Text Size
Showcase 1
Showcase 2
Showcase 3

Semua projek dan aktiviti yang dikendalikan oleh Yayasan dalam bidang pendidikan menumpukan kepada usaha bagi mempertingkatkan dan memperkembangkan bidang pendidikan melalui penyediaan bantuan pendidikan dan penyelidikan serta menyediakan prasarana dan perkhidmatan pendidikan.

i. Bantuan Pendidikan

  • Bantuan Kewangan Bagi Meneruskan Pengajian ke Peringkat Tinggi
    • Bantuan kewangan ini adalah berbentuk sara hidup bulanan dan diberikan kepada penuntut-penuntut persendirian (tidak menerima dana atau biasiswa daripada kerajaan, swasta dan badan-badan lain) yang terdiri daripada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang berkelayakan untuk memberi peluang kepada mereka meneruskan pengajian dalam pelbagai bidang di universiti dan institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara yang diiktiraf oleh kerajaan. Bantuan ini bertujuan untuk melahirkan lebih ramai tenaga manusia yang terlatih dan berkemahiran bagi menyumbang kepada pembangunan negara.
  • Bantuan Peralatan dan Keperluan Sekolah
    • Bantuan peralatan dan keperluan persekolahan diberikan kepada para pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan pada setiap tahun iaitu sebelum menjelang penggal pertama persekolahan. Bantuan tersebut adalah seperti peralatan tulis, buku latihan, buku kerja, peralatan projek, pakaian seragam, yuran kenderaan dan yuran peperiksaan.
    • Sumbangan bantuan ini bertujuan bagi membantu dan memberi semangat kepada para pelajar di kalangan keluarga yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian mereka dengan sempurna, disamping meringankan beban perbelanjaan keluarga mereka dalam menyediakan keperluan sekolah.
    • Selain itu, bantuan ini juga diberikan kepada anak-anak dari keluarga yang ditimpa musibah bencana alam mengikut keperluan masing-masing.
  • Program Intervensi Pendidikan
    • Program ini bertujuan untuk membantu, membimbing dan memberi motivasi kepada anak-anak dari keluarga yang berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan untuk mempertingkatkan pencapaian pendidikan mereka bagi keperluan masa hadapan.
    • Projek pertama yang dikendalikan di bawah Program Intervensi Pendidikan ialah dengan memberikan kelas tuisyen dan bengkel motivasi pada hujung minggu. Projek ini dikendalikan dengan kerjasama para sukarelawan yang menyumbang khidmat selaku tenaga pengajar bagi kelas tuisyen.

ii. Projek Penyelidikan dan Perkembangan

  • Salah satu tujuan Yayasan dalam bidang pendidikan ialah memberikan bantuan ke atas penyelidikan dan perkembangan yang dijalankan oleh institusi pengajian tinggi dan agensi-agensi yang berkenaan bagi kepentingan kemajuan saintifik, teknologi dan kemasyarakatan.
  • Sultan Omar ´Ali Saifuddien Memorial Lecture misalnya adalah merupakan salah satu projek penyelidikan dan perkembangan yang dianjurkan oleh Yayasan dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam. Sultan Omar ´Ali Saifuddien Memorial Lecture ini menyediakan platform kepada pakar-pakar terkemuka dunia mengongsikan pemikiran dan pendapat mereka untuk dijadikan sumber keilmuan kepada rakyat di negara ini.

iii. "Sultan's Scholar"

Pengenalan

Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” adalah satu skim biasiswa khas yang ditawarkan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan, berkemahiran, berdisiplin, berbudi bahasa dan berhemah tinggi bagi kepentingan Ugama, Negara dan Raja dalam tempoh jangka masa panjang.

