Text Size
Showcase 1
Showcase 2
Showcase 3

Sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan Di Jabatan Perdana Menteri pada hari Rabu, 29 Safar 1430 bersamaan 25 Februari 2009 bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Bismillah Hir Rahman Nir Rahim
Assalamu 'Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh

Saya amat berbahagia dan berbangga dapat menyertai para hadirin sekalian pada hari ini bagi Syarahan Memorial Sultan Omar 'Ali Saifuddien yang pertama.

Saya mengucapkan tahniah kepada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam, yang menganjurkan syarahan memorial ini bagi memperingati Paduka Nenda Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, siapa sesungguhnya adalah seorang negarawan yang layak diteladani.

Saya percaya syarahan seumpamanya ini adalah yang julung kalinya dianjurkan di Brunei Darussalam, dan di dalam beberapa tahun yang akan datang, adalah diharapkan lebih banyak syarahan-syarahan akan dianjurkan dengan penglibatan pensyarah-pensyarah terkenal tempatan dan antarabangsa, dengan matlamat utama bagi kelestarian budaya belajar sepanjang hayat di Negara Brunei Darussalam.

Al-Marhum Paduka Nenda adalah seorang raja yang mempunyai kesungguhan dan semangat yang tinggi. Baginda memiliki gagasan yang mantap dan jauh kehadapan bagi haluan untuk mencorak negara kita dan membuat persediaan bagi masa hadapan. Al-Marhum Paduka Nenda adalah juga dikenali sebagai seorang pemimpin tersohor yang memiliki kebolehan luar biasa dan pelbagai lingkungan minat. Melalui lingkungan luas dasar-dasarnya, Baginda telah berjaya meletakkan asas-asas bagi negara kita sepertimana yang kita ketahui hari ini, dan untuk itu, Baginda adalah bertepatan sekali dikenali sebagai Akitek Brunei Moden.

Selain seorang penulis yang prolifik, artis yang berjiwa jitu, akitek dan ahli sukan yang gigih, Paduka Nenda adalah seorang pemimpin yang mempunyai kearifan dan kemahiran diplomatik yang hebat. Tidak kurang pentingnya adalah penghayatan dan kepatuhan sepanjang hayat Baginda kepada ajaran-ajaran murni Islam.

Saya mempunyai penghormatan dan cinta yang amat mendalam terhadap Al-Marhum Paduka Nenda dan dedikasi Baginda dalam mempertingkatkan negara kita dan kehidupan seluruh rakyatnya. Dengan itu, saya berpendapat bahawa adalah bertepatan sekali bagi Syarahan Memorial ini diabadikan bersempena Baginda.

Pada zahirnya, adalah dihasratkan bahawa syarahan-syarahan ini akan mengumpulkan para cendiakawan, ahli-ahli akademik, para intelek tersohor dan pensyarah-pensyarah bagi membincangkan buah-buah fikiran yang Al-Marhum Paduka Nenda amat dambakan untuk direalisasikan.

Saya percaya adalah juga penting bagi Syarahan-Syarahan Memorial untuk berkembang bagi meliputi isu-isu aliran utama sejagat dengan tahap interaksi yang tinggi di antara komuniti ahli akademik dan intelek tempatan dengan rakan antarabangsa mereka.

Kita sekarang berada dalam zaman masyarakat bermaklumat, di mana penyebaran pantas maklumat global adalah menjadi sebahagian ciri dari kehidupan yang berkuasa mempengaruhi keputusan-keputusan dalam kewangan, politik dan ekonomi bagi semua negara secara menyeluruh.

Sekarang, secara lebih jelas lagi, adalah mustahak bagi negara kita untuk memajukan perkembangan pengetahuan di kalangan rakyat kita, dengan menanamkan proses belajar sepanjang hayat sebagai asas utama dalam kehidupan kita, dan saya berharap Syarahan-Syarahan Memorial akan memainkan peranan ke arah mencapai matlamat ini.

Komuniti global menghadapi pelbagai cabaran kewangan, ekonomik dan persekitaran yang mendesak. Penduduk Negara Brunei Darussalam dalam masa yang sama telah merasakan akibat dari krisis-krisis global ini walaupun pada skala yang lebih kecil berbanding dengan kebanyakan lainnya.

Pada tahun ini saja, kita telah menyaksikan bagaimana perubahan iklim dan impak dari pertukaran corak cuaca yang telah membawa bersamanya banjir yang meluas dan ganguan kepada banyak bahagian negara kita.

