Text Size
Showcase 1
Showcase 2
Showcase 3

TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

DI MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA 'IDILFITRI ANJURAN YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

PADA HARI AHAD
5HB. SYAWAL 1424
(30HB. NOVEMBER, 2003)

BERTEMPAT DI DEWAN PLENARY, PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.

ASSALAMU 'ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

BISMILLAHIR RAHMAANIR RAHEEM
ALHAMDULILLAAHI RABBIL 'AALAMIEN, WABIHEE NASTA'EENU 'ALAA UMUURIDDUNYA WADDEEN, WASSALAATU WASSALAAMU 'ALAA ASYRAFIL MURSALEEN, SAYYIDINAA MUHAMMADIN, WA'ALAA AALIHEE WASAHBIHEE AJMA'EEN, WABA'DU.

Buat julung-julung kalinya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah mencetuskan satu idea untuk menyambut Hari Raya 'Idilfitri bersama-sama dengan golongan professional muda dari sektor kerajaan dan swasta. Idea ini Beta sifatkan sebagai bagus, yang patut diberikan pujian.

Perjumpaan diantara para professional mempunyai erti yang tersendiri untuk memupuk persefahaman dan mencari kesamaan semangat. Mereka adalah golongan yang sentiasa diharap untuk membantu perlaksanaan rancangan-rancangan pembangunan negara. Malah mereka jugalah merupakan penerus kepada kepimpinan untuk masa depan.

Mengimbas keadaan negara kita di zaman awal era kemerdekaan 20 tahun yang lalu, kita adalah masih kekurangan dibidang tenaga manusia yang berkelayakan, maksud Beta tenaga professional. Namun ini tidaklah melemahkan kita untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi bersama-sama dengan orang lain diarena serantau mahupun antarabangsa. Dengan tenaga yang kecil lagi kurang berpengalaman ini, Alhamdulillah kita juga turut mampu untuk meneroka jalan-jalan kemajuan sepertimana juga orang lain melakukannya.

Kini setelah 20 tahun merdeka, bilangan tenaga professional telahpun bertambah dengan begitu membanggakan. Dengan ini, sudah barang tentulah, dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang ini, mereka akan dapat membawa Negara Brunei Darussalam menikmati pertumbuhan-pertumbuhan yang lebih komprehensif diberbagai bidang. Ini, bukanlah andaian kosong, tetapi berdasarkan fakta dimana-mana juga tempat di dunia.

Bagi para professional muda khasnya perlulah memahami, bahawa keadaan tidaklah selamanya mantap, tidak pernah berubah. Perubahan biasanya datang tanpa memperdulikan sesiapa, samada ia baik untuk kita ataupun sebaliknya. Misalnya dalam dua dekat yang lalu, kita di negara ini juga telah tidak dapat lari dari turut merasakan bahang perubahan sosio-politik dan ekonomi serantau mahupun antarabangsa. Kita juga ikut mengalami kebimbangan apabila meletusnya krisis ekonomi dan kewangan di rantau ini beberapa tahun sebelum berakhirnya abad yang lalu.

Dari krisis tersebut, kita dapat menyaksikan keadaan sosio-politik yang tidak stabil dibeberapa buah negara, yang telah membangkitkan suasana tidak selamat atau tidak aman dikalangan mereka.

Semua ini, menjadi peringatan dan pelajaran yang berguna kepada kita, khasnya kepada para professional muda, agar melihat semua permasalahan itu dengan mata dan fikiran celik serta kewaspadaan yang tinggi.

Kita juga tidak boleh leka dari mengikuti perkembangan dunia yang begitu cepat, dengan kelajuan sains, teknologi dan komunikasi. Kemajuan ini secara drastic telah merubah sebahagian cara hidup dan juga beberapa tatacara, termasuk tatacara bekerja dan bertindak. Segala-galanya ini memberi kesan kepada kehidupan kita dalam keluarga dan juga kehidupan bernegara secara keseluruhan.

Oleh kerana kita tidak dapat menghindarkan diri daripadanya, maka mahu tidak mahu memerlukan kita mesti mempunyai persediaan, agar kita tidaklah hanyut begitu saja dibawa oleh arus perubahan globalisasi itu. Kita mesti punya pegangan untuk dipegang serta ada dasar untuk memandu kita mengikut hala-tuju.

Hala-tuju itu mungkin saja tidak sama dengan hala-tuju orang lain, kerana perbezaan-perbezaan ENVIRONMENT sosio-politik. Ini juga sangat mustahak diambil kira, bukan atas asas 'citarasa', tetapi prinsip yang sesuai yang selama ini menolong kita untuk mencapai kemakmuran dan keselamatan.

Dalam hubungan ini, ajaran Ugama Islam telah dikenalpasti menjadi 'SULUH KERAMAT' yang menyampaikan kita kepada cita-cita besar: Kehidupan sejahtera, adil lagi makmur serta aman damai.

Ugama ini telah menanam kepada bangsa kita segala nilai-nilai murni yang kita gunakan untuk mewujudkan masyarakat bersatu padu, yang ta'at kepada ketua, pemadulian, hormat menghormati serta pengasihan terhadap sesiapa yang patut dikasihani.

Ia telah menjadi ciri masyarakat kita, yang menjadikannya masyarakat tidak camah mata terhadap nasib orang lain yang memerlukan bantuan. Insya Allah, kita akan pertahankan ciri yang diredhai oleh Allah ini, dengan menghulurkan apa-apa yang patut kepada mereka yang layak dibantu, seperti mangsa-mangsa kejadian alam, anak-anak yatim dan lain-lain.

Selain untuk didalam, maka keperhatinan kita juga turut mengimbau keluar terhadap nasib malang orang-orang Islam di luar negara, seperti di Kampuchea, 'Iraq dan Palestin. Kita yakin, dengan derma-derma ikhlas ini, Allah Ta'ala akan mengantinya dengan kemakmuran yang berpanjangan lagi berlipatganda bagi negara kita, insya Allah.

Beta berharap, para professional muda akan dapat menyeluk hasrat ini, untuk bagaimana sama-sama dapat memberikan perkhidmatan sukarela dalam bentuk-bentuk yang sesuai dengan kepakaran masing-masing, tidak mestilah dalam bentuk matabenda, tetapi mungkin nasihat atau tunjuk-ajar bagi meningkatkan kemahiran atau menambah pendapatan masyarakat yang berhajat.

Dalam hal ini, Beta gembira, bahawa salah satu dari pendekatan untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk, maka Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah mengambil langkah menerusi perlaksanaan rancangan-rancangan dan projek-projeknya dengan membentuk perkongsian yang berkesan (effective partnership) dengan agensi kerajaan dan bukan kerajaan. Maka kearah ini, pada hemat Beta, para professional muda jika mereka mahu, boleh saja tampil menjadi STRATEGIC PARTNER kepada Yayasan Beta itu.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ibu Pejabat

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Jalan Perdana Menteri 
Bandar Seri Begawan BA 1511
Negara Brunei Darussalam

Tel: 2234085 / 2234087 / 2234530 / 2234531
Fax: 2234082 / 2234086