Pada 16 Syaaban 1445 bersamaan 26 Februari 2024, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan keseluruhannya berjumlah BND86,300.00 kepada sejumlah enam buah keluarga yang terlibat dalam kebakaran dan rumah roboh; dan juga kepada sebanyak 73 buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara. Majlis penyampaian sumbangan diadakan di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Sumbangan-sumbangan yang disampaikan adalah seperti berikut:

1.  Sumbangan kepada Masjid, Surau dan Balai Ibadat

Dalam usaha menyokong peranan masjid untuk meningkatkan dan mengembangkan syiar Islam, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah memberikan bantuan dan sumbangan kepada sebahagian masjid, surau dan balai-ibadat di seluruh negara bagi mengadakan majlis dan aktiviti takmir masjid, surau dan balai-ibadat. 

Hari ini sebanyak 73 buah masjid, surau dan balai ibadah di seluruh negara menerima sumbangan yang keseluruhannya berjumlah BND78,500.00 bagi mengadakan majlis dan aktiviti takmir khususnya bagi sepanjang bulan Ramadan 1445 Hijrah yang akan datang.  

Bagi masjid, surau dan balai ibadah di Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Tutong, sumbangan kewangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Bagi Daerah Belait dan Daerah Temburong pula, sumbangan kewangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. 

Sumbangan tersebut telah diserahkan kepada imam-imam dan pegawai-pegawai masjid berkenaan.

2.  Sumbangan Mangsa Rumah Roboh dan Kebakaran

Selaras dengan dasar penubuhannya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah terus melaksanakan aktiviti kebajikan khususnya membantu mereka yang sangat memerlukannya.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan sumbangan kewangan keseluruhannya berjumlah BND7,800.00 kepada enam buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah dan rumah roboh di beberapa buah kampung di seluruh negara.

Musibah Rumah Roboh

  1. Awang Ainul Iqmal bin Murni, Kampong Simbatang
  2. Awang Mohd Firdaus bin Murni, Kampong Simbatang

Musibah Kebakaran

  1. Awang Shahliyas bin Haji Sulaiman, Kampong Bolkiah ‘A’
  2. Pengiran Hamdani bin Pengiran Duraman, Kampong Serusop
  3. Dayang Hajah Noraini binti Haji Bini, Kampong Serusop
  4. Dayang Siti Nuratikah binti Jalil, Kampong Serusop

Sumbangan ini merupakan bantuan segera dihasratkan bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan harian mereka.

Sumbangan kewangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah tersebut disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Hadir sama di majlis ini ialah Yang Mulia Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman, Penolong Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Turut hadir di majlis ini ialah Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan yang berkenaan serta pegawai-pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.