Tujuan Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar”
  • Memberi peransang serta dorongan kepada penuntut yang memperolehi kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan di Peringkat Lanjutan atau yang sebanding dengannya.
  • Mengetengahkan penuntut-penuntut yang berpotensi bagi mengikuti kursus-kursus yang diutamakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dari semasa ke semasa.
  • Memberi penghargaan ke atas kejayaan penuntut-penuntut tersebut dan juga akan dapat meningkatkan motivasi penuntut tersebut untuk terus berusaha dan belajar.
  • Meningkatkan lagi bilangan tenaga manusia di kalangan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang terlatih dan profesional bagi keperluan Negara Brunei Darussalam.
Syarat-Syarat Kelayakan

Penuntut-penuntut yang ditawarkan bagi mengikuti Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” ini mestilah memenuhi syarat-syarat kelayakan Khusus dan Am seperti berikut:

    • Syarat-Syarat Kelayakan Khusus:
      1. Rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
      2. Lulus sekurang-kurangnya tiga (3) mata-pelajaran yang bersesuaian dengan mendapat Gred A dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran Brunei Cambridge Peringkat Lanjutan atau yang sebanding dengannya. Kelulusan bagi semua matapelajaran berkenaan hendaklah diperolehi dalam sekali duduk peperiksaan sahaja.
      3. Lulus dengan cemerlang iaitu Gred A dalam semua matapelajaran termasuk Bahasa Melayu dan bahasa kedua seperti Bahasa Arab / Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran Brunei Cambridge Peringkat Biasa atau peringkat yang diiktiraf oleh Kerajaan yang sebanding dengannya.
      4. Lulus sekurang-kurangnya lapan (8) mata-pelajaran dengan mendapat pangkat Mumtaz dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Ugama. Kelulusan bagi semua matapelajaran berkenaan hendaklah diperolehi dalam sekali duduk sahaja.
      5. Lulus dengan mendapat pangkat Mumtaz dalam matapelajaran Bahasa Melayu dan bahasa kedua seperti Bahasa Arab dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama.
      6. Telah mendapat tempat atau diterima masuk di mana-mana universiti dalam 5 senarai universiti teratas di United Kingdom.

Syarat-syarat kelayakan adalah bagi melanjutkan kursus Ijazah Pertama dalam bidang Sains dan Kejuruteraan; Teknologi; Bidang Perubatan; Bidang Ekonomi dan Kewangan; Bidang Sosial Sains dan Kesenian; dan Pengajian Ugama Islam.

  • Syarat-Syarat Kelayakan Am:
    1. Mempunyai rekod sekolah yang cemerlang
    2. Aktif dalam kegiatan sekolah atau luar sekolah termasuk aktiviti persekolahan, kelakuan dan keperibadian yang cemerlang.
    3. Mempunyai kecemerlangan dan ketekunan dalam penghayatan Konsep Melayu Islam Beraja.
    4. Diterima masuk oleh Institusi Pengajian Tinggi yang diiktiraf oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
    5. Bersih dalam tapisan dan tidak terlibat dalam politik, menyeleweng dari Ahli Sunnah Wal Jamaah dan disahkan sihat dalam pemeriksaan kesihatan.
Penganugerahan “Sultan’s Scholar”

Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” ditawarkan kepada penuntut-penuntut terpilih yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Peringkat Lanjutan atau yang sebanding dengannya bagi mengikuti kursus peringkat Ijazah Pertama di Universiti yang berprestij dan dikenal pasti oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan diiktiraf oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Elaun / Kemudahan

Berbagai kemudahan diberikan kepada penuntut-penuntut yang berjaya mengikuti Skim Biasiswa “Sultan’s Scholar” ini, seperti:

  • Bayaran pengajian
  • Tambang penerbangan
  • Elaun sara hidup bulanan, elaun perjalanan dan elaun rumah
  • Elaun buku
  • Elaun “Dissertation”/Projek
  • Jubah siswazah
  • Pengiriman barang-barang persendirian
  • Lain-lain elaun; elaun pakaian, elaun “settling” khas, elaun alat-alat pembelajaran, elaun lawatan pendidikan dan wang simpanan.

Maklumat Lanjut:
Bahagian Pendidikan
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Tingkat 3,
Kompleks Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Bandar Seri Begawan BS8711
Tel: 2232731/2/3/4 Fax: 2232747
Emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

iv. Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah

Penubuhan Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang terdiri daripada Taman Asuhan Kanak-Kanak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah merupakan penglibatan Yayasan dalam menawarkan perkhidmatan pendidikan bagi memberi sumbangan kepada perkembangan pendidikan dan tenaga manusia di Negara Brunei Darussalam.

Ibu Pejabat

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Jalan Kumbang Pasang
Bandar Seri Begawan BA 1511
Negara Brunei Darussalam

Tel: 2234085 / 2234087 / 2234530 / 2234531
Fax: 2234082 / 2234086