Text Size
Showcase 1
Showcase 2
Showcase 3

Sabda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Di Majlis Pelancaran Pengagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Bersempena Bulan Ramadhan 1429H / 2008M pada Hari Rabu, 11 Syaaban 1429 / 13hb Ogos 2008 Bertempat di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) Berakas.

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wata'ala, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, kaum kerabat dan sahabat-sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi setia serta jujur hingga ke akhir zaman.

Saya amat bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpah kurnia-Nya jua dapat mengizinkan kita berhimpun beramai-ramai di Majlis Pelancaran Pangagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi Paduka Ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadhan 1429 Hijrah ini.

Sepanjang ingatan saya, pengurniaan buah kurma daripada paduka ayahanda sempena bulan Ramadhan ini adalah merupakan kali yang ke-17. Buah kurma ini dihasratkan sebagai juadah berbuka puasa bagi setiap umat Islam di Negara Brunei Darussalam tanpa mengira status rakyat, jenis bangsa dan peringkat umur.

Saya berasa gembira dan bangga di atas iltizam, semangat tinggi dan usaha berterusan daripada pihak-pihak yang terlibat dalam sama-sama mengungkayahkan pembahagian buah kurma ke seluruh negara ini.

Insya-Allah, bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini, iaitu bulan Ramadhan yang dinanti-nantikan oleh setiap umat Islam yang beriman, akan tiba tidak berapa lama lagi.

Dalam bulan Ramadhan, umat Islam di samping menunaikan ibadat puasa juga berusaha merebut peluang keemasan pada meningkatkan amal ibadat dan taqwa diri serta menambahkan rasa syukur atas nikmat yang begitu melimpah-ruah yang telah dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Terdapat banyak nas Al-Qur'an yang menjelaskan mengenai konsep bersyukur atau sentiasa mensyukuri akan nikmat-nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala ini. Misalnya dalam Surah Ibrahim, sebahagian ayat 7 yang kira-kira tafsirannya:
"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih."

Sebagai mukmin sejati, kita hendaklah sentiasa bersyukur terhadap apa jua bentuk nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Namun kesyukuran itu juga akan lebih bermakna jika nikmat yang diperolehi itu digunakan atau dimanfaatkan ke arah jalan yang diredai oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan bukannya untuk perkara-perkara yang mungkar.

Dalam bulan Ramadan yang mulia, rasa syukur ini juga perlu diseimbangkan dengan sikap kesederhanaan, iaitu mengamalkan sikap sederhana dalam perbelanjaan dan mengelakkan perkara-perkara pembaziran.

Dalam hal ini, kita perlu mengambil iktibar bagaimana Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah mengajar umatnya bersederhana dalam aspek menggunakan makanan seperti mana sabda Baginda:

"Tidak ada bejana yang lebih buruk yang diisi oleh manusia daripada perut sendiri. Cukuplah seorang itu memakan beberapa suap makanan yang dapat menegakkan tulang belakangnya. Kalau terpaksa, maka ia boleh mengisi sepertiga perutnya dengan makanan, sepertiga lagi dengan minuman dan sepertiga bakinya untuk nafas."

Ini memberi ruang pengajaran kepada kita agar bersederhana dalam aspek makanan dan menghindarkan diri daripada makan secara berlebih-lebihan tanpa mengawal hawa nafsu.

Oleh itu, sama-samalah kita mengawal nafsu kerana ianya merupakan dugaan yang hebat daripada Allah Subhanahu Wata'ala bagi menguji keimanan dan ketaqwaan kita.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan agensi-agensi kerajaan serta semua yang terlibat dalam menguruskan dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab bagi kerja-kerja yang berkebajikan ini dengan penuh amanah dan dedikasi.

Semangat kerjasama dan permuafakatan yang telah diamalkan sebelumnya perlulah diteruskan dan dipertingkatkan lagi dengan sebaik-baiknya, agar apa yang dihasratkan oleh paduka ayahanda itu akan menepati sasaran dan tujuan.

Dalam hal ini, pihak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Jabatan-jabatan Daerah hendaklah sentiasa memastikan bahawa semua pihak yang diamanahkan dalam pengagihan buah-buah kurma ini, termasuk Penghulu-penghulu, Ketua-ketua Kampung dan orang-orang tertentu, memahami peranan masing-masing supaya buah kurma kurnia peribadi Paduka Ayahanda ini akan dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat yang beragama Islam di negara ini.

Mudah-mudahan usaha dan kerjasama murni yang disumbangkan oleh semua pihak akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah Subhanahu Wata'ala jua.

Sebagai balasan yang tulus ikhlas dan sekali gus untuk menghargai kurnia Paduka Ayahanda ini, marilah kita sama-sama berdo'a ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, semoga paduka ayahanda sentiasa sihat walafiat dan selalu dalam perlindungan serta pemeliharaan Allah Subhanahu Wata'ala dan mendapat kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat, amin.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ibu Pejabat

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Jalan Perdana Menteri 
Bandar Seri Begawan BA 1511
Negara Brunei Darussalam

Tel: 2234085 / 2234087 / 2234530 / 2234531
Fax: 2234082 / 2234086