Text Size
Showcase 1
Showcase 2
Showcase 3
Showcase 4
Showcase 5

Syarahan oleh:

Pg Setia Negara Pg (Dr) Hj Mohd Yusof Pg Hj Abdul Rahim

SOAS Memorial Lecture 2010
Chancellor Hall, University Brunei Darussalam
Brunei
7hb Oktober 2010

Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Mulia Paduka Seri Begawan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien yang juga dikenali sebagai Pengiran Muda Tengah pada zaman remajanya telah diputerakan pada 23 September 1914. Setelah baginda menaiki tahta pada tahun 1950, Baginda dikenali sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien. Baginda sejak kecil lagi telah dididik dan diasuh dengan pendidikan agama Islam. Baginda adalah seorang pelajar yang rajin dan tekun terutama dalam mempelajari bacaan Al-Quran. Atas nasihat Pengarah Pelajaran Negeri pada ketika itu, maka pada tahun 1932, Baginda telah berangkat ke luar negeri untuk melanjutkan pelajaran di Maktab Melayu Kuala Kangsar Perak (Malay College Kuala Kangsar). Kebawah Duli Yang Maha Mulia boleh dikatakan beruntung kerana telah diterima untuk belajar ke maktab ini. Baginda telah menuntut sehingga tahun 1936. Maktab Melayu Kuala Kangsar Perak sebenarnya bukanlah maktab biasa tetapi sebuah maktab yang ditubuhkan khusus bagi anak-anak kerabat diraja, pembesar-pembesar dan orang-orang kenamaan negeri-negeri di Semenjung Tanah Melayu atau Malaya belajar dan meninggikan ilmu pengetahuan mereka.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien adalah anak kesayangan bonda Baginda. Oleh itulah ketika menuntut Maktab Melayu Kuala Kangsar Baginda ditemani oleh dua orang anak Kerabat Diraja iaitu Yang Teramat Mulia Pengiran Pemanca Pengiran Mohammad Alam ibni Pengiran Bendahara Pengiran Abdul Rahman dan Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar ibni Pengiran Pemancha Pengiran Anak Mohd Yassin.

Setelah berjaya menamatkan pengajian di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat balik ke Brunei dan ditugaskan untuk memegang jawatan dalam sektor kerajaan. Baginda pada mulanya telah diaturkan berkhidmat sebagai Pegawai Kadet di Jabatan Hutan Kuala Belait. Dengan jawatan ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia memperolehi banyak pengalaman yang berharga terutama sekali dapat bergaul dengan ramai pegawai-pegawai Jabatan Hutan atau 'forest'. Baginda juga banyak bergaul dengan rakyat biasa. Ini membolehkan baginda untuk mengalami, merasai dan melihat sendiri bagaimana keadaan kehidupan rakyat pada masa itu. Ketika bertugas di Kuala Belait, Kebawah Duli Yang Maha Mulia pernah dijunjung menghadiri majlis "bersimbah" – bersilam dengan air. Ia adalah satu adat yang terdapat dalam masyarakat Belait. Baharu sahaja sampai ke tempat majlis, sedang Baginda melangkah dari lanting untuk naik ke tangga, baginda telah disimbah dengan air. Tetapi dengan tersenyum Baginda menceduk dari lanting air ini lantas membalas siraman tersebut. Ini membayangkan bagaimana mesranya baginda dengan rakyat baginda itu. Selepas bekerja di Kuala Belait barulah baginda dipindahkan untuk bekhidmat Jabatan Daerah Brunei dan Muara. Baginda kemudiannya melangsungkan perkahwinan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Damit ibni Pengiran Bendahara Pengiran Abdul Rahman. Ketika itu terdapat dua wazir sahaja di Brunei iaitu Duli Pengiran Bendahara dan Duli Pengiran Pemanca.

