Text Size
Showcase 1
Showcase 2
Showcase 3

Sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan Di Jabatan Perdana Menteri pada hari Rabu, 7 Zulkaedah 1429 bersamaan 5 November 2008 bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Assalamu'Alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh
Bismillah Hir Rahman Nir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin-Nya jua kita dapat hadir di Majlis Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada pagi ini.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di atas inisiatif menganjurkan Majlis Anugerah Kesusteraan Islam sebagai manifestasi dan penghayatan terhadap tamadun Islam.

Kesusasteraan Islam adalah merupakan karya sastera yang menegakkan hubungan yang wujud di antara manusia, alam dan yang Maha Pencipta. Sebab itulah, karya sastera dan seni berunsurkan Islam bukan sahaja indah pada pendengaran dan penglihatan, malah kehalusan keseniannya berupaya menambat hati nurani serta membawa sinar hidayah.

Kebelakangan ini berlaku percanggahan antara Islam dan bukan Islam bilamana Islam telah dikaitkan dengan elemen-elemen yang kurang sihat. Terdapat penulisan oleh karyawan barat yang mengatakan keadan ini berpunca dari 'clashes of civilization' atau "percanggahan tamadun". Kebenaran analisa ini belum dapat dipastikan, akan tetapi apa yang berlaku ialah percanggahan ini telah menimbulkan ketegangan terutama apabila golongan bukan Islam yang menghasilkan penulisan mereka mengenai Islam kurang memahami Islam yang sebenar.

Justeru itu, usaha dan inisiatif Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah untuk melestarikan tamadun Islam melalui galakan penulisan karya sastera Islam adalah bertepatan sekali. Kita mengharapkan penulisan karya sastera Islam di negara ini akan membantu menyebarkan dan menerapkan nilai-nilai murni budaya masyarakat yang berpegang teguh kepada agama Islam dan konsep Melayu Islam Beraja.

Dari segi sejarah, Negara Brunei Darussalam mempunyai sejarah kesusteraannya yang tersendiri. Penulisan karya sastera moden di negara ini telah bertapak pada tahun 1845 dengan lahirnya Syair Rakis, karangan Pengiran Shahbandar Mohd Salleh yang membawa pemikiran baru dan kritis.

Penulisan karya berunsurkan Islam pula telah bertapak pada awal abad ke sembilan belas. Kita amat berbangga dengan hasil penulisan Paduka Nenda Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, dengan nama pena "Muda Omar 'Ali Saifuddien", yang telah bergiat aktif melahirkan karya-karya berbentuk syair.

Baginda bukan sahaja dapat merakamkan sejarah sosio-ekonomi dan politik semasa, tetapi mencetuskan pemikiran yang tajam dan nasihat-nasihat yang bermanfaat untuk bangsa. Luahan pemikiran dan nasihat-nasihat tersebut masih lagi segar dan relevan sehingga kini.

Tentu sahaja hasil karya kesusasteraan yang awal ini telah mengilhamkan dan mendorong penulis-penulis pada masa ini untuk terus aktif bergiat menulis dan menghasilkan karya masing-masing. Ini telah terbukti dengan adanya penulis-penulis tempatan kita yang telah pun mendapat pengiktirafan serantau umpamanya menerusi Anugerah Penulis Asia Tenggara atau South East Asian Writers Awards di Thailand, dan Hadiah Sastera MASTERA, Malaysia.

Di kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada para penulis tempatan, khasnya karyawan kesusasteraan Islam kerana telah dapat meneruskan khazanah warisan ini dan pada masa yang sama berusaha dengan gigih untuk mengangkat martabat kesusasteraan Islam di negara ini ke tahap yang sebanding dengan negara jiran serantau.

Dalam hubungan yang sama, penglibatan karyawan muslimah tanah air amatlah dialu-alukan ke arah mencapai hasrat yang murni tersebut.

Sayan percaya Anugerah Kesusasteraan Islam ini akan dapat menjadi pendorong dan perangsang ke arah usaha memartabatkan kedudukan kesusasteraan serta kesinambungan perkembangan dan kemajuannya di negara ini.

Pada masa yang sama, para penggiat atau karyawan keIslaman akan dapat terus menyumbang ke arah penyebaran dakwah Islamiah dan memperkukuh ikatan ummah serta memperkaya khazanah kesusasteraan Islam setempat.

Dalam konteks ini, pengiktirafan terhadap pencapaian kepada individu adalah juga merupakan tanda aras atau 'benchmark' dalam membuat penilaian hasil karya dalam sejarah perkembangan kesusasteraan sesebuah bangsa itu.
Sehubungan dengan ini, dengan titah perkenan Paduka Ayahanda, dan berasaskan sokongan Panel Penilai Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Baginda telah memperkenankan bagi:

Al-Marhum Paduka Nenda Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam, diiktiraf sebagai TOKOH SASTERAWAN ISLAM BRUNEI, dan

Al-Marhum Pengiran Shahbandar Mohd Salleh ibnu Pengiran Sharmayuda sebagai PELOPOR KESUSASTERAAN MODEN BRUNEI.

Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ibu Pejabat

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Jalan Perdana Menteri 
Bandar Seri Begawan BA 1511
Negara Brunei Darussalam

Tel: 2234085 / 2234087 / 2234530 / 2234531
Fax: 2234082 / 2234086