Text Size
Showcase 1
Showcase 2
Showcase 3

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah,Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Pada 22hb Syawal 1427 Hijrah Bersamaan 14hb November 2006 Masihi

Dalam Kemeriahan merayakan Hari Raya, kita tidak boleh lupa untuk memperolehi seberapa banyak kebaikan. Kebaikan yang dimaksudkan itu ialah perkara-perkara di dalam telah menta'ati Allah Subhanahu Wata'ala.

Sesuai dengan semangat ini, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah memilih murid-murid dan penuntut-penuntut serta guru-guru mereka sebagai peserta kali ini.

Beta dengan sukacita mengalu-alukan mereka itu.

Murid dan penuntut adalah anak didik guru-guru. Guru-guru pula adalah tenaga manusia dalam perkhidmatan pendidikan untuk melahirkan generasi bangsa.

Kedua-duanya adalah penaja kemajuan dimasa depan.

Kita tidak dapat meramalkan bentuk masa depan itu. Namun kita perlulah bergerak untuk kemajuannya.

Sebagai misalan, berpuluh-puluh tahun dahulu, sebahagian orang tua-tua kita tidaklah tergambar yang kita ini boleh mencapai taraf hidup yang tinggi yang kita nikmati pada masa ini. Mereka mungkin tidak menduga bahawa negara dan bangsa kita boleh berkembang maju. Namun begitu, mereka adalah turut berusaha untuk memperolehi apa mungkin boleh dicapai.

Usaha mereka yang paling besar dan bermakna ialah memberikan pelajaran kepada kita. Lalu kita pun menjadi terpelajar, sekalipun peringkat pengajian yang dicapai tidaklah sama.

Dengan berkat pelajaran itu, bangsa kita pun dapat menikmati kemajuan, sebagaimana yang sedang kita nikmati sekarang.

Kunci rahsia ialah usaha dan azam. Sebagai contoh, negara kita tidaklah akan melahirkan doctor-doktor dari kalangan Brunei sendiri, sekiranya kita tidak merancang dan menyediakan skimnya.

Begitu juga dengan kerjaya professional yang lain-lain.

Semuanya itu adalah bermula dengan memberikan pelajaran. Kemudian disusuli oleh perancangan-perancangan tertentu dengan memberikan peluang kepada sebahagian mereka bagi melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Banyak bidang kerjaya dan jawatan professional telah juga disandang oleh rakyat negara ini. Kita sangat bersyukur serta berbangga dengan anak-anak kita itu kerana hasil menyandang jawatan-jawatan berteknologi tinggi termasuk di bidang industri minyak dan gas.

Dengan contoh-contoh ini, kita sepatutnya lebih yakin dan optimistic untuk terus merancang masa depan bangsa menerusi murid-murid dan penuntut-penuntut kita.

Dunia dan manusia akan terus menyaksikan kemajuan ilmu pengetahuan. Adapun kecemerlangan sesuatu bangsa itu akan lebih ditentukan oleh sejauh mana mereka dapat mengusai ilmu dan kemahiran.

Disamping itu, bangsa yang maju juga adalah bangsa yang dapat mengekalkan jati dirinya. Bangsa-bangsa lain akan mengenalinya menerui sifat dan watak jati diri itu. Bangsa yang berjati diri pasti akan dihargai dan dihormati oleh semua orang.

Oleh itu, kita sebagai bangsa yang memang sedia mempunyai jati diri, hendaklah tidak mengabaikan aspek-aspek jati diri kita.

Kita hendaklah bersikap memelihara, sambil memperelok jati diri kita yang ada, bukan dengan sewenang-wenang mengubahnya, dengan alasan untuk menyesuaikannya dengan zaman.

Satu dari jati diri itu telah turut terungkap di dalam Pemasyhuran Kemerdekaan Negara, berbunyi: "Melayu Islam Beraja".

Jati diri bukan sahaja setakat untuk diketahui, malahan juga mesti diketarakan. Ia perlu sentiasa nampak, dipakai dan dihayati, barulah faedahnya dapat dirasai.

Ia tidak boleh dicampur-aduk, lebih-lebih lagi dengan perkara sia-sia yang bercanggah dengan pegangan serta adapt resam kita.

Mencampur-aduk itu, adalah satu kerja yang mudah. Ia boleh terjadi melalui pelbagai cara dan saluran, seperti menerusi saluran-saluran hiburan di dalam upacara-upacara perayaan dan seumpamanya. Kadang-kadang kita sampai hilang punca sehingga melupakan jati diri sendiri, seperti tidak menghiraukan lagi batasan-batasan ugama serta membuat perkara-perkara yang boleh dilihat sebagai melimpasi adab-sopan beraja dan berbangsa, padahal jati diri orang Brunei adalah penuh dengan "awar galat", serta perbuatan "suruk langkah" juga menjadi ukuran penting didalam pergaulan.

Inilah mustahaknya kita mesti betul-betul berpijak di bumi Brunei sendiri. Dan untuk itu kita sangat memerlukan pendidik dan pemimpin yang berjati diri.

Guru-guru dan lain-lain pihak berkenaan hendaklah mengambil berat perkara ini, supaya anak-anak kita, pemuda-pemudi kita dan generasi seluruhnya akan terselamat dari sebarang pencemaran budaya.

Dan sesuai dengan tema perhimpunan untuk memperolehi kebaikan, maka Beta berharap supaya semua pihak akan sama-sama bergerak menghalangi unsur-unsur yang tidak serasi dengan jati diri bangsa, dari masuk menyusup menerusi acara-acara sambutan dan perayaan.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalaamu 'Alaikum
Warahmatullaahi Wabarakatuh.

Ibu Pejabat

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Jalan Perdana Menteri 
Bandar Seri Begawan BA 1511
Negara Brunei Darussalam

Tel: 2234085 / 2234087 / 2234530 / 2234531
Fax: 2234082 / 2234086