Pada tahun 1941 Brunei jatuh di bawah pemerintahan tentera Jepun. Bagaimanpun penceramah , Yang Amat Mulia Pengiran Setia Negara Pengiran Dr. Haji Mohd Yusof tidak dapat menceritakan pengalaman yang telah dialami oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien ketika itu kerana Yang Amat Mulia melanjutkan pelajar di Hiroshima Jepun. Yang Amat Mulia kembali ke Brunei pada tahun 1945 setelah Jepun menyerah kalah kepada tentera Bersekutu. Pada masa itu Brunei pemerintahan tentera British atau British Military Administration (BMA). Brunei hanya dikembalikan kepada sistem pemerintahan awam di bawah pentadbiran seorang Governor General pada tahun 1947. Pada tahun tersebut juga ayahanda mertua kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien yang menyandang jawatan Pengiran Bendahara telah mangkat. Dengan itu Baginda telah dilantik menggantikan jawatan tersebut. Dengan lantikan ini dengan sendirinya memberikan peluang kepada Baginda untuk menimba pengalaman lebih luas sebagai pembesar dan pentadbir negara sebelum menjadi Sultan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien telah ditabalkan menjadi Sultan Brunei Ke-28 apabila Seri Paduka Kekanda Baginda Sultan Ahmad Tajuddin lindung dalam perjalanan ke Singapura pada 4 Oktober 1950. Jenazah Baginda telah dipelihara oleh Sultan Johor dan kemudiannya diterbangkan ke Brunei. Sebelum dimakamkan, pengganti Baginda telah diputuskan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Omar 'Ali Saifuddien telah diangkat menjadi Sultan Brunei yang baru pada 6 Jun 1950, ketika usia Baginda 36 tahun.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Haji Sultan Omar 'Ali Saifuddien menaiki tahta dengan berbekalkan pengalaman yang luas dari pergaulan Baginda dengan putera-putera raja dan anak datuk-datuk Malaya. Setelah tiga tahun di atas takhta, Baginda bercita-cita untuk mengadakan perlembagaan baru bagi Negara Brunei Darussalam. Baginda menyedari Brunei pada masa itu tidak mempunyai perlembagaan bertulis dan segala kuasa pemerintahan telah dijalankan Residen British. Brunei ketika itu hanya menerima segala nasihat Residen British. Untuk merealisasikan cita-cita Baginda bagi mewujudkan perlembagaan sendiri Brunei, Dengan yang demikian Baginda telah menitahkan supaya dilantik satu Jawatankuasa Penasihat Perlembagaan Brunei. Tujuh orang telah dipilih dan dilantik oleh Residen British pada 15 Mei 1953. Mereka ini juga dikenali sebagai "Tujuh Serangkai" yang terdiri dari :

• Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar bin Pengiran Pemancha Pengiran Anak Mohd Yasin(Pengerusi);
• Yang Amat Mulia Pengiran Shahbandar Sahibul Bandar Pengiran Haji Mohd Salleh bin Pengiran Anak Haji Muhammad;
• Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Di-Gadong Seri Lela Haji Awang Mohd Yusof bin Pehin Jawatan Dalam Haji Awang Mohd Husain;
• Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Shahbandar Haji Awang Ahmad bin Haji Awang Daud;
• Yang Mulia Dato Panglima Awang Abu Bakar bin Awang Jambol;
• Yang Berhormat Pengiran Mohd Ali bin Pengiran Mohd Daud;
• Yang Berhormat Pengiran Mohd Yusof bin Pengiran Haji Abdul Rahim.

Tujuh Serangkai inilah memainkan peranan sebagai penasihat dalam proses mengwujudkan Perlembagaan Negeri Brunei. Selain jawatan kuasa ini ada lagi satu badan yang dilantik mengandungi enam orang ahli.

Tujuh Serangkai telah dititahkan untuk melawat seluruh pelusuk Negeri Brunei dengan tujuan mendapatkan pandangan rakyat jelata di samping menerangkan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien untuk membentuk perlembagaan baru Negeri Brunei. Hasil daripada lawatan ini didapati semua orang menyokong sepenuhnya hasrat tersebut. Tua muda bersetuju dan mereka berpendapat Brunei sudah sepatutnya mempunyai perlembagaan sendiri. Mereka juga mengetahui bahawa pilihan raya untuk memilih pemimpin sudah pun dilakukan di luar negeri. Orang-orang Brunei masa itu telah mempunyai semangat kebangsaan, perasaan kasih dan cintakan negara, terutama sekali di kalangan guru-guru lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim atau Sultan Idris Training College (SITC).

