Text Size
Showcase 1
Showcase 2
Showcase 3

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Pada 11 Syawal 1428 Hijrah bersamaan 23 Oktober 2007 Masihi

Marilah kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana mengizinkan kita berhari raya dalam majlis anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini.

Beta difahamkan, sambutan pada tahun ini turut juga disertai oleh ahli-ahli ilmuan yang terdiri daripada pegawai-pegawai utama dan tenaga-tenaga akademik dari pusat-pusat pengajian tinggi dan latihan kemahiran. Beta amatlah mengalu-alukan penyetaan mereka itu.

Para ilmuan dibidang masing-masing mempunyai peranan berbeza dalam membangunkan Negara. Mereka adalah penaja modal insan.

Orang-orang berilmu lagi beriman mendapat pujian daripada Allah. Mereka boleh mengalahkan ahli ibadat, kerana ahli ibadat beribadat untuk diri mereka sendiri, sedang ahli ilmu menyumbangkan ilmu mereka untuk kesejahteraan bersama.

Beta berharap, sumbangan yang sedemikian itu akan dapat diketarakan menerusi dedikasi dan tugas-tugas jawatan masing-masing. Sementara para pelajar pula, juga hendaklah mengketarakan diri mereka selaku anak bangsa yang terdidik dan berpelajaran. Mereka adalah generasi tauladan.

Para ilmuan termasuk pelajar adalah golongan yang diikut disebabkan kesempurnaan sifat dan pembawaan mereka, bukan menjadi pengikut kepada syakhsiah-syakhsiah yang cacat akhlak, walau siapapun mereka.

Inilah yang patut jadi wawasan kita: Ilmuan dan pelajar bersifat pencorak, pemikir dan pemimpin masa kini dan akan datang.

Beta yakin dengan dedikasi ikhlas dan komitmen tinggi mereka terhadap tanggungjawab kepimpinan seperti ini, akan mengukuhkan lagi kewibawaan dan kredibiliti mereka dikalangan masyarakat.

Para ilmuan dan pelajar mestilah jadi mentor (pembimbing), guru dan pakar pemikir. Mereka adalah sumber budaya intelektual. Mereka patut disokong dan didokong untuk melahirkan budaya yang sihat ini.

Semua kita dan pihak-pihak pentadbir serta pengurus hal ehwal pendidikan, patutlah memberikan sokongan kepada mereka, bukan saja sekadar sokongan moral, malahan juga mungkin sokongan kewangan untuk kecemerlangan.

Sebagai contoh ahli-ahli akademik itu sudah sedia dimaklumi mempunyai kepakaran untuk melakukan penyelidikan-penyeledikan yang berauthoriti. Menerusi kepakaran masing-masing mereka mampu untuk mencari huraian-huraian praktikal menggenai isu-isu semasa yang kita hadapi, sama ada ia isu sosial - kemasyarakatan atau lain-lain, seperti isu-isu khusus mengenai ekonomi, kewangan, perubatan dan seumpamanya.

Apakah dalam keperluan-keperluan seperti ini mereka tidak patut dibantu dan didokong?

Rata-rata masyarakat dunia hari ini berhadapan dengan dilema kemiskinan. Mengapakah kepakaran tidak dimanfa'atkan untuk mengkaji punca-punca kemiskinan serta bagaimana langkah mengatasinya?

Demikian juga dalam bidang ekonomi, apakah tidak patut kepakaran digunakan untuk memandu, menasihat dan mencetuskan idea-idea baru yang lebih inovatif dan progresif supaya perkembangan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lebih menyerah lagi, sehingga mampu menjadi pemangkin kepada kepelbagaian sumber ekonomi negara?

Dan begitu juga dibidang kewangan, mengapakah kepakaran tidak terlibat untuk menyelidik isu-isu utama mengembangkan sector kewangan dan insuran Islam, dan lain-lain seumpamanya?

Demikian beberapa contoh yang dapat Beta sebut. Beta berharap ia akan jadi bahan renungan untuk dikongsi bersama-sama.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu 'Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Ibu Pejabat

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Jalan Perdana Menteri 
Bandar Seri Begawan BA 1511
Negara Brunei Darussalam

Tel: 2234085 / 2234087 / 2234530 / 2234531
Fax: 2234082 / 2234086