
Daerah Temburong
- Awang Jahar bin Piut
- Dayang Norinsan binti Mohammad Ali
- Dayang Rokiah Anak Pagan
Rumah bantuan di bawah Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dikhususkan kepada rakyat yang kurang berkemampuan, terutamanya mereka yang tinggal di kediaman yang daif dan tidak selamat untuk didiami. Projek pembinaan rumah bantuan adalah menepati hala tuju strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam mempertingkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat dengan memberikan pemedulian terhadap keperluan asasi golongan yang memerlukan yang seterusnya dihasratkan bagi memberikan mereka peluang untuk memperbaiki taraf hidup keluarga dari segi sosial, ekonomi, dan kesejahteraan keseluruhan.
Hadir di majlis ini ialah Ahli-Ahli Jemaah Tadbir Yayasan; Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim; para jemputan khas, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.