Kemudian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien telah menitahkan Tujuh Serangkai untuk berangkat melawat Malaya untuk mendengar pandangan penduduk di sana tentang hasrat Brunei untuk mengadakan perlembagaan. Pada ketika itu Malaya dalam perintah darurat kerana ancaman Kominis. Yang Amat Mulia Pengiran Setia Negara adalah yang paling muda dalam rombongan tersebut. Rombongan telah sempat berjumpa dan berbincang dengan beberapa orang pembesar dan orang kenamaan Malaya mengenai perlembagaan Brunei yang sedang dirancang ini. Apabila rombongan tiba di Malaya salah satu negeri yang dikunjungi ialah Negeri Sembilan. Penasihat British selaku pentadbir negeri ini telah mengaturkan lawatan ke Sungai Buluh yang merupakan salah sebuah kubu kuat Parti Kominis Malaya. Kunjungan yang dibuat berjalan lancar tanpa menghadapi sebarang masalah. Namun seminggu selepas itu rombongan mendengar khabar bahawa tujuh orang polis yang melalui jalan yang pernah dilalui oleh rombongan Tujuh Serangkai telah terkorban diserang oleh gerila Kominis.

Sekembali ke Brunei segala pengalaman dan lawatan di Malaya telah disembahkan Ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Haji Sultan Omar 'Ali Saifuddien. Setelah itu Tujuh Serangkai telah dititahkan untuk membuat laporan dan sokongan bertulis kepada baginda. Tujuh Serangkai sepakat untuk menyembahkan laporan yang mengandungi bukan sahaja sokongan tetapi juga mencadangkan perkara-perkara yang boleh dilakukan dan yang tidak boleh dilakukan oleh pemerintah. Yang Amat Mulia Pengiran Setia Negara telah dipilih untuk merangka dan menulis laporan dan sokongan yang akan disembahkan ini. Yang Amat Mulia mengambil masa sebulan lebih untuk menyiapkannya. Setelah siap laporan dan sokongan ini mengandungi 50 muka surat dan telah ditandatangani oleh ahli-ahli Tujuh Serangkai. Ia telah disembahkan ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Haji Sultan Omar 'Ali Saifuddien. Semasa disembahkan Baginda telah mengemukakan soalan satu persatu secara tuntas mengenai perkara-perkara yang terkandung dalam laporan dan sokongan tersebut. Namun laporan dan sokongan ini tidak boleh digunakan sebagai perlembagaan yang sebenar kerana ianya ditulis dalam bentuk yang biasa sahaja. Oleh itu Baginda telah melantik seorang peguam dari Malaya iaitu Dato Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab untuk mengubal Perlembagaan Negeri Brunei yang baru dengan dibantu oleh Dato Neil Lawson (lawyer).

Setelah Perlembagaan tersebut selesai digubal oleh Dato Panglima Bukit Gantang, ianya dibawa untuk dirundingkan dengan Kerajaan British. Yang Mulia Dato Perdana Menteri Awang Ibrahim bin Jaafar, Yang Teramat Mulia Pengiran Pemancha Mohammad Alam ibni Pengiran Bendahara Pengiran Abdul Rahman, Yang Mulia Dato Marsal bin Maun (Menteri Besar), Yang Dimuliakan Pehin Jawatan Dalam Haji Mohd Noh, Yang Amat Mulia Pengiran Paduka Tuan Pengiran Abu Bakar dan Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Laksamana Haji Taha adalah antara ahli rombongan yang menyertai untuk merunding Perlembagaan Negeri Brunei di London. Hal yang paling sulit sekali dalam rundingan ini ialah untuk membatalkan jawatan Residen British di Brunei, tetapi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien memang berazam dan bertekad untuk mewujudkan jawatan Menteri Besar bagi menggantikan jawatan Residen British. Setelah beberapa kali berulang-alik ke London barulah selesai dan jawatan Menteri Besar dipersetujui untuk dibentuk dan jawatan Residen British digantikan dengan jawatan Pesuruhjaya Tinggi British yang hanya menguasai hal-ehwal luar Brunei sahaja. Colonial Secretary atau Setiausaha Tanah Jajahan di London, melalui Mr Anthony Abel dan Mr Gilbert, telah mengesahkan bahawa Kerajaan British telah bersetuju supaya seorang Menteri Besar dilantik untuk melaksanakan mentadbir Kerajaan Brunei. Dalam proses penggubalan Perlembagaan Negeri Brunei 1959, tidak ada orang lain yang menyembahkan menasihat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Haji Sultan Omar 'Ali Saifuddien selain daripada Tujuh Serangkai dan enam orang ahli jawatankuasa tadi.

Ibu Pejabat

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Jalan Kumbang Pasang
Bandar Seri Begawan BA 1511
Negara Brunei Darussalam

Tel: 2234085 / 2234087 / 2234530 / 2234531
Fax: 2234082 / 2234086