YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

TITAH

2023

2022

2021

2019

2018

2017

2016

2015

2014

2013

2012

2011

2010

2008

2007

2006

2005

2004

2003

Alamat

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Jalan Perdana Menteri
Bandar Seri Begawan, BA 1511
Negara Brunei Darussalam

Waktu Pejabat

ISNIN- KHAMIS
8.15 pagi - 12.00 tengah hari
1.45 tengah hari - 4.45 petang

JUMAAT
8.15 pagi – 11.00 pagi
2.15 petang – 4.45 petang

LAIN - LAIN

Copyright 2024 © YSHHB. All Rights Reserved.

Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idilfitri Anjuran Yayasan Sultan
Haji Hassanal Bolkiah Bagi Tahun 1444H / 2023M

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1444 Hijrah / 2023 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, pada hari Isnin, 10 Syawal 1444/1 Mei 2023 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Mula-mula kita rafa’kan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmatNya jua dapatlah kita merayakan ‘Idil Fitri yang mulia ini.

Dalam suasana kemeriahan meraikan ‘Idil Fitri, kita hendaknya tidak melupakan cabaran penularan wabak koronavirus di fasa endemik ini. Kita perlu terus menghormati dan mengamalkan protokol kesihatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memelihara kesejahteraan bersama.

Kita juga perlu menyedari, bahawa selain penularan dan kesan wabak koronavirus, dunia kita juga sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran yang semakin kompleks. Maka di sinilah semua pihak perlu membuat perancangan yang strategik untuk meneruskan kelangsungan pembangunan dan meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.

Beta menyambut baik tema sambutan Hari Raya anjuran Yayasan kali ini iaitu “Memperkasakan Penglibatan Masyarakat Dalam Mencapai Wawasan Brunei 2035.” Wawasan ini adalah aspirasi masa depan bagi Negara Brunei Darussalam untuk menjadi sebuah negara yang dikenali mempunyai penduduk berpendidikan tinggi, berkemahiran dan berjaya serta mempunyai ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.

Dalam kita sama-sama merealisasikan Wawasan Negara, semua pihak termasuk sektor kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan serta seluruh rakyat dan penduduk, perlulah serentak berusaha untuk menjayakan matlamat Wawasan Brunei 2035 dengan semangat dan pendekatan senegara “Whole of Nation Approach” yang mantap.

Sehubungan itu, Beta gembira mengalu-alukan kehadhiran para peserta sambutan tahun ini yang terdiri daripada para pegawai dan kakitangan dari Syarikat Berkaitan Kerajaan (Government Linked Companies – GLC) dan Syarikat Swasta termasuk Badan-Badan Berkebajikan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan. Beta difahamkan bahawa Syarikat GLC dan Syarikat swasta yang dijemput adalah mereka yang aktif melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibilities – CSR). Keprihatinan mereka mengambil berat terhadap kebajikan rakyat tentu saja memberi impak positif kepada matlamat Wawasan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan negara.

Beta juga sukacita mengalu-alukan kehadhiran sebahagian golongan warga emas, para belia dan generasi muda yang terdiri daripada para pelajar, yang mewakili seluruh lapisan penduduk. Inilah yang kita harapkan supaya semua lapisan bukan hanya setakat mengambil tahu malah juga menjiwai matlamat Wawasan, bukannya asyik leka dengan keseronokan yang melalaikan.

Dalam konteks Negara Brunei Darussalam untuk mencapai Wawasan Brunei 2035, bukanlah semata-mata diasaskan kepada kemajuan fizikal dan pencapaian pendidikan serta kemahiran, termasuk pendapatan per kapita yang ditakrifkan sebagai maju. Tetapi turut paling utama ialah keberkatan dalam semua aspek kehidupan menurut landasan Ugama Islam yang suci, kerana inilah kunci kejayaan yang hakiki disertai dengan pengamalan falsafah Melayu Islam Beraja yang telah kita sebatikan.

Akhirnya, Beta merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada semua lapisan warga Yayasan dan semua mereka yang terlibat mengungkayahkan Sambutan Hari Raya ‘Idil Fitri pada tahun ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Bagi Tahun 1443H / 2022M

 

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1443 Hijrah / 2022 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, pada hari Khamis, 18 Syawal 1443/19 Mei 2022 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita dapat meraikan lagi sambutan ‘Idil Fitri yang mulia, walaupun masih berhadapan dengan wabak koronavirus.  Namun keadaan telah mewajarkan kita dapat mengurangkan sebahagian sekatan dalam suasana norma baharu.  Tetapi dalam pada itu, kita masih saja perlu bersikap waspada dengan mengikut protokol kesihatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memelihara kesejahteraan bersama.  Kita sedia menyedari, bahawa dunia masih saja bergelut dengan wabak dengan menerima kesan yang teruk.  Namun alhamdulillah, kita di negara ini masih mampu untuk bertahan dengan memilih strategi teratur bagi mengawal penularan wabak, sehingga dengan itu kita dapat mengekalkan kelangsungan hidup dan kemajuan ekonomi.

Dalam masa yang sama, kita dengan cara tersendiri tidak pernah berhenti dari memohonkan perlindungan Allah melalui istighfar, bacaan al-Qur’an, zikir dan selawat keatas Nabi Shallallahu ’Alaihi Wasallam.  Insya Allah pendekatan dengan cara ini akan terus kita lakukan sebagai ikhtiar dan langkah memenuhi tuntutan ugama. 

Dalam kesempatan di sini, Beta amat gembira untuk mengalu-alukan penyertaan para belia menghadiri sambutan hari raya ’Idil Fitri anjuran Yayasan Beta pada tahun ini. 

Dalam situasi tertentu, penampilan para belia adalah ditunggu-tunggu, seperti jika berlaku satu-satu kejadian yang tidak diingini, maka kesediaan para belia untuk menyumbangkan khidmat bakti mereka adalah sangat disenangi, berdasarkan, sifat-sifat mereka yang aktif, cergas dan penuh tenaga untuk memberikan sebarang pertolongan. 

Inilah yang diharapkan oleh masyarakat dan negara daripada para belia.  Masyarakat dan negara tidak meminta lain, kecuali hanya jasa para belia, yang berupa sumbangan-sumbangan tenaga dan moral sahaja.  Dan inilah makanya para belia itu disanjung tinggi dengan pelbagai jolokan nama, seperti ‘Belia Harapan Bangsa’, atau ‘Belia Wira Bangsa’, atau ‘Belia Pelita Zaman’ dan lain-lain lagi. 

Oleh itu adalah menjadi kewajipan para belia untuk benar-benar menepati erti jolokan-jolokan tersebut sebagai penghormatan kepada mereka.

Seyogia difahami oleh para belia, bahawa jolokan-jolokan tersebut juga adalah merupakan ‘pengiktirafan’ terhadap kaum belia selaku golongan penggerak dan pendukung pembangunan yang berpotensi untuk membawa negara melangkah lebih kehadapan.  Sebab itulah mereka juga lazim disebut sebagai pewaris masa depan. 

Pengiktirafan ini perlulah dipelihara oleh para belia sendiri dengan menunjukkan bukti-bukti keperibadian luhur, berwawasan, kreatif dan berilmu, bukan lemah yang dibuai oleh keseronokan-keseronokan yang kurang bermakna.

Untuk akhirnya, Beta menyeru kepada kaum belia dan juga semua pihak, supaya bergabung usaha untuk membangun dan memajukan diri masing-masing menjadi warga yang benar-benar bertanggungjawab, maju dan perkasa. 

Kepada semua lapisan warga Yayasan, Beta tidak lupa merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas khidmat dan keterlibatan mereka dalam mengungkayahkan sambutan hari raya ‘Idil Fitri bagi Yayasan Beta pada tahun ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Bagi Tahun 1442H / 2021M

 

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1442 Hijrah/ 2021 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, 
pada hari Khamis, 14 Syawal 1442/27 Mei 2021 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmatNya jua, dapatlah kita merayakan ‘Idil Fitri yang mulia ini dalam suasana aman dan selesa.

‘Idil Fitri adalah merupakan hari kemenangan bagi umat Islam setelah berjaya menyempurnakan ibadat puasa Ramadhan. Maka adalah wajar untuk kita merayakannya sambil banyak-banyak bersyukur.

Pada tahun lepas ‘Idil Fitri kita sambut dalam suasana berbeza, akibat penularan wabak yang melanda dunia. Namun alhamdulillah, negara kita sudah melimpasi setahun tidak mencatatkan kes penularan tempatan.

Keadaan ini telah membolehkan kita mengurangkan pelbagai sekatan serta dapat meraikan ‘Idil Fitri dengan lebih selesa.

Walau bagaimanapun, kita masih juga perlu untuk meneruskan langkah berjaga-jaga dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Beta mengkagumi sikap sabar yang ditunjukkan oleh seluruh rakyat dan penduduk dalam memberikan dokongan padu kepada Kerajaan dalam usaha menangani wabak. Secara khusus Beta ingin mengulangi penghargaan kepada para petugas barisan hadapan (frontliners) termasuk petugas-petugas keugamaan di atas sumbangan dan komitmen mereka menangani dan menghadapi situasi yang menakutkan ini.

Beta juga berbangga melihat usaha padu semua agensi kerajaan, swasta dan badan-badan NGO yang bergerak aktif melaksanakan pelbagai inisiatif, usaha dan tindakan segera bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk. Syabas dan terima kasih Beta kepada semua.

Pada saat ini, Beta amat gembira mengalu-alukan kehadhiran para peserta sambutan Hari Raya anjuran Yayasan Beta kali ini yang mewakili semua para petugas barisan hadapan termasuk petugas-petugas keugamaan yang mengisi rancangan-rancangan berzikir, berdo’a dan membaca Al-Qur’an di radio dan televisyen. Demikian juga tidak terkecuali pegawai-pegawai perubatan ‘medical team‘ yang terlibat secara langsung menangani pesakit wabak, pegawai-pegawai kesihatan awam yang bertungkus lumus mengesan dan mencari kontak-kontak pesakit demi mengekang penularan wabak, para pegawai dari pelbagai agensi yang terlibat menyumbangkan khidmat secara langsung mahupun tidak langsung untuk menangani penularan, serta juga para sukarelawan yang turut membantu usaha ini.

Tidak diragukan lagi, bahawa wabak koronavirus adalah ia ujian. Setiap ujian ada hikmahnya, untuk dihadapi dengan sabar. Antara hikmah itu, mungkin saja untuk menyedarkan kita, atau untuk mendorong supaya kita lebih bersatu menghadapi cabaran, atau lebih kreatif memperkasa diri dengan kemahiran-kemahiran dan lain-lain lagi dan seumpamanya.

Beta juga menyambut baik tema sambutan kali ini yang disepadankan dengan tema Majlis Ilmu 2020 iaitu “Mensyukuri Ni’mat Kesihatan Sebagai Anugerah Allah”. Kesihatan memang merupakan anugerah dan nikmat yang tidak ternilai harganya. Dalam usaha Kerajaan membangun bangsa dan negara, kesihatan adalah faktor yang turut diutamakan. Kerana apabila rakyat dan penduduk sihat barulah sumbangan mereka dapat diharapkan berkesan.

Meskipun negara sudah melimpasi jangka masa setahun terpelihara daripada jangkitan komuniti, namun ia bukan bermakna kita boleh leka. Tetapi perlu seterusnya berusaha dan membanyakkan do’a supaya kekal terhindar daripada musibah.

Dalam masa kita bergembira menikmati suasana aman berhari raya, kita juga jangan lupa terhadap saudara-saudara kita di bumi Palestin yang sedang bergelut mempertahankan diri dan negara mereka daripada pencerobohan musuh.