Kita juga telah menyaksikan bagaimana krisis kewangan global dan kemurungan ekonomi telah memberikan impak teruk kepada industri-industri dan ekonomi-ekonomi yang berasaskan ekspot di dalam rantau kita ini.

Bagi mengenangani dengan lebih berkesan cabaran-cabaran ini, kita memerlukan ramai individu-individu yang berpengetahuan dan sebuah masyarakat yang dilengkapi secara sempurna dengan kemahiran-kemahiran dan pengetahuan bagi mengatasi cabaran-cabaran tersebut melalui inovasi dan kolaborasi.

Wawasan yang jauh kehadapan Al-Marhum bagi mengembangmajukan sistem pendidikan nasional kita telah dibuktikan dan selanjutnya lebih dikembangluaskan lagi oleh Paduka Ayahanda. Kedua-dua generasi pemerintah ini telah mengiktiraf bahawa keupayaan manusia dan sumber-sumbernya adalah pemacu utama bagi kesinambungan kemajuan dan telah membuat pelaburan-pelaburan besar dalam memodenisasikan prasarana pendidikan dan perkembangan sumber tenaga manusia.

Cabaran utama yang saya nampak bagi sistem pendidikan kita adalah bagaimana ianya berupaya mengimbangi keselarian dengan keperluan-keperluan semasa dan kehadapan matlamat-matlamat kemajuan sosio-ekonomi kita.

Rakyat kita, khususnya belia-belia kita dan generasi bakal pemimpin masa depan kita, juga menghadapi cabaran yang sama dalam berusaha untuk memenuhi dan mengatasi tuntutan-tuntutan dunia moden yang menghendaki kemahiran dan tekanan-tekanannya. Dalam kita bangkit menghadapi cabaran-cabaran ini, kita juga sepatutnya tidak terlepas pandang akan siapa diri kita sebagai orang-orang Brunei, dengan nilai teras dan budaya kita yang berakar-umbikan kepada falsafah Melayu Islam Beraja.

Sebagai sebuah negara, kita tidaklah berseorangan dalam menghadapi cabaran-cabaran ini dan saya merasakan terdapat banyak yang boleh kita pelajari dari pengalaman-pengalaman negara lainnya dalam rantau kita dan yang lebih jauh. Inilah salah satu bidang di mana Syarahan Memorial ini mempunyai peranan sinergistik untuk dimainkannya sebagai pelantar bagi kemajuan akademik dan intelektual.

Pada majlis yang istimewa ini, saya ingin menyampaikan penghargaan yang mendalam kepada Tuan Yang Terutama Menteri Mentor Dato Laila Utama Lee Kuan Yew, yang bersama kita hari ini, bagi meluangkan masanya, pengalaman-pengalaman dan pemahaman dalaman yang unik mengenai keakraban hubungan di antara Negara Brunei Darussalam dan Singapura.

Tuan Yang Terutama setentunya bukan asing kepada Negara Brunei Darussalam dan melalui kebestarian, diplomasi dan persefahamannya, beliau telah meletakkan asas-asas bagi hubungan yang sangat akrab dan kerjasama yang dinikmati hari ini di antara Negara Brunei Darussalam dan Singapura.

Tuan Yang Terutama adalah seorang yang 'kontemporari' dan sahabat akrab Al-Marhum Paduka Nenda, dan adalah merupakan salah seorang negarawan Asia yang dikagumi. Saya merasa amat berbesar hati bagi beliau untuk berucap pada syarahan kali ini.

Saya percaya Syarahan Memorial Sultan Omar 'Ali Saifuddien akan menjadi pelengkap penting terhadap usaha-usaha kita dalam mengembangluaskan pengejaran ilmu pengetahuan dan penanaman budaya belajar sepanjang hayat di kalangan warga kita.

Saya mendoakan bagi kejayaan syarahan pertama ini dan siri-siri syarahan akan datang. Semoga syarahan ini mencapat matlamat-matlamatnya dan saya mengucapkan kejayaan kepada para peserta dalam syarahan-syarahan dan perbincangan-perbincangan mereka.

Dengan kalimah Bismillah Hir Rahman Nir Rahim, saya dengan ini mengisytiharkan Syarahan Memorial Sultan Omar 'Ali Saifuddien, dibuka dengan rasminya.

Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Ibu Pejabat

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Jalan Perdana Menteri 
Bandar Seri Begawan BA 1511
Negara Brunei Darussalam

Tel: 2234085 / 2234087 / 2234530 / 2234531
Fax: 2234082 / 2234086