Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Pada 21 Syawal 1425 Hijrah bersamaan 4 Disember 2004 Masihi
Assalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillaahi Rabbil 'Aalamien, Wabihi Nasta'inu 'Alaa Umuuriddunya Waddien Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursalin, Sayyidinaa Muhammadin, Wa'alaa Aalihi Wasahbihi Ajma'ien, Waba'du.
Mula-mula Beta ingin merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur diatas kejayaannya untuk kali kedua menganjurkan majlis yang seumpama ini. Ia adalah sangat bermakna untuk melakar semangat, sesuai dengan 'Hari Besar','Idilfitri' yang mulia.
Pada kali ini, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menampilkan pula para Achievers dari seluruh negara sebagai pesertanya. Usaha ini sungguh baik untuk mencetuskan ilham dan idea, bagaimana 'orang-orang lama' patut dicontohi, atau setidak-tidaknya dihargai. Mereka adalah wira suatu zaman yang tidak boleh diabaikan. Mereka itu berjaya adalah hasil daripada keazaman dan cita-cita yang tinggi.
Terhadap generasi baru dan masa kini, mereka adalah pelapor atau pengasas. Kerana itu jika mereka berjaya, maka kejayaan itu adalah kejayaan bersama. Mereka sama sekali tidak dilupakan. Mereka telah mengharumkan nama Negara. Mereka telahpun awal menyingsing lengan sebelum kita, dimana hasilnya sama-sama dikecapi. Inilah namanya jasa, dan orang berjasa adalah mulia.
Negara Brunei Darussalam turut membuktikan, bahawa ia juga mampu melahirkan para tokoh, karyawan, professional dan jaguh dalam berbagai bidang. Kemampuan ini mestilah berkekalan jika kita menginginkan masa depan negara yang terus gemilang. Tidak ada batas waktu untuk maju. Semuanya adalah terbuka dan bersedia untuk dilalui. Hanya kita sahaja, sama ada ingin merebut ataupun tidak peluang-peluang pembangunan yang ada.
Selaku generasi penerus, kita mestilah lebih berupaya dan lebih gigih, kerana era kita adalah merupakan era yang lebih mencabar daripada sebelumnya. Kalau sebelum ini kita menghadapi kontroversi pandangan dunia terhadap negara ini, dimana sekarang ianya kian memihak kepada kebenaran, tetapi dalam masa yang sama kewajipan belumlah habis lagi sehingga negara mencapai semaksima matlamatnya.
Apakah matlamat negara itu? Yang penting ialah menukarkan sepenuhnya persepsi dan tanggapan negatif orang lain terhadap kita, disamping menjelmakan nilai-nilai kemakmuran dan kesejahteraan yang diredhai oleh Allah. Kita gunakan ungkapan 'diredhai oleh Allah' ini, kerana kemakmuran dan kesejahteraan itu boleh sahaja diperolehi dengan berbagai cara, termasuk dengan cara membelakangi nilai-nilai ugama.
Adapun kemakmuran dan kesejahteraan yang menyalahi nilai-nilai ugama itu, tidak akan dapat bertahan lama, kerana ia sebenarnya kosong daripada berkat, dan apapun jua yang ketandusan berkat tidak akan dapat menghasilkan kebahagian sejati. Oleh kerana itu, dikesempatan ini, Beta berharap supaya para Achievers akan dapat bersama-sama dengan kita semua menggembeling tenaga dan usaha bagi menjelmakan sebuah Negara Brunei yang benar-benar makmur lagi sejahtera dibawah redha Allah, yang dalam bahasa Qurannya disebut sebagai 'Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafuur'.
Inilah fokus yang terafdhal. Jika ini mampu kita capai, maka kitalah bangsa yang paling mulia didunia, bangsa yang paling diberkati, kerana kita berjaya menepati aspirasi al-Quran dalam bernegara. Kita mohon kepada Allah, supaya kita tidak mengacau orang, dan orang pula tidak kacau kita. Sama-sama kita akan membuat kebajikkan, sama-sama kita mahukan damai dan sama-sama kita kepingin bahagia. Carilah ia didalam diri dan didalam tanahair masing-masing.
Inilah hak semua orang. Allah telahpun menentukannya bagi masing-masing.
Jika semua hak-hak ini dihormati, maka dunia akan selamat dan seluruh penghuninya akan berbahagia, sekalipun tingkat kebahagiaan itu berbeza-beza. Dan inilah yang sebenar-benarnya ajaran ugama kita. Ia menyuruh supaya menghormati semua orang. Jangan ganggu semua hak orang: Dari hak peribadi, hak bermasyarakat, sampai hak bernegara. Jadi hak begitu, dimanakah cacatnya Islam itu? Jika orang ikhlas, tidak akan, walau sekerat, yang tidak 'respect' kepada Islam.
Mengambil sukut majis yang istimewa ini, Beta ingin berseru supaya seluruh rakyat, apapun peringkat mereka, mengikhlaskan diri dalam usaha membangunkan Negara.
Tidaklah memadai – walaupun dengan kerja keras – tanpa niat yang ikhlas. Kerana Allah itu menilai seseorang melalui niatnya.
Insya-Allah, jika kita ikhlas, Negara pasti akan memperolehi menfa'atnya.
Buat mengakhiri, Beta berharap para Achievers tidak akan ketinggalan untuk sama-sama menyumbang kepada Yayasan Beta dalam usahanya mengendalikan projek-projeknya di masa hadapan. Beta yakin, dengan adanya sumbangan berupa tenaga dan pemikiran daripada para Achievers itu, Yayasan akan lebih bertenaga lagi untuk meneruskan peranannya.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.