Bayangkan, akibat pencerobohan itu, ramai rakyat yang tidak berdosa menjadi korban, termasuk kanak-kanak, kaum perempuan dan orang-orang tua. Lain lagi harta benda yang musnah, terutama rumah-rumah kediaman tempat berteduh. Tidak diragukan lagi pencerobohan ini adalah satu tindakan kejam yang melangkahi lunas-lunas kemanusiaan. Hanya kepada Allah jua dipohonkan perhitungan.

Akhirnya, Beta merakamkan ucapan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua lapisan warga Yayasan Beta dan semua mereka yang terlibat mengungkayahkan Sambutan Hari Raya ‘Idil Fitri pada tahun ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Bagi Tahun 1440H / 2019M

 

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1440 Hijrah/ 2019 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, 
pada hari Khamis, 22 Syawal 1440/27 Jun 2019 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dikurniakan kesempatan untuk kita merayakan ‘Idil Fitri yang mulia. 

Kita bersyukur kerana Ramadhan dan ‘Idil Fitri dapat kita hayati dengan sempurna, dalam suasana aman dan selamat. Tidak syak lagi suasana aman dan selamat adalah kurnia teragung daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Kerana itu wajib ia disyukuri.

Sebagai tanda kita bersyukur ialah dengan melakukan segala amal saleh. Kita membangun juga adalah dengan cara yang betul tanpa melakukan sebarang pelanggaran. Misalnya dalam menjana sektor pertanian, kita tidak akan mengambil tanah rakyat secara paksa atau menggantinya dengan harga yang tidak munasabah. Ini, tidak boleh berlaku di Brunei. 

Beta difahamkan, dalam tempoh 20 tahun dari tahun 1998 hingga 2017, keluaran sektor pertanian, agrimakanan dan perikanan adalah menggalakkan. Perkembangan positif ini memberi petunjuk bahawa peluang bagi mengembangkan sektor ini adalah terbuka luas. Lebih-lebih lagi dengan keadaan geografi negara menerima hujan, cuaca yang mengizinkan dan tanah-tanah yang masih belum diteroka. Tinggal saja lagi ialah usaha dan komitmen kita untuk memajukan sektor ini. 

Beta gembira mengalu-alukan kehadiran para peserta yang terdiri daripada para petani, peniaga, pengusaha dan termasuk para belia dan pelajar yang terlibat dalam memajukan sektor pertanian. Mereka ini memikul peranan penting dalam mengembangmajukan sektor ini di Negara Brunei Darussalam. 

Beta juga mengalu-alukan konsep mempertemukan para pengeluar dan pengusaha hasil pertanian dengan peniaga (perusahaan dan supermarket). Ini boleh membantu memasarkan hasil pertanian dengan lebih berkesan. 

Cara ini juga menambahluaskan pasaran pertanian, bukan sahaja pasaran dalam negeri malahan juga akses ke luar negara. Beta mengambil maklum inisiatif seperti Contract Farming dan Business-matching sedang digiatkan bagi mempermudahkan lagi akses pasaran tersebut. 

Beta sangatlah menghargai kerjasama seperti ini, dan berharap, lebih banyak lagi pasaraya-pasaraya tempatan termasuk pihak pemborong, restoran, perhotelan dan perkhidmatan katering akan melibatkan diri sebagai sokongan kepada Kerajaan. 

Disamping terus meningkatkan sektor pertanian, produktiviti, penggunaan teknologi tinggi dan menyediakan ekosistem yang teratur, satu elemen penting yang mesti diberi perhatian juga ialah sumber tenaga manusia. Maka ke arah ini, Beta menyeru para belia untuk tampil sebagai tenaga utama dalam industri pertanian negara. 

Kerajaan Beta telah dan sedang melaksanakan beberapa inisiatif untuk membantu pertumbuhan sektor ini. Contohnya, melalui Kementerian berkenaan, Beta telah memperkenankan satu inisiatif yang digelar Projek Rintis, yang merangkumi penawaran tapak secara rintis untuk percubaan. Projek ini memberi peluang kepada rakyat, terutama para belia dan penduduk untuk terus bergiat dalam aktiviti perladangan ataupun penternakan. 

Setakat ini, dalam tempoh 2 tahun Projek Rintis diperkenalkan, seramai 46 pengusaha telah ditawarkan tapak rintis yang melibatkan hampir 300 hektar tanah pertanian. Seramai 16 pengusaha muda telah tampil merebut peluang yang disediakan ini. Syabas dan tahniah kepada mereka itu. 

Orang Brunei biarlah lebih sibok membangun dari sibok yang lain-lain. Sibok membangun adalah amal saleh, mendatangkan pahala, berbanding dengan sibok perkara sia-sia boleh mengundang kepada dosa. 

Kita teruskan menjana ekonomi untuk dinikmati oleh semua, bukan dibolot oleh satu pihak, sedang di pihak lain hidup menderita. Contohnya, beberapa pihak yang mendakwa maju dan kaya, sedang masih ramai rakyat yang hidup sengsara, termasuk mereka yang tidak memiliki tempat tinggal.

Di Brunei, kita juga meneruskan kelangsungan hidup berperlembagaan dan berundang-undang, di mana semua hak adalah terpelihara dan dihormati, bukan seperti tukang jaja retorik yang menjaja atas nama ‘hak asasi manusia’, sedang dalam masa yang sama mereka mendiamkan diri terhadap penindasan dan pembunuhan sewenang-wenangnya. 

Ini bukan Brunei. Budaya Brunei tidak bermain  retorik, tetapi semata-mata mengutamakan dan mengagungkan ‘kebenaran’, kerana kebenaran itulah nilai tertinggi lagi suci. 

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Bagi Tahun 1439H / 2018M

 

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1439 Hijrah/ 2018 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, 
pada hari Khamis, 21 Syawal 1439/5 Julai 2018 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita dapat lagi meraikan Hari Raya `Idil Fitri dengan penuh kesyukuran dan gembira.

Di Negara Brunei Darussalam, kemeriahan Hari Raya `Idil Fitri tidak hanya dirasakan dalam lingkungan antara keluarga, sanak saudara dan rakan taulan, tetapi turut juga dikongsi sama oleh seluruh masyarakat dari pelbagai peringkat. Tradisi yang baik ini perlu diteruskan sebagai wadah menyuburkan silaturrahim dan sikap hormat-menghormati.

Di bulan Ramadhan yang baru lalu, seperti biasa, budaya saling membantu berkembang subur dalam masyarakat kita. Golongan yang mampu, tampil kehadapan untuk menyumbangkan bantuan kepada mereka yang berhajat, bagi sama-sama menikmati suasana `Idil Fitri.

Inilah ajaran Islam, sangkut-menyangkuti menjadi amalannya. Tiada beriman seseorang yang membiarkan rumah saudaranya tidak berasap, sedang rumahnya sendiri dipenuhi dengan aneka hidangan atau juadah.

Tema sambutan `Idil Fitri anjuran Yayasan Beta pada tahun ini, berbunyi: “Memajukan Ekonomi Negara Dengan Memperkasa Sektor Swasta.”

Dengan apakah sektor swasta itu diperkasa? Tentu saja dengan mengwujudkan pelbagai produktiviti yang terhasil daripada kerja keras atau usaha manusia.

Beta sangat gembira mengalu-alukan kehadiran para peserta yang terdiri daripada sektor swasta dan golongan pemegang ijazah yang masih menunggu atau mencari pekerjaan, sebagai peserta pada tahun ini. Kedua-dua golongan ini berpotensi untuk saling membantu diantara satu dengan yang lain bagi memperkasa diri masing-masing.

Sektor swasta di mana-mana saja, memang sudah lama dikenali sebagai jentera penggerak kepada pertumbuhan ekonomi. Di negara kita juga tidak kurang mempunyai bisnes yang resilient yang sudah lama wujud mendepani cabaran membina ekonomi itu.

Jentera ini tentu saja memerlukan bahanapi untuk ia berfungsi. Bahanapi tersebut tidak lain ialah tenaga kerja yang berkualiti.

Beta difahamkan, dari data JobCentre Brunei menunjukkan, bahawa terdapat 1,800 graduan yang berpotensi untuk membantu memperkasakan sektor swasta ke arah mencapai sasaran bisnes. Beta juga difahamkan, terdapat lebih dari 200 syarikat yang memerlukan perkhidmatan dikalangan graduan peringkat sarjana.

Maka dalam hubungan ini Beta berharap, kedua-dua pihak, sektor swasta dan para graduan akan menggunakan peluang keemasan pada hari ini untuk menjalinkan silaturrahim, sambil saling mengenali diantara satu dengan yang lain.

Masing-masing mereka tak syak lagi boleh menyumbang bagi merealisasikan pembangunan ekonomi negara, sehingga ke tahap dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat dan penduduk di negara ini.

Di pihak sektor swasta Beta yakin, mampu untuk tidak menghampakan harapan semua, dengan bersedia menerima berkhidmat anak-anak tempatan, khasnya para graduan kita yang sedang mencari atau menunggu pekerjaan.

Ini adalah satu tanggungjawab suci, dan jika ia berjaya dilaksanakan, maka sudah pasti, ianya jadi satu sumbangan yang sangat bermakna kepada negara.

Di pihak graduan pula, elakkanlah sikap memilih kerja, kerana apapun pekerjaan adalah ia ‘rezki’. Bukan bekerja di sektor kerajaan sahaja rezki, tetapi di sektor swasta juga rezki. Malah berniaga, berternak, bercucuk tanam dan ke laut menangkap ikan, juga adalah rezki. Jika semua ini dilakukan dengan sabar dan gigih, maka berkatnya yang lumayan, pasti diterima. Berkat itulah segala-galanya.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Bagi Tahun 1438H / 2017M

 

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam 
sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1435 Hijrah/ 2014 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, 
pada hari Isnin, 15 Syawal 1438/10 Julai 2017 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Marilah kita sama-sama merafa’kan syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana Yayasan dapat lagi menganjurkan Sambutan Hari Raya ‘Idil Fitri, sebagaimana dilakukannya pada setiap tahun.

‘Idil Fitri, sebagaimana kita sama-sama maklum adalah hari kemenangan bagi mereka yang telah berjaya melaksanakan ibadat berpuasa sebulan penuh dalam bulan Ramadhan.

Dengan mengambil sukut ‘kejayaan’ inilah, Yayasan Beta, dalam merayakan Hari Raya pada tahun ini telah menampilkan golongan yang dianggap berjaya, the achievers, dalam bidang masing-masing sebagai peserta.

Golongan ini patut dihargai, sejajar dengan matlamat Wawasan 2035 untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam mempunyai rakyat yang berpendidikan tinggi, berkemahiran serta berjaya dalam segala lapangan.

Sebagai faktor pendorong ke arah ini, Yayasan Beta tidak ketinggalan untuk menyediakan beberapa skim penggalak, seperti skim Anugerah Sultan’s Scholar, skim Anugerah Kesusasteraan Islam dan skim Anugerah Penulisan Islam.

Di samping itu, Yayasan juga telah menyediakan pelbagai pemberian atau hadiah atau sumbangan melalui program-program yang dianjurkan oleh kerajaan dan swasta, termasuk menyediakan skim-skim bantuan, untuk membantu mereka yang memerlukannya.

Peranan ini diambil oleh Yayasan adalah sebagai pelaburan jangka pendek mahupun jangka panjang. Apabila sesuatu galakan atau bantuan disalurkan kepada mana-mana pihak, maka tidak syak lagi ia adalah satu pelaburan yang dapat ditunggu hasilnya berupa kemanfa’atan.

