2015-06-24-AIPC-01

Pada hari Rabu, 6 Ramadan 1436H bersamaan 24 Jun 2015M, Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (DANA) mengadakan Majlis Penyampaian Anugerah Insentif Pelajar Cemerlang Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim 2015 (AIPC-DANA 2015) dan Majlis Penerimaan Sumbangan Hasil Kutipan 'SMS' Brunei Prihatin Bagi Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (DANA) Tahun 2014 - 2015 bertempat di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Awang Ahmad Rithauddin bin Haji Sabtu, Pegawai Tugas-Tugas Khas Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif DANA (Chief Executive Officer of DANA).

2015-06-24-AIPC-02

Penerimaan Sumbangan Hasil Kutipan SMS Brunei Prihatin Bagi DANA Tahun 2014 – 2015

Majlis diteruskan dengan penerimaan sumbangan hasil kutipan daripada SMS Brunei Prihatin Bagi DANA Tahun 2014 – 2015 yang telah berjaya membuat kutipan dari orang ramai sebanyak B$79,629.00 (Ringgit Brunei: Tujuh Puluh Sembilan Ribu Enam Ratus dan Dua Puluh Sembilan Sahaja). Projek tersebut berjalan selama 72 hari bermula dari 1 Disember 2014 hingga 10 Februari 2015.

Dua buah syarikat telekomunikasi iaitu Syarikat Kumpulan DST dan Syarikat Progresif Cellular Sdn Bhd memberi kemudahan perkhidmatan SMS kepada para penyumbang yang membuat sumbangan kepada DANA. Manakala Jabatan Radio dan Televisyen Brunei (RTB) bertindak sebagai penyalur maklumat kepada orang ramai melalui rangkaian radio dan televisyen RTB. Selain promo SMS ditayangkan di RTB, promo tersebut juga ditayangkan di pawagam iaitu The Mall Cineplex, Seri Q-lap Cineplex, Plaza Sutera Biru dan