Di antara manfa’at besar yang mungkin diraih itu, ialah lahirnya para achievers yang pernah menikmati anugerah skim atau bantuan daripada Yayasan, sebagaimana telah disebut awal-awal tadi.

Beta mengharapkan, supaya para achievers tidak akan mudah ataupun cepat untuk berpuas hati dengan kejayaan-kejayaan tahap pertama, tetapi hendaklah terus berusaha untuk mencapai kejayaan-kejayaan yang lebih menyerlah, khasnya di bidang-bidang yang sangat diperlukan oleh negara.

Beta ingin menyebutkan disini satu contoh tentang keperluan tersebut, iaitu berkaitan dengan bidang industri minyak dan pertanian. Dua-dua bidang ini tidak diragukan lagi adalah nadi kepada negara, tetapi apakah yang kita sudah ada, yang sepatutnya dimiliki dari sudut kepakaran mengenainya?

Usia industri minyak telah pun mendekati hampir satu abad, tetapi peluang warga tempatan untuk menyandang jawatan-jawatan tinggi dan tertinggi masih saja mengecewakan. Apakah ini belum lagi cukup untuk menyedarkan kita, khasnya para achievers, termasuk pemimpin dan juga sekalian anak bangsa pada ‘amnya? Sehingga bilakah negara mesti menunggu untuk keadaan ini berubah.

Sementara bidang industri pertanian pula, kelihatannya adalah tidak aktif atau masih kurang diaktifkan, sedangkan keperluannya bagi negara sangatlah besar. Jadi dimanakah kita dengan azam dan usaha untuk mengaktifkan bidang pertanian itu sehingga mencapai tahap sara diri, atau sekurang-kurangnya dapat mengurangkan pergantungan kita kepada komoditi import seperti beras.

Disinilah pentingnya inisiatif dan ‘idea besar’ untuk memajukan negara dan bangsa. Tanpa adanya inisiatif dan idea tersebut, semua jentera tidak mampu bergerak untuk memastikan perkembangan dan kemajuan berjalan lancar.

Maka kerana itu, adalah penting untuk memiliki inisiatif dan idea, selain disiplin ilmu. Inilah yang sebenar-benarnya kunci kemajuan dan kejayaan.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Bagi Tahun 1437H / 2016M

 

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1437 Hijrah/ 2016 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, 
pada hari Sabtu, 25 Syawal 1437/30 Julai 2016 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bismillahir Rahmaanir Rahim.

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat pula meraikan hari kemenangan ‘Idil Fitri yang mubarak.  

Dalam Sambutan ‘Idil Fitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada tahun ini, kita mengalu-alukan kehadiran para belia, khasnya para profesional muda dan usahawan muda (young entrepreneurs).  Mereka ini adalah mewakili golongan belia yang terdiri hampir 50 peratus dari jumlah penduduk negara ini.  Dari jumlah tersebut, jika digabungkan dengan semangat dan tenaga mereka, sudah barang tentu akan memberikan impak yang sangat positif kepada kemajuan ugama, bangsa dan negara.

Melalui dasar pendidikan yang ada, Kerajaan Beta telah menyediakan peluang-peluang yang sangat luas bagi semua lapisan rakyat dan penduduk untuk memperolehi pendidikan dan kemahiran tinggi yang kita perlukan.  Ini, telahpun terbukti, dengan ramainya anak-anak tempatan yang memegang jawatan-jawatan utama didalam pelbagai bidang, seperti bidang pengurusan sumber manusia, kewangan, perubatan, kejuteraan, pendidikan, guaman, pertahanan, teknologi maklumat dan lain-lain.

Dalam tempoh mendatang, para profesional dan eksekutif muda ialah yang kita harapkan untuk menjadi tunjang atau peneraju kepada kepimpinan negara.  Namun, mereka terlebih dahulu dikehendaki untuk memperkaya diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman.  Dengan semua elemen ini akan menjadikan seseorang lebih berupaya menghadapi apa jua cabaran, termasuk cabaran-cabaran ekonomi, sosial dan politik yang serba kompleks.

Dalam kesempatan ini, Beta sukacita mengalu-alukan kehadiran para usahawan dari kalangan belia, yang telah menyahut seruan kerajaan untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan, sebagai usaha memperkasa ekonomi negara.  Walaupun secara relatif, usahawan dari kalangan belia di negara ini berjumlah masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain di rantau ini, namun jumlah tersebut dilihat semakin meningkat dari masa ke semasa.  Ini, memberikan harapan tinggi, bahawa minat keusahawanan dikalangan para belia kita adalah semakin subur dan meningkat.

Sebagai restu dan sokongan, pihak kerajaan telahpun menyediakan peruntukan, skim dan program galakan yang dikendalikan oleh beberapa kementerian.  Kementerian Pendidikan misalnya, telah menerapkan korikulum literasi bisnes dan kemahiran keusahawanan dari peringkat sekolah rendah sehingga ke peringkat pengajian tinggi, termasuk di peringkat teknikal dan vokasional.

Antara pendekatan kerajaan ke arah ini ialah, dengan menubuhkan Darussalam Enterprise (DARe) pada 21 Januari 2016 yang bertanggungjawab untuk mengawasi dan memupuk pertumbuhan serta pembangunan perusahaan-perusahaan tempatan di negara ini.  Disamping itu DARe juga telah menubuhkan ‘Business Support Centre‘ untuk membantu melahirkan persekitaran perusahaan yang kondusif dan meningkatkan ekosistem perusahaan secara menyeluruh.  Hasil dari komitmen semua pihak alhamdulillah, telah mengangkat Negara Brunei Darussalam ke tangga 84 dari 189 ‘economies‘ sebagaimana dalam ‘2016 World Bank’s Ease of Doing Business Report‘ berbanding tangga 105 pada tahun 2015.

Beta sekali lagi menyeru, supaya semua lapisan belia, sentiasa bersedia untuk memajukan diri masing-masing, kerana mereka adalah generasi penerus yang mempunyai peranan dan tanggungjawab besar untuk menjana pembangunan bangsa, negara dan ugama.  Pada usia muda inilah, waktu yang paling baik untuk mereka menimba sebanyak mungkin ilmu dan kemahiran sebagai menggalas tanggungjawab di masa hadapan.

Dengan ini, Beta ingin mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada para belia, di atas penglibatan mereka dalam semua usaha atau kegiatan yang bermakna untuk negara.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Bagi Tahun 1436H / 2015M

 

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1436 Hijrah/ 2015 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, 
pada hari Rabu, 19 Syawal 1436/5 Ogos 2015 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala diatas limpah rahmat-Nya mengurniakan ‘Idil Fitri untuk diraikan setelah umat islam berjaya menyempurnakan ibadat puasa pada bulan Ramadhan.

Beta difahamkan, Sambutan Hari Raya ‘Idil fitri Anjuran Yayasan pada tahun ini, menampilkan golongan istimewa yang mempunyai kelainan upaya, berserta para pegawai dan kakitangan Jabatan Kerajaan dan ahli-ahli persatuan-persatuan NGO yang berkenaan dalam memberikan khidmat kepada mereka. Beta sangatlah mengalu-alukan penyertaan mereka ini.

Sudah sememangnya, turut menjadi tanggungjawab kita untuk memberikan perhatian khusus kepada golongan istimewa tersebut, khasnya dibidang pendidikan termasuk pendidikan rohani dan lain-lain yang diperlukan.

Ugama Islam sendiri menyuruh supaya memberikan perhatian kepada golongan ini, berdasarkan Surah ‘Abasa ayat 1 hingga 11, melalui satu peristiwa, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pada suatu hari didatangi oleh Abdullah bin Ummu Maktum iaitu seorang yang cacat penglihatan untuk meminta bimbingan, sedang pada ketika itu juga Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sibuk melayani pembesar-pembesar Quraisy, sambil bertujuan mendakwah mereka kepada ugama islam. Melihat kehadiran Abdullah bin Ummu Maktum ini, Baginda kelihatan memalingkan muka Baginda daripadanya kerana semata-mata ingin menumpukan perhatian kepada pembesar-pembesar Quraisy tersebut. Dalam Surah ini, Ayat 1 hingga 11, Allah Subhanahu Wata’ala telah menegur Nabi-Nya dengan berfirman, tafsirnya: “Dia (Nabi Muhammad) telah memasamkan muka sambil berpaling, kerana dia didatangi oleh orang buta (Abdullah bin Ummu Maktum). Dan tahukah engkau (wahai Muhammad bahawa tujuan orang ini) boleh jadi dia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran ugama yang diambil daripadamu), supaya pengajaran itu memberikan manfa’at kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya sudah cukup (tidak berhajat lagi kepada petunjuk), lalu engkau melayaninya, padahal, tidaklah menjadi kesalahan keatasmu jika dia (ketua kaum Quraisy) itu tidak mahu membersihkan dirinya (daripada keingkarannya). Dan adapun orang yang bersegera datang kepadamu (untuk mendapatkan pengajaran), sedang dia itu takut (kepada Allah), tetapi (sayang) engkau telah mengabaikannya. Janganlah sekali-kali (engkau melakukan perkara yang sedemikian itu), sesungguhnya ayat-ayat Al-Qur’an adalah peringatan”.

Demikian isyarat Al-Qur’an bagaimana perlunya melayani orang yang berlainan upaya.

Alhamdulillah, untuk kebajikan mereka ini, pihak Kerajaan telah pun menyediakan peruntukan dan beberapa skim, serta program bantuan, bimbingan dan latihan bagi meningkatkan lagi keupayaan golongan ini. Selain bantuan sara hidup, Kerajaan juga turut menitikberatkan hal ehwal pendidikan mereka. Misalnya, Kerajaan telah menubuhkan Unit Pendidikan Khas di bawah Kementerian Pendidikan pada tahun 1994, bagi tujuan untuk memberikan peluang kepada kanak-kanak golongan berkenaan untuk mengikuti program pendidikan formal yang bersesuaian.

Beta juga menyambut baik inisiatif Yayasan Beta dalam memberikan sumbangan, bantuan dan sokongan kepada golongan orang-orang yang berlainan upaya melalui persatuan-persatuan NGO dan pihak-pihak yang berkenaan yang mengendalikan program pembangunan dan pemulihan untuk mereka.

Bantulah mereka untuk meneruskan kehidupan yang sama atau seimbang dengan anggota masyarakat yang lain. Do’akan juga mereka untuk sama-sama mengecapi kemakmuran dan kebahagiaan yang dirasai oleh seluruh rakyat dan penduduk negara ini. Demikian harapan tinggi kita bagi mereka.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Bagi Tahun 1435H / 2014M

 

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1435 Hijrah/ 2014 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, 
pada hari Sabtu, 27 Syawal 1435/23 Ogos 2014 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana telah sempurna menunaikan ibadah puasa, dalam makna, kita adalah orang yang berjaya dalam makna, kita adalah orang yang berjaya dalam jihad melawan hawa nafsu.

Selepas puasa, kita menyambut pula kehadiran ‘Idil Fitri yang Mubarak dengan penuh selesa dan aman sentosa. Dan pada ketika inilah, kita segera teringta kepada saudara-saudara kita seugama yang sedang menderita dilanda oleh pelbagai musibah, seperti musibah bencana alam aau musibah peperangan atau lain-lain lagi seumpamnya. Adakah mereka itu dapat menyempurnakan kewajipan berpuasa dan merayakan ‘Idil Fitri dengan selesa? Jawabnya tentu saja tidak.

Berbanding dengan kita, disegenap masa dan ketika snetiasa berhadapan dengan nikmat : Nikmat aman makmur, nikmat selesa menjalani ibadat dan nikmat bersukaria. Semua ini tidak akan diperolehi, melainkan ianya adalah datang daripada Allah Subhanahu Wata’ala jua.

Kerana itu janganlah kita lupa untuk mensyukuri nikmat ini. Jika disyukuri ia akan kekal, sebaliknya jika tidak, ia akan hilang.

Cara mensyukuri nikmat itu pula perlulah difahami. Kerana ia bukan urusan atau pilihan kita sendiri, melainkan menyangkut satu cara husus bagaimana ia mesti dilakukan.

Apakah cara itu? Iaitulah dengan mensyukuri atau berterima kasih secara langsung kepada Allah dengan ucapan dan perbuatan. Dengan ucapan ialah, seperti mengucapkan “Alhamdulillah” dan dengan perbuatan pula, melalui amalan takwa terhadapNya.

Amalan takwa ini bukan tertentu kepada pergi ke masjid sahaja atau melakukan ibadat di dalamnya, tetapi ia boleh berlaku di mana-mna saja, di rumah atau di luar rumah, di pasar atau di premis-premis. Pendeknya di mana saja, kita adalah dituntut untuk melakukannya sebagai kewajipan dan sebagai bukit kita ini bersyukur.

Pendeknya, apa jua yang kita lakukan boleh saja menjadi amalan takwa, sama ada ia melalui perkhidmatan-perkhidmatan di pejabat atau kita menjadi guru atau menjadi peniaga dan seumpamanya. Jika kita melakukan ini dengan lurus dan amanah, maka tidak syak lagi, ia adalah amalan takwa.

Kita memang berhasarat untuk mengisi kehidupan ini dengan amalan takwa. Kerana kita tahu, kehidupan yang berisi dengan amalan takwa itu adalah yang berkat. Oleh itu Beta ingin menekankan, supaya kita semua perlu beroleh berkat: Didalam kehidupan para belia ada berkat, didalam kehidupan pelajar-pelajar ada berkat dan didalam kehidupan ktia semua ada berkat. Pendeknya, dalam membangun pun perlu ada berkat.

Beta yakin jika pembangunan kita berkat, maka tidak ada lagi yang perlu dirsaukan, semuanya itu akan jadi bagus dan berjalan dengan baik. Ekonmi insya Allah akan tumbuh dengan pesat dan keamanan serta kesejahteraan juga akan dapat dinikmati berterusan. Ini adalah berdasarkan janji Allah, bahawa berkat itu boleh turun dari langit dan tumbuh dari bumi, apabila penduduk engeri beriman dan bertakwa.

Janganlah diabaikan perkara berkat, ia sangat penting untuk meraih kebahagiaan. Tidaklah cukup kita memiliki asset dari mata benda tanpa berkat menjadi paksinya. Asset yang kosong dari bekat tidak mungkinbertahan lama. Keranan itulah, untuk mendapatkan berkat pada harta, ianya mesti dizakat. Harta yang dizakatadalah harta yang tumbuh, bukan berkurangan.

Beta menyebut perkara berkat ini, keraa kita baru saja melalui dua peristiwa yang penuh berkat, iaitu umat Islam berpuasa dalam bulan Ramadhan dan menyambut Hari Raya ‘Idil Fitri dalam bulan Syawal. Demi keberketan bulan-bulan ini serta ibadat yang kita lakukandidalamnya. Maka kita memohon kepada Allah Subhanahu Wata’ala untuk menemukan kita lagi dengan bulan-bulan tersebut pada tahun-tahun yang mendatang. Amin.

Mengambil peluang disini, Beta ingin menyeru kepada sekalian umat Islam, khasnya para belia dan pelajar, supaya jangan memandang ringan perkara berkat. Kita jangan ‘asyik mengkagumi ‘benda’ sahaja atau tunduk kepada teknologi moden semata-mata, tetapi kalingalah juga perkara berkat, kerana berkat itu lebih agung dan lebih menentukan. Daripada berkatlah mengalirnya pelbagai nikmat, seperti nikmat keselamatan, keamanan dan kemakmuran. Ini semua tidak boleh tercetus dari benda mahupun dari teknologi.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Bagi Tahun 1434H / 2013M

 

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idilfitri Tahun 1434H/2013M anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, pada hari Selasa, 19 Syawal 1434H bersamaan 27 Ogos 2013M bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Beta sangat bersyukur kerana dapat hadhir bersama-sama bagi meraikan ‘Idilfitri yang mulia.

Sebelum ini, Alhamdulilah, kita telahpun berpuasa sebulan genap, sebagai menjunjung titah perintah Allah ke atas kita.

Pada hari ini, kita berada dalam Majlis Menyambut ‘Idilfitri, Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Beta difahamkan sambutan pada tahun ini melibatkan para pengusaha di negara ini, ahli persatuan, pelajar dan individu yang bergiat dalam sektor teknologi info-komunakasi(ICT).

Dalam penggunaan dan penerapan teknologi ICT, kita telahpun mula menyaksikan kemajuan menerusi pelbagai rancangan, seperti rancangan E-Kerajaan, rencangan perdagangan(E-Commerce), rancangan pendidikan (E-Education), media penyiran dan sebagainya.

Dalam hubngan ini, Beta sangatlah tertarik mengetahui, akan rancangan membantu dan menggalakkan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei dan Authoriti Industri Teknologi Info-Komunakasi (AITI) dalam menjana perkembangan industri ICT di negara ini, menerusi skim bantuan berupa geran khusus kepada syarikat-syarikat ICT dan media digital tempatan, untuk mereka itu lebih ke hadapan menghasilkan produk-produk yang berpotensi untuk dikomersilkan di pasaran antarabangsa.

Beta juga sangat menghargai pencapaian para pelajar dan golongan belia kita di dalam pertandingan-pertandingan Brunei ICT, seperti CIPTA, BICTA, IGNITE, INFORAMA dan juga pertandingan-pertandingan peringkat serantau dan antarabangsa, seperti APICTA.

Adalah dihrapkan supaya mereka ini akan terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih dinamik bagi menghasilkan produk dan perkhidmatan ICT made in Brunei serta juga yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Pada tahun 2008 hingga 2010 menurut Network Readiness Index (NRI), kedudukan Brunei adalah pada tahap 63 daripada 133 ekonomi, sementara pada tahun 2012/2013 kini, kedudukan itu meningkat ke tahap 57. Ini adalah petanda baik menunjukkan yang sektor ICT semakin berkembang, dan malah dijangka, akan terus berkembang

ICT akan terus maju menjadi penjana kepada kemajuan ekonomi. Menurut International Telecommunication Union, ada terdapat 8.6 bilion pelanggan mobile-cellular dan 40 peratus penduduk dunia atau 2.7 bilion orang adalah pengguna internet.

Kita tidak mampu meramalkan sampai bilakah kemajuan ini mencapai kemuncaknya. Yang nyata ia adalah terus meningkat dan meningkat, sementara sambutan atau respons pengguna pula, menjadikannya benar-benar telah menguasai dunia ini.

Kuasanya itu sangat besar, berpotensi untuk mempengaruhi seluruh kehidupan. Jika ia digunakan untuk kebaikan, maka kebaikan itu dengan mudahnya boleh dicapai, sementara jika sebaliknya, digunakan untuk keburukan, maka ia tidak syak lagi adalah racun berbisa untuk semua.

Oleh itu, mengambil peluang di sini, Beta ingin mengingatkan supaya kita semua sentiasa waspada dan berhati-hati terhadap kemungkinan-kemungkinan negatif peggunaan ICT, terutama di kalangan generasi muda bahkan juga kanak-kanak. Penggunaan-penggunaan yang tidak betul dan menyeleweng, boleh mengundang kepada kemudharatan-kemudharatan serious, baik ia bagi individu, mahupun keluarga dan masyarakat.

Terhadap agensi-agensi yang bertanggungjawab dan juga semua sektor yang berkaitan hendaklah memastikan, bahawa ICT tidak lain, hanyalah sebagai pemudah cara saja, untuk meningkatkan produktiviti, keberkesanan dan efisiensi di dalam urusan serta juga untuk menjana pertumbuhan ekonomi. Itu saja.

Selain itu, apa-apa jua yang berunsur keburukan atau yang merugikan, hendaklah kita sekat dan banteras. Inilah satu-satunya langkah penting untuk mengelakkan penyesalan.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Bagi Tahun 1433H / 2012M

 

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1433 Hijrah/ 2012 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah , pada hari Selasa, 9 Syawal 1433/28 Ogos 2012 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat meraikan hari besar dan hari kemenangan umat Islam, Aidilfitri yang mulia. Aidilfitri adalah kurnia Allah Subhanahu Wata’ala kepada hamba-Nya yang berjaya melaksanakan ibadah puasa Ramadan sebulan genap.

Dalam suasana keraian Aidilfitri, biarlah sambutan Hari Raya ini menjadi satu ibadah yang disukai oleh Allah bagi mendapatkan ganjaran pahala-Nya.

Islam adalah satu-satunya ugama paling sempurna untuk mengatur seluruh kehidupan alam semesta. Segala aturannya itu, ialah untuk kebaikan belaka, serta juga untuk menghapuskan kejahatan. Dalam bidang ekonomi, Islam juga berfungsi ,membawa manusia mencapai kemajuan yang sebenar-benarnya.

Beta difahamkan, Sambutan Aidilfitri anjuran Yayasan pada tahun ini menampilkan para profesional dan pegawai-pegawai serta kakitangan tempatan yang berkhidmat di Government Linked Companies (GLC) dan sebahagian sektor swasta yang mewakili beberapa kategori perusahaan dan perkhidmatan di negara ini. Beta sangatlah mengalu-alukan penyertaan mereka itu.

Kewujudan sektor swasta dan Government Linked Companies (GLC) adalah memainkan peranan sangat penting untuk membantu memajukan ekonomi negara.

Di dalam Rancangan Kemajuan Negara Kesepuluh 2012-2017, di mana menerusi Strategi Ekonomi, kita adalah sentiasa berusaha untuk membangunkan ekonomi berdaya saing yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti bagi rakyat dan penduduk di sektor awam mahupun swasta.

Maka ke arah ini, GLC dan sektor swasta adalah diharapkan untuk dapat sama-sama meneliti strategi-strategi RKN, khasnya Strategi Ekonomi dan Strategi Pembangunan Keusahawanan dan Perniagaan Tempatan bagi perkembangan dan kemajuan bidang-bidang berkenaan.

Beta percaya, dengan bermodalkan pengalaman, GLC dan sektor swasta, boleh mengorak langkah bagi meneroka peluang-peluang yang lebih baik, termasuk peluang di luar negara.

Dalam hubungan ini, kerajaan beta melalui beberapa agensi berkaitan sedang dan telah menyediakan pelbagai strategi, perkhidmatan dan kemudahan bagi membantu dan mengembangmajukan lagi sektor swasta, meliputi pendidikan dan profesionalisma pekerja-pekerja.

Beta turut bergembira mengetahui akan meningkatnya penglibatan sektor swasta dan GLC dalam melaksanakan program tanggungjawab sosial atau ‘corporate social responsibility – CSR’, khusus dalam mengambil tahu hal-ehwal kesejahteraan anggota masyarakat yang memerlukan bantuan, yang lebih ketara lagi ianya dilaksanakan dalam bulan Ramadan yang baru berlalu.

Beta berharap usaha berkebajikan seperti ini akan dapat diteruskan dengan rangkaian kerjasama dan ‘strategic partnership’ dengan pihak Yayasan dan agensi-agensi kerajaan serta NGOs. Ianya tentu mampu mendatangkan manfaat timbal balik kedua belah pihak. Mereka yang dibantu akan mendapat keringanan, sementara bagi yang membantu pula akan mendapat kepuasan dan ganjaran yang tidak mampu digambarkan.

Sempena Aidilfitri ini, peluang dapatlah diambil untuk mengukuhkan lagi institusi kekeluargaan serta menjalin silaturahim sesama kita.

Inilah cara kita orang-orang Brunei, kemeriahan tidak hanya diraikan di antara keluarga, sanak saudara dan rakan taulan, tetapi juga turut disemarakkan dalam kehidupan berorganisasi dan bermasyarakat. Ini akan menyuburkan lagi sikap hormat-menghormati, bantu-menbantu dan bertolak ansur, telus, amanah serta jujur dalam semua aspek kehidupan.

Amalan baik seperti ini, apabila ia terus dilakukan, akan menjadi budaya. Budaya hidup yang baik pula adalah mencerminkan kekuatan sesebuah masyarakat yang dibina dengan ugama. Oleh itu, marilah kita sama-sama memelihara ugama di dalam apa jua urusan dan pekerjaan kita. Beta yakin, di sinilah tunjang kekuatan dan kemakmuran kita selama ini.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Bagi Tahun 1432H / 2011M

 

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1432 Hijriah / 2011 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada hari Sabtu 11 Syawal 1432, bersamaan 10 September 2011 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil’alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kerana dapat bersama-sama dalam Majlis Sambutan Hari Raya Fitrah Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi tahun ini.

Beta difahamkan, sambutan pada tahun ini melibatkan para pengusaha kecil dan sederhana termasuk syarikat koperasi.

Mereka ini dipilih sebagai pengiktirafan terhadap kepentingan perusahaan dan perniagaan di dalam kehidupan. Ia adalah teras kepada ekonomi sesebuah masyarakat dan negara.

Melalui perusahaan dan perniagaan, manusia dituntut supaya sentiasa aktif dan produktif. Kerana itulah, Islam sampai menyifatkan orang berniaga itu sebagai berjihad di jalan Allah, kerana hasilnya mampu untuk membangunkan ummah.

Begitulah yang berkaitan dengan perkara ekonomi, agama Islam, tidak mengabaikannya. Malah memberikan perangsang konsisten untuk ianya terus diaktifkan. Cuba kita lihat petunjuk Al-Qur’an sendiri, selepas menunaikan fardu Jumaat, kita pun disuruh supaya bertaburan di muka bumi untuk mencari kelebihan rezeki.

Ini adalah gambaran jelas, betapa Allah Ta’ala sendiri mahu, supaya ekonomi kita itu hidup, dinamik dan berkembang.

Ayat ini pada hemat beta, turut berkaitan dengan para pengusaha dan peniaga pada khususnya, dan malah seluruh umat Islam pada umumnya. Ia adalah satu motivasi untuk mereka.

Agama Islam, ternyata menggalakkan umatnya supaya aktif dalam bidang ekonomi, bukannya bermalas-malas atau berpeluk tubuh.

Sebab itu, beta sungguh gembira, kerana salah satu fokus utama kita dalam Rancangan Kemajuan Negara ialah mempertingkatkan pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Ia kita lihat sebagai turut merealisasikan Wawasan Negara 2035.

Dan lebih menggembirakan lagi, apabila bilangan syarikat PKS yang berdaftar semakin bertambah, dengan beberapa buah daripadanya pula, telah mampu menembusi pasaran serantau.

Selari dengan perkembangan positif ini, pihak PKS janganlah mengabaikan ‘etika’ berharga lagi asasi.

Apakah dia etika berharga lagi asasi itu?

Jawabnya ialah sifat amanah.

Di dalam mengendalikan sebarang perusahaan atau perniagaan, sifat ini adalah amat mustahak kerana tanpanya, perusahaan atau perniagaan itu boleh saja mengalami masalah.

Pengendali perusahaan atau perniagaan, manakala mereka itu tidak amanah, sudah pasti akan mengundang kepada pelbagai masalah.

Di antara masalah itu, mungkin saja menyangkut perkara-perkara pengurusan yang tidak telus, atau penyelewengan kewangan dan seumpamanya. Jika ini berlaku, maka bukan saja PKS yang tidak akan mampu bertahan, malahan juga perusahaan gergasi sekalipun boleh hancur dan lebur.

Bagi pengusaha dan peniaga kecil atau sederhana, turut menjadi penting kepada mereka, ialah menunaikan amanah terhadap pelanggan-pelanggan mereka. Kita ambil satu contoh: Pengusaha restoran atau kedai makan, mereka ini berkewajipan untuk memastikan semua jenis makanan, bukan saja ia bersih dalam makna tidak kotor, malahan juga suci sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak.

Oleh itu, pastikanlah setiap bahan itu dari sumber yang halal, dengan menjauhi yang sebaliknya, atau yang dianggap samar-samar, yang belum atau tidak jelas halal haramnya.

Jika ini ada, insya- Allah, perusahaan atau perniagaan kita akan diberkati oleh Allah. Dan inilah dia keramat amanah itu.

Dengan mengamalkan sifat amanah, kewibawaan syarikat PKS pasti menyerlah, dan dengan itu juga, akan menambahkan lagi kemampuannya untuk bersaing.

Ke arah ini, kerajaan beta melalui beberapa agensi telah dan sedang menyediakan pelbagai strategi, termasuk bantuan perkhidmatan dan kemudahan yang boleh mengembangmajukan lagi sektor PKS, bukan setakat di peringkat tempatan, malahan juga sampai ke peringkat serantau dan antarabangsa.

Sebagai sebuah organisasi yang sentiasa mengambil berat kebajikan golongan kurang berkemampuan, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah tidak menolak untuk bekerjasama dengan agensi-agensi yang berkenaan dalam memikirkan program-program dan kaedah-kaedah praktikal bagi membantu golongan ini, melalui aktiviti-aktiviti perusahaan atau perniagaan, termasuk penyediaan latihan-latihan dan bantuan memulakan perniagaan.

Sehubungan itu, beta adalah menyambut baik inisiatif Yayasan di dalam merancang skim bantuan berniaga kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan, agar mereka itu lebih produktif, sehingga dapat sama-sama menyumbang kepada perkembangan sosioekonomi negara.

Akhirnya, beta ucapkan selamat maju jaya kepada sektor PKS, serta tahniah kepada agensi-agensi yang memberikan perkhidmatan dan sokongan mereka kepada pertumbuhan PKS, seperti Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei, institusi-institusi kewangan dan agensi-agensi sektor swasta yang lain.

Sekiah, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wasslamu ‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Bagi Tahun 1431H / 2010M

 

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1431 Hijrah / 2010 Masihi Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada 7 Syawal 1431 / 16 September 2010

 

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dapat meraikan Aidilfitri Al-Mubarak 1431/2010. Lebih-lebih lagi kita meraikannya dalam suasana yang aman lagi selesa. Kita merasa bertuah dikurniakan nikmat ini.

Bagaimanapun, kita turut bersimpati dengan nasib sebilangan warga dunia yang ditimpa musibah-musibah berat, yang tentunya membawa kesengsaraan kepada mereka. Di antara mereka itu – dalam jumlah yang besar – ialah umat Islam.

Dalam perspektif Islam, musibah juga dikaitkan dengan kelakuan dan perbuatan manusia sendiri, seperti disebut oleh Al-Quran Surah Ar-Ruum, ayat 41, tafsirnya: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab perlakuan tangan-tangan manusia…”

Perlakuan-perlakuan itu meliputi perbuatan maksiat secara peribadi dan perbuatan melanggar perintah, atau undang-undang, atau hukum-hakam Allah Taala.

Maka sehubungan ini, beta turut gembira dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada tahun ini, menampilkan pegawai-pegawai dan kakitangan daripada agensi-agensi penguatkuasaan awam, yang memegang peranan memantau dan mengawal semua undang-undang dan peraturan di negara ini.

Mereka tidak syak lagi, adalah tunggak kerukunan dan benteng kesejahteraan yang sebenar-benarnya.

Peraturan dan undang-undang adalah ‘jiwa’ kepada masyarakat. Tanpa peraturan dan undang-undang,masyarakat akan lemah dan tidak dihormati. Oleh itu jentera penguatkuasaan mestilah kuat, tidak boleh lemah. Kerana jika ia lemah, negara dan masyarakat akan terjejas teruk.

Ada peraturan dan undang-undang sahaja belumlah cukup. Ibarat qalam atau pensil, tanpa tangan yang menjalankannya, qalam dan pensil itu tidak berguna apa-apa. Maka demikian itulah dengan peraturan dan undang-undang, mesti ada tangan dan kuasa melaksanakannya, barulah ia berguna. Jika tangan atau kuasa itu lemah, maka akan jadilah ibarat qalam tanpa dakwat, atau pensil yang patah, tidak akan membawa makna apa-apa.

Pada masa ini atau akhir-akhir ini, perbuatan melangkahi peraturan atau undang-undang adalah lumrah. Kerana itu, pihak penguatkuasa tidaklah boleh cuai atau berlonggar-longgar dengan peraturan atau undang-undang yang ada. Mereka perlu lebih tegas dan berani, asal saja jangan bertindak di luar batas kuasa yang sah.

Ambillah perhatian di semua aspek yang mungkin berlaku, seperti penggunaan logo-logo palsu, penyelewengan, penyeludupan, pelanggaran akta berkaitan tanah dan lain-lain oleh pihak-pihak tertentu. Tangani semuanya dengan peraturan atau undang-undang secara berhemah dan profesional. Jangan biarkan ada yang terlepas, kerana mereka adalah kudis berjangkit yang perlu dirawat.

Di akhir-akhir ini, jenayah rompak dan mengikat mangsa juga berlaku. Tangani pelaku yang terlibat dengan undang-undang tanpa tolak ansur. Pastikan mereka berhadapan dengan undang-undang dan mahkamah. Mereka jangan sekali-kali diberi peluang untuk mengulangi lagi perbuatan keji itu bagi kedua kalinya. Jika mereka itu berasal dari luar Brunei, maka pastikan supaya mereka faham, bahawa di Brunei tidak ada tempat bagi orang-orang yang seperti itu.

Pihak penguatkuasa keselamatan, tidak ada peluang lagi untuk memperlahankan langkah, tetapi perlu lebih ligat dan cepat untuk menumpas dan mencegah jenayah yang terkutuk itu.

Beta berharap, orang ramai juga kenalah lebih berhati-hati serta bersedia untuk memberikan kerjasama yang padu kepada pihak-pihak penguatkuasa, tanpa perlu didesak-desak atau diminta.

Ingatlah, tanggungjawab kepada negara dan undang-undang adalah tanggungjawab bersama.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Bagi Tahun 1429H / 2008M

 

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1429H / 2008M anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada hari Isnin, 12 Syawal 1429 bersamaan 13 Oktober 2008 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita menyambut Hari Raya Fitrah yang mubarak.

Kehadiran Hari Raya telah menjanjikan limpah kurnia besar dari Allah untuk kita umat Islam. Ia juga merupakan Hari Suci, dinamakan Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah. Dalam bahasa, salah satu makna fitrah itu ialah ‘agama’ iaitu Agama Islam yang suci. Kemudian, ia dihubungkan pula dengan pengeluaran zakat fitrah. Zakat adalah bererti sedekah atau pembersihan terhadap diri dan juga terhadap harta.

Syari’at zakat turut menjadi landasan memperkukuh ummah. Dengannya, pembelaan terhadap golongan yang daif dapat direalisasikan.

Begitulah antara lain rahsia zakat. Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali dari mempunyai pelbagai kelompok masyarakat yang memerlukan perhatian. Kita juga mempunyai kelompok fakir miskin, golongan remaja yang menjadi magsa dadah, mangsa bencana alam dan seumpamanya.

Namun kita bersyukur kerana masih mempunyai anggota masyarakat yang prihatin, yang sentiasa bersedia untuk menyumbangkan khidmat bakti bagi membantu golongan-golongan ini. Di antara tanda keprihatinan itu ialah penunaian zakat oleh orang-orang Islam.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada tahun ini, menampilkan sukarelawan dan rakan-rakan strategik kepada Yayasan, iaitu dua kumpulan yang gemar membantu dan melaksanakan kerja-kerja kebajikan. Kepada mereka ini, beta ucapkan tahniah dan penghargaan yang ikhlas.

Para remaja dan belia amat perlu didedahkan kepada sikap kesukarelawan seperti ini. Ia akan memberkan suntikan kesedaran kepada generasi muda untuk lebih peka dengan nasib anak bangsa yang memerlukan bantuan, di samping juga akan menipiskan sikap mementingkan diri sendiri di kalangan mereka.

Pembentukan sikap yang besar ini sangatlah mustahak, terutama di zaman yang amat pesat dengan pembangunan ini. Kita tidak mahu pembangunan itu akan menjadikan budaya kita lemah. Budaya orang Brunei ialah budaya muafakat dan budaya tolong-menolong. Ia perlu kuat dan terus diamalkan, bukan seperti di kebanyakan bahagian dunia hari ini, budaya seperti ini sudah agak lemah, digantikan oleh budaya berlepas tangan dan budaya nafsu-nafsi.

Berdasarkan semangat muafakat serta sikap mengambil berat inilah, maka baru-baru ini beta telah memperkenankan penubuhan Majlis Kebangsaan Isu Sosial, untuk menangani masalah dan isu sosial yang sangat merunsingkan, yang juga akan berperanan bagi menyelaras program-program yang dirancang oleh agensi-agensi yang terlibat supaya lebih berkesan dan teratur.

Sehubungan dengan itu, beta juga menyambut baik inisiatif Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menubuhkan Unit Sukarelawannya. Beta difahamkan, sejak penubuhannya tahun 2005, unit ini sekarang telah mempunyai ahli seramai 564 orang, yang terdiri daripada para belia dari pelbagai latar belakang pendidikan dan kemahiran. Unit ini tentu saja sudah mempunyai rancangan-rancangannya yang telah atau sedang dilaksanakan dengan jayanya.

Sebagai sebuah institusi sosial, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyedari, bahawa ia tidak dapat bergerak sendirian tanpa sokongan agensi-agensi kerajaan mahupun swasta serta lain-lain badan di luar kerajaan. Dalam makna, Yayasan memang memerlukan kerjasama melalui pendekatan rangkaian strategik dengan agensi-agensi dan badan-badan tersebut, khasnya dalam memastikan keberkesanan pengurusan dan penyaluran bantuan-bantuan sosial kepada masyarakat.

Alhamdulillah, sejauh ini beta melihat, Yayasan telah pun menikmati kerjasama tersebut.

Apa yang kita buat ini, menepati tradisi kebanyakan institusi-institusi sosial di seluruh dunia. Mereka itu telah mengendalikan program-program kemasyarakatan mereka melalui pendekatan yang dipanggil pendekatan strategik atau ‘strategic alliances’. Melalui pendekatan inilah, kepakaran, sumber tenaga manusia dan sumber kewangan boleh digunakan secara maksima untuk pembangunan yang berkesan.

Di negara kita, tidak kurang agensi-agensi dan badan-badan yang terlibat dengan program-program kemasyarakatan. Malah juga pihak-pihak individu yang prihatin.

Isu kemasyarakatan yang sering disebut-sebut, khasnya oleh media-media massa ialah isu kemiskinan. Agensi-agensi yang berkaitan telah turut menangani masalah ini dengan program-program mereka yang bermacam-macam, dengan fokus yang sama, iaitu mahu meringankan beban kemiskinan tersebut.

Pada hemat beta, isu kemiskinan di negara ini belumlah separah di tempat-tempat lain di luar negara. Ia mungkin dapat dikendalikan dengan lebih efektif melalui kaedah-kaedah praktikal yang bersesuaian dengan keadaan di negara ini. Cuma saja barangkali, kita ini belum lagi menemukan atau belum mahu mencuba kaedah-kaedah tersebut.

Salah satu cara yang telah pun dikenal pasti ialah melalui penggunaan sumber alam oleh manusia, di mana anggota masyarakat yang miskin adalah sebahagian daripada kelompok tersebut.

Dalam konteks ini, beta tertarik membaca The World Bank’s World Development Report 2007, yang menyatakan, bahawa bidang pertanian adalah mampu mengurangkan kadar kemiskinan secara efektif sebanyak empat kali ganda, berbanding sektor ekonomi yang lain. Ini tentu saja boleh menyuntik minda kita sebagai salah satu kaedah yang dapat dikembangkan bagi mengatasi masalah kemiskinan, di samping lain-lain kaedah lagi. Tinggal saja kita ini, mahu ataupun belum mahu lagi mencubanya.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Bagi Tahun 1428H / 2007M

 

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Pada 11 Syawal 1428 Hijrah bersamaan 23 Oktober 2007 Masihi

 

Marilah kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita berhari raya dalam majlis anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini.

Beta difahamkan, sambutan pada tahun ini turut juga disertai oleh ahli-ahli ilmuan yang terdiri daripada pegawai-pegawai utama dan tenaga-tenaga akademik dari pusat-pusat pengajian tinggi dan latihan kemahiran. Beta amatlah mengalu-alukan penyetaan mereka itu.

Para ilmuan dibidang masing-masing mempunyai peranan berbeza dalam membangunkan Negara. Mereka adalah penaja modal insan.

Orang-orang berilmu lagi beriman mendapat pujian daripada Allah. Mereka boleh mengalahkan ahli ibadat, kerana ahli ibadat beribadat untuk diri mereka sendiri, sedang ahli ilmu menyumbangkan ilmu mereka untuk kesejahteraan bersama.

Beta berharap, sumbangan yang sedemikian itu akan dapat diketarakan menerusi dedikasi dan tugas-tugas jawatan masing-masing. Sementara para pelajar pula, juga hendaklah mengketarakan diri mereka selaku anak bangsa yang terdidik dan berpelajaran. Mereka adalah generasi tauladan.

Para ilmuan termasuk pelajar adalah golongan yang diikut disebabkan kesempurnaan sifat dan pembawaan mereka, bukan menjadi pengikut kepada syakhsiah-syakhsiah yang cacat akhlak, walau siapapun mereka.

Inilah yang patut jadi wawasan kita: Ilmuan dan pelajar bersifat pencorak, pemikir dan pemimpin masa kini dan akan datang.

Beta yakin dengan dedikasi ikhlas dan komitmen tinggi mereka terhadap tanggungjawab kepimpinan seperti ini, akan mengukuhkan lagi kewibawaan dan kredibiliti mereka dikalangan masyarakat.

Para ilmuan dan pelajar mestilah jadi mentor (pembimbing), guru dan pakar pemikir. Mereka adalah sumber budaya intelektual. Mereka patut disokong dan didokong untuk melahirkan budaya yang sihat ini.

Semua kita dan pihak-pihak pentadbir serta pengurus hal ehwal pendidikan, patutlah memberikan sokongan kepada mereka, bukan saja sekadar sokongan moral, malahan juga mungkin sokongan kewangan untuk kecemerlangan.

Sebagai contoh ahli-ahli akademik itu sudah sedia dimaklumi mempunyai kepakaran untuk melakukan penyelidikan-penyeledikan yang berauthoriti. Menerusi kepakaran masing-masing mereka mampu untuk mencari huraian-huraian praktikal menggenai isu-isu semasa yang kita hadapi, sama ada ia isu sosial – kemasyarakatan atau lain-lain, seperti isu-isu khusus mengenai ekonomi, kewangan, perubatan dan seumpamanya.

Apakah dalam keperluan-keperluan seperti ini mereka tidak patut dibantu dan didokong?

Rata-rata masyarakat dunia hari ini berhadapan dengan dilema kemiskinan. Mengapakah kepakaran tidak dimanfa’atkan untuk mengkaji punca-punca kemiskinan serta bagaimana langkah mengatasinya?

Demikian juga dalam bidang ekonomi, apakah tidak patut kepakaran digunakan untuk memandu, menasihat dan mencetuskan idea-idea baru yang lebih inovatif dan progresif supaya perkembangan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lebih menyerah lagi, sehingga mampu menjadi pemangkin kepada kepelbagaian sumber ekonomi negara?

Dan begitu juga dibidang kewangan, mengapakah kepakaran tidak terlibat untuk menyelidik isu-isu utama mengembangkan sector kewangan dan insuran Islam, dan lain-lain seumpamanya?

Demikian beberapa contoh yang dapat Beta sebut. Beta berharap ia akan jadi bahan renungan untuk dikongsi bersama-sama.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Bagi Tahun 1427H / 2006M

 

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah,Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Pada 22hb Syawal 1427 Hijrah Bersamaan 14hb November 2006 Masihi

 

Dalam Kemeriahan merayakan Hari Raya, kita tidak boleh lupa untuk memperolehi seberapa banyak kebaikan. Kebaikan yang dimaksudkan itu ialah perkara-perkara di dalam telah menta’ati Allah Subhanahu Wata’ala.

Sesuai dengan semangat ini, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah memilih murid-murid dan penuntut-penuntut serta guru-guru mereka sebagai peserta kali ini.

Beta dengan sukacita mengalu-alukan mereka itu.

Murid dan penuntut adalah anak didik guru-guru. Guru-guru pula adalah tenaga manusia dalam perkhidmatan pendidikan untuk melahirkan generasi bangsa.

Kedua-duanya adalah penaja kemajuan dimasa depan.

Kita tidak dapat meramalkan bentuk masa depan itu. Namun kita perlulah bergerak untuk kemajuannya.

Sebagai misalan, berpuluh-puluh tahun dahulu, sebahagian orang tua-tua kita tidaklah tergambar yang kita ini boleh mencapai taraf hidup yang tinggi yang kita nikmati pada masa ini. Mereka mungkin tidak menduga bahawa negara dan bangsa kita boleh berkembang maju. Namun begitu, mereka adalah turut berusaha untuk memperolehi apa mungkin boleh dicapai.

Usaha mereka yang paling besar dan bermakna ialah memberikan pelajaran kepada kita. Lalu kita pun menjadi terpelajar, sekalipun peringkat pengajian yang dicapai tidaklah sama.

Dengan berkat pelajaran itu, bangsa kita pun dapat menikmati kemajuan, sebagaimana yang sedang kita nikmati sekarang.

Kunci rahsia ialah usaha dan azam. Sebagai contoh, negara kita tidaklah akan melahirkan doctor-doktor dari kalangan Brunei sendiri, sekiranya kita tidak merancang dan menyediakan skimnya.

Begitu juga dengan kerjaya professional yang lain-lain.

Semuanya itu adalah bermula dengan memberikan pelajaran. Kemudian disusuli oleh perancangan-perancangan tertentu dengan memberikan peluang kepada sebahagian mereka bagi melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Banyak bidang kerjaya dan jawatan professional telah juga disandang oleh rakyat negara ini. Kita sangat bersyukur serta berbangga dengan anak-anak kita itu kerana hasil menyandang jawatan-jawatan berteknologi tinggi termasuk di bidang industri minyak dan gas.

Dengan contoh-contoh ini, kita sepatutnya lebih yakin dan optimistic untuk terus merancang masa depan bangsa menerusi murid-murid dan penuntut-penuntut kita.

Dunia dan manusia akan terus menyaksikan kemajuan ilmu pengetahuan. Adapun kecemerlangan sesuatu bangsa itu akan lebih ditentukan oleh sejauh mana mereka dapat mengusai ilmu dan kemahiran.

Disamping itu, bangsa yang maju juga adalah bangsa yang dapat mengekalkan jati dirinya. Bangsa-bangsa lain akan mengenalinya menerui sifat dan watak jati diri itu. Bangsa yang berjati diri pasti akan dihargai dan dihormati oleh semua orang.

Oleh itu, kita sebagai bangsa yang memang sedia mempunyai jati diri, hendaklah tidak mengabaikan aspek-aspek jati diri kita.

Kita hendaklah bersikap memelihara, sambil memperelok jati diri kita yang ada, bukan dengan sewenang-wenang mengubahnya, dengan alasan untuk menyesuaikannya dengan zaman.

Satu dari jati diri itu telah turut terungkap di dalam Pemasyhuran Kemerdekaan Negara, berbunyi: “Melayu Islam Beraja”.

Jati diri bukan sahaja setakat untuk diketahui, malahan juga mesti diketarakan. Ia perlu sentiasa nampak, dipakai dan dihayati, barulah faedahnya dapat dirasai.

Ia tidak boleh dicampur-aduk, lebih-lebih lagi dengan perkara sia-sia yang bercanggah dengan pegangan serta adapt resam kita.

Mencampur-aduk itu, adalah satu kerja yang mudah. Ia boleh terjadi melalui pelbagai cara dan saluran, seperti menerusi saluran-saluran hiburan di dalam upacara-upacara perayaan dan seumpamanya. Kadang-kadang kita sampai hilang punca sehingga melupakan jati diri sendiri, seperti tidak menghiraukan lagi batasan-batasan ugama serta membuat perkara-perkara yang boleh dilihat sebagai melimpasi adab-sopan beraja dan berbangsa, padahal jati diri orang Brunei adalah penuh dengan “awar galat”, serta perbuatan “suruk langkah” juga menjadi ukuran penting didalam pergaulan.

Inilah mustahaknya kita mesti betul-betul berpijak di bumi Brunei sendiri. Dan untuk itu kita sangat memerlukan pendidik dan pemimpin yang berjati diri.

Guru-guru dan lain-lain pihak berkenaan hendaklah mengambil berat perkara ini, supaya anak-anak kita, pemuda-pemudi kita dan generasi seluruhnya akan terselamat dari sebarang pencemaran budaya.

Dan sesuai dengan tema perhimpunan untuk memperolehi kebaikan, maka Beta berharap supaya semua pihak akan sama-sama bergerak menghalangi unsur-unsur yang tidak serasi dengan jati diri bangsa, dari masuk menyusup menerusi acara-acara sambutan dan perayaan.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh.

Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Bagi Tahun 1426H / 2005M

 

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 10 Syawal 1426 Hijrah Bersamaan 12 November 2005 Masihi

 

Alhamdulillah, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, buat kali ketiganya, menganjurkan pula Sambutan Hari Raya ‘Idilfitri. Sambutan seumpama ini memang wajar, sebagai tanda bersyukur kita merayakan ‘kemenangan besar’ dalam menjalani ujian Allah, iaitu ujian berpuasa didalam bulan Ramadhan.

Sesungguhan perjumpaan hari raya tentu sahaja akan berlangsung dalam suasana meriah dan mesra. Dari namanya sahaja, iaitu ‘hari raya’ adalah mendorong orang untuk menyambutnya dengan gembira. Ianya juga kita meriahkan dengan berbagai acara, sesuai dengan namanya ‘kemenangan besar’ itu. Corak dan bentuk kemeriahan adalah terpulang kepada kita menentukannya. Namun begitu, ia mestilah selari dengan pegangan ugama.

Jelasnya: Intisari sambutan adalah keta’atan kepada Allah. Kerana ia berpunca daripada ne’mat-Nya, dimana ne’mat itu telah mewajibkan kita supaya melakukan keta’atan. Dan adapun keta’atan pula terdiri dari berbagai jenis, diantaranya, berupa khidmat-khidmat kebajikan kepada masyarakat, seperti khidmat membela orang-orang yang tidak berupaya.

Ini juga adalah satu bentuk perayaan, kerana ia dapat menyukakan mereka yang berkenaan itu. Begitulah, kita mesti ra’i dan meriahkan ‘Hari Besar’ ini dengan keta’atan kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Oleh itu, Beta amatlah gembira kerana Perjumpaan Hari Raya Anjuran Yayasan ini, tidak terlepas dari ciri-ciri keta’atan kepada Allah itu.

Ia pada kali ini, telah menghimpunkan kumpulan-kumpulan yang diyakini boleh mnyumbang dan memberikan khidmat yang berkesan kepada masyarakat yang memerlukannya. Beta secara peribadi, amatlah menyambut baik kehadiran kumpulan-kumpulan atau pertubuhan-pertubuhan akar umbi yang dnamakan NGO sebagai peserta pada tahun ini.

Kumpulan-kumpulan atau pertubuhan-pertubuhan akar umbi, tidak syak lagi, adalah komponan yang penting dalam struktur kepimpinan sesuatu masyarakat. Mereka boleh berperanan menciptakan kesejahteraan di kalangan rakyat dan penduduk, khasnya siapa-siapa yang sememangnya menjadi sasaran khidmat yang terdiri daripada orang-orang susah atau yang bermasalah. Kewujudan pertubuhan-pertubuhan akar umbi ini boleh menangani isu-isu social secara khusus dengan program-program mereka yang tertentu. Jika mereka berhasil, bermakna satu kejayaan besar telah dicapai.

Bagaimana pun, kita juga mengakui bahawa belum banyak pertubuhan akar umbi ini yang berjaya sepenuhnya mencapai matlamat mereka yang luhur. Banyak faktor menyebabkan kegagalan tersebut. Diantara yang sering dikaitkan dengan kelemahan atau kegagalan sesebuah pertubuhan ialah faktor kepimpinan. Tetapi faktor-faktor yang lain juga, khususnya faktor kewangan, tidak kurang menentukan semua itu.

Misalnya, kita sedia memahami bertapa sukarnya untuk menangani genjala-genjala penyalahgunaan dadah dan jangkitan HIV. Namun bagi kedua-dua isu ini terdapat pertubuhan NGO yang terus menerus merangka dan melaksanakan program-program mereka untuk mengatasinya. Jadi disini ternyata, bukan lagi masalah kepimpinan yang timbul, tetapi mungkin ada masalah lain yang belum ditemui punca dan sebabnya yang membawa kepada kegagalan itu. Sementari disudut lain pula, usaha menangani penyalahgunaan dadah dan jangkitan HIV, adalah tidak sama dengan usaha mengatasi kemiskinan, atau membantu orang-orang cacat dan bermasalah. Masing-masing itu memerlukan pendekatan yang berbeza-beza.

Sekalipun bertapa sukarnya atau susahnya menangani kepincangan-kepincangan yang berlaku didalam masyarakat, namun usaha tidaklah pernah berhenti dari terus dibuat atau difikirkan untuk mengatasinya. Ini adalah satu pertanda baiik kepada masa depan dunia, dan juga sejarah ketamadunan manusia. Demikian itulah hakikat yang ada, bahawa kita tidak jemu-jemu untuk terus berusaha menangani isu-isu sosial dengan gigih dan ikhlas. Maka kerana itu, kehadiran kumpulan-kumpulan atau pertubuhan-pertubuhan akar umbi pada tahun ini menjadikan kita bertambah insaf, bertapa perlunya usaha-usaha kebajikan itu diteruskan, sementara majlis hari ini, turut juga merakamkan penghargaan terhadap khidmat bakti mereka yang selama ini disumbangkan.

Kita mengharapkan perhimpunan hari ini akan dapat mencetuskan idea-idea segar untuk memikirkan inisiatif-inisiatif baru yang berkaitan. Kerana ternyata sekarang , isu-isu sosial sudah semakin rumit, ibarat jalan yang berliku-liku, yang memerlukan lebih kepada komitmen dan penumpuan. Misalnya saja orang-orang susah yang bergantung kepada bantuan kebajikkan dan wang zakat, mereka itu dulunya ialah fakir miskin yang kebanyakkannya terdiri daripada orang-orang tua, pengidap-pengidap penyakit , atau mereka yang cacat anggota dan akal. Tetapi sekarang, tidak lagi semestinya begitu, dimana sudah ramai mereka yang menerima itu terdiri daripada orang-orang dalam lingkungan umur yang boleh bekerja, tetapi mereka bermasalah. Ada yang disebabkan terlibat atau pernah terlibat dengan jenayah atau genjala sosial yang menjadikan mereka penganggur, sedang dari sudut tanggungjawab, mereka adalah menanggung isteri dan anak-anak. Sementara bagi mereka yang terdiri daripada wanita-wanita pula ada yang disebabkan perceraian atau suami bermasalah, dimana beban menyarai anak-anak terpaksalah dipikul oleh mereka. Tetapi mereka ini tidak mempunyai mata pencarian, yang sudah barang tentu menyebabkan mereka mesti bergantung kepada bantuan kebajikan atau zakat. Disamping itu, ada pula sebahagiaannya terdiri daripada anak-anak muda dan murid-murid sekolah yang juga turut bergantung kepada bantuan jenis ini.

Masalah kita sekarang, sampai bilakah golongan-golongan tersebut terus menerus bergantung kepada bantuan-bantuan? Tidakkah kita ingin melangkah setapak lagi untuk melepaskan mereka daripada belenggu pergantungan?

Dalam keadaan hidup tersepit oleh kesukaran, sudah barang tentu mereka susah untuk mencari jalan keluar sendiri. Dan didalam situasi begini, kita mungkin sahaja menyesali akan sikap yang tidak berubah itu. Tetapi dalam masa yang sama, adalah pula adil jika kita berani bertanya kepada diri kita: ” Sejauh manakah skim-skim bantuan itu telah diprogramkan untuk mengatasi kemiskinan.

Disamping dengan bantuan, barangkali juga kita perlu kepada satu skim dan program sokongan untuk memandu, membantu, membimbing dan melatih mereka yang menerima bantuan tersebut khusus dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan usaha dan kretiviti meningkatkan taraf hidup. Dalam hubungan ini, agensi-agensi yang berkaitan, dan juga para peserta sambutan yang terdiri daripada kalangan NGO, sewajarnyalah sama-sama memikirkan perkara ini. Ambillah langkah yang bersesuaian.

Beta menyedari, sebarang inisiatif besar dan baru adalah memerlukan sokongan kewangan. Ianya bolehlah ditimbangkan. Oleh itu, Yayasan Beta sendiri, Insya Allah bersedia menimbangkan sokongan kewangan kepada badan-badan NGO yang bersunguh-sungguh mengadakan program mereka mengatasi kemiskinan. Namun begitu, program tersebut hendaklah selaras dengan kehendak dan ajaran Ugama Islam.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Bagi Tahun 1425H / 2004M

 

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Pada 21 Syawal 1425 Hijrah bersamaan 4 Disember 2004 Masihi

 

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillaahi Rabbil ‘Aalamien, Wabihi Nasta’inu ‘Alaa Umuuriddunya Waddien Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursalin, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihi Wasahbihi Ajma’ien, Waba’du.

Mula-mula Beta ingin merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur diatas kejayaannya untuk kali kedua menganjurkan majlis yang seumpama ini. Ia adalah sangat bermakna untuk melakar semangat, sesuai dengan ‘Hari Besar’,’Idilfitri’ yang mulia.

Pada kali ini, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menampilkan pula para Achievers dari seluruh negara sebagai pesertanya. Usaha ini sungguh baik untuk mencetuskan ilham dan idea, bagaimana ‘orang-orang lama’ patut dicontohi, atau setidak-tidaknya dihargai. Mereka adalah wira suatu zaman yang tidak boleh diabaikan. Mereka itu berjaya adalah hasil daripada keazaman dan cita-cita yang tinggi.

Terhadap generasi baru dan masa kini, mereka adalah pelapor atau pengasas. Kerana itu jika mereka berjaya, maka kejayaan itu adalah kejayaan bersama. Mereka sama sekali tidak dilupakan. Mereka telah mengharumkan nama Negara. Mereka telahpun awal menyingsing lengan sebelum kita, dimana hasilnya sama-sama dikecapi. Inilah namanya jasa, dan orang berjasa adalah mulia.

Negara Brunei Darussalam turut membuktikan, bahawa ia juga mampu melahirkan para tokoh, karyawan, professional dan jaguh dalam berbagai bidang. Kemampuan ini mestilah berkekalan jika kita menginginkan masa depan negara yang terus gemilang. Tidak ada batas waktu untuk maju. Semuanya adalah terbuka dan bersedia untuk dilalui. Hanya kita sahaja, sama ada ingin merebut ataupun tidak peluang-peluang pembangunan yang ada.

Selaku generasi penerus, kita mestilah lebih berupaya dan lebih gigih, kerana era kita adalah merupakan era yang lebih mencabar daripada sebelumnya. Kalau sebelum ini kita menghadapi kontroversi pandangan dunia terhadap negara ini, dimana sekarang ianya kian memihak kepada kebenaran, tetapi dalam masa yang sama kewajipan belumlah habis lagi sehingga negara mencapai semaksima matlamatnya.

Apakah matlamat negara itu? Yang penting ialah menukarkan sepenuhnya persepsi dan tanggapan negatif orang lain terhadap kita, disamping menjelmakan nilai-nilai kemakmuran dan kesejahteraan yang diredhai oleh Allah. Kita gunakan ungkapan ‘diredhai oleh Allah’ ini, kerana kemakmuran dan kesejahteraan itu boleh sahaja diperolehi dengan berbagai cara, termasuk dengan cara membelakangi nilai-nilai ugama.

Adapun kemakmuran dan kesejahteraan yang menyalahi nilai-nilai ugama itu, tidak akan dapat bertahan lama, kerana ia sebenarnya kosong daripada berkat, dan apapun jua yang ketandusan berkat tidak akan dapat menghasilkan kebahagian sejati. Oleh kerana itu, dikesempatan ini, Beta berharap supaya para Achievers akan dapat bersama-sama dengan kita semua menggembeling tenaga dan usaha bagi menjelmakan sebuah Negara Brunei yang benar-benar makmur lagi sejahtera dibawah redha Allah, yang dalam bahasa Qurannya disebut sebagai ‘Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafuur’.

Inilah fokus yang terafdhal. Jika ini mampu kita capai, maka kitalah bangsa yang paling mulia didunia, bangsa yang paling diberkati, kerana kita berjaya menepati aspirasi al-Quran dalam bernegara. Kita mohon kepada Allah, supaya kita tidak mengacau orang, dan orang pula tidak kacau kita. Sama-sama kita akan membuat kebajikkan, sama-sama kita mahukan damai dan sama-sama kita kepingin bahagia. Carilah ia didalam diri dan didalam tanahair masing-masing.
Inilah hak semua orang. Allah telahpun menentukannya bagi masing-masing.

Jika semua hak-hak ini dihormati, maka dunia akan selamat dan seluruh penghuninya akan berbahagia, sekalipun tingkat kebahagiaan itu berbeza-beza. Dan inilah yang sebenar-benarnya ajaran ugama kita. Ia menyuruh supaya menghormati semua orang. Jangan ganggu semua hak orang: Dari hak peribadi, hak bermasyarakat, sampai hak bernegara. Jadi hak begitu, dimanakah cacatnya Islam itu? Jika orang ikhlas, tidak akan, walau sekerat, yang tidak ‘respect’ kepada Islam.

Mengambil sukut majis yang istimewa ini, Beta ingin berseru supaya seluruh rakyat, apapun peringkat mereka, mengikhlaskan diri dalam usaha membangunkan Negara.

Tidaklah memadai – walaupun dengan kerja keras – tanpa niat yang ikhlas. Kerana Allah itu menilai seseorang melalui niatnya.

Insya-Allah, jika kita ikhlas, Negara pasti akan memperolehi menfa’atnya.

Buat mengakhiri, Beta berharap para Achievers tidak akan ketinggalan untuk sama-sama menyumbang kepada Yayasan Beta dalam usahanya mengendalikan projek-projeknya di masa hadapan. Beta yakin, dengan adanya sumbangan berupa tenaga dan pemikiran daripada para Achievers itu, Yayasan akan lebih bertenaga lagi untuk meneruskan peranannya.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Bagi Tahun 1424H / 2003M

TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

DI MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA ‘IDILFITRI ANJURAN YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

PADA HARI AHAD
5HB. SYAWAL 1424
(30HB. NOVEMBER, 2003)

BERTEMPAT DI DEWAN PLENARY, PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.

 

ASSALAMU ‘ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

BISMILLAHIR RAHMAANIR RAHEEM

ALHAMDULILLAAHI RABBIL ‘AALAMIEN, WABIHEE NASTA’EENU ‘ALAA UMUURIDDUNYA WADDEEN, WASSALAATU WASSALAAMU ‘ALAA ASYRAFIL MURSALEEN, SAYYIDINAA MUHAMMADIN, WA’ALAA AALIHEE WASAHBIHEE AJMA’EEN, WABA’DU.

Buat julung-julung kalinya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah mencetuskan satu idea untuk menyambut Hari Raya ‘Idilfitri bersama-sama dengan golongan professional muda dari sektor kerajaan dan swasta. Idea ini Beta sifatkan sebagai bagus, yang patut diberikan pujian.

Perjumpaan diantara para professional mempunyai erti yang tersendiri untuk memupuk persefahaman dan mencari kesamaan semangat. Mereka adalah golongan yang sentiasa diharap untuk membantu perlaksanaan rancangan-rancangan pembangunan negara. Malah mereka jugalah merupakan penerus kepada kepimpinan untuk masa depan.

Mengimbas keadaan negara kita di zaman awal era kemerdekaan 20 tahun yang lalu, kita adalah masih kekurangan dibidang tenaga manusia yang berkelayakan, maksud Beta tenaga professional. Namun ini tidaklah melemahkan kita untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi bersama-sama dengan orang lain diarena serantau mahupun antarabangsa. Dengan tenaga yang kecil lagi kurang berpengalaman ini, Alhamdulillah kita juga turut mampu untuk meneroka jalan-jalan kemajuan sepertimana juga orang lain melakukannya.

Kini setelah 20 tahun merdeka, bilangan tenaga professional telahpun bertambah dengan begitu membanggakan. Dengan ini, sudah barang tentulah, dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang ini, mereka akan dapat membawa Negara Brunei Darussalam menikmati pertumbuhan-pertumbuhan yang lebih komprehensif diberbagai bidang. Ini, bukanlah andaian kosong, tetapi berdasarkan fakta dimana-mana juga tempat di dunia.

Bagi para professional muda khasnya perlulah memahami, bahawa keadaan tidaklah selamanya mantap, tidak pernah berubah. Perubahan biasanya datang tanpa memperdulikan sesiapa, samada ia baik untuk kita ataupun sebaliknya. Misalnya dalam dua dekat yang lalu, kita di negara ini juga telah tidak dapat lari dari turut merasakan bahang perubahan sosio-politik dan ekonomi serantau mahupun antarabangsa. Kita juga ikut mengalami kebimbangan apabila meletusnya krisis ekonomi dan kewangan di rantau ini beberapa tahun sebelum berakhirnya abad yang lalu.

Dari krisis tersebut, kita dapat menyaksikan keadaan sosio-politik yang tidak stabil dibeberapa buah negara, yang telah membangkitkan suasana tidak selamat atau tidak aman dikalangan mereka.

Semua ini, menjadi peringatan dan pelajaran yang berguna kepada kita, khasnya kepada para professional muda, agar melihat semua permasalahan itu dengan mata dan fikiran celik serta kewaspadaan yang tinggi.

Kita juga tidak boleh leka dari mengikuti perkembangan dunia yang begitu cepat, dengan kelajuan sains, teknologi dan komunikasi. Kemajuan ini secara drastic telah merubah sebahagian cara hidup dan juga beberapa tatacara, termasuk tatacara bekerja dan bertindak. Segala-galanya ini memberi kesan kepada kehidupan kita dalam keluarga dan juga kehidupan bernegara secara keseluruhan.

Oleh kerana kita tidak dapat menghindarkan diri daripadanya, maka mahu tidak mahu memerlukan kita mesti mempunyai persediaan, agar kita tidaklah hanyut begitu saja dibawa oleh arus perubahan globalisasi itu. Kita mesti punya pegangan untuk dipegang serta ada dasar untuk memandu kita mengikut hala-tuju.

Hala-tuju itu mungkin saja tidak sama dengan hala-tuju orang lain, kerana perbezaan-perbezaan ENVIRONMENT sosio-politik. Ini juga sangat mustahak diambil kira, bukan atas asas ‘citarasa’, tetapi prinsip yang sesuai yang selama ini menolong kita untuk mencapai kemakmuran dan keselamatan.

Dalam hubungan ini, ajaran Ugama Islam telah dikenalpasti menjadi ‘SULUH KERAMAT’ yang menyampaikan kita kepada cita-cita besar: Kehidupan sejahtera, adil lagi makmur serta aman damai.

Ugama ini telah menanam kepada bangsa kita segala nilai-nilai murni yang kita gunakan untuk mewujudkan masyarakat bersatu padu, yang ta’at kepada ketua, pemadulian, hormat menghormati serta pengasihan terhadap sesiapa yang patut dikasihani.

Ia telah menjadi ciri masyarakat kita, yang menjadikannya masyarakat tidak camah mata terhadap nasib orang lain yang memerlukan bantuan. Insya Allah, kita akan pertahankan ciri yang diredhai oleh Allah ini, dengan menghulurkan apa-apa yang patut kepada mereka yang layak dibantu, seperti mangsa-mangsa kejadian alam, anak-anak yatim dan lain-lain.

Selain untuk didalam, maka keperhatinan kita juga turut mengimbau keluar terhadap nasib malang orang-orang Islam di luar negara, seperti di Kampuchea, ‘Iraq dan Palestin. Kita yakin, dengan derma-derma ikhlas ini, Allah Ta’ala akan mengantinya dengan kemakmuran yang berpanjangan lagi berlipatganda bagi negara kita, insya Allah.

Beta berharap, para professional muda akan dapat menyeluk hasrat ini, untuk bagaimana sama-sama dapat memberikan perkhidmatan sukarela dalam bentuk-bentuk yang sesuai dengan kepakaran masing-masing, tidak mestilah dalam bentuk matabenda, tetapi mungkin nasihat atau tunjuk-ajar bagi meningkatkan kemahiran atau menambah pendapatan masyarakat yang berhajat.

Dalam hal ini, Beta gembira, bahawa salah satu dari pendekatan untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk, maka Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah mengambil langkah menerusi perlaksanaan rancangan-rancangan dan projek-projeknya dengan membentuk perkongsian yang berkesan (effective partnership) dengan agensi kerajaan dan bukan kerajaan. Maka kearah ini, pada hemat Beta, para professional muda jika mereka mahu, boleh saja tampil menjadi STRATEGIC PARTNER kepada Yayasan Beta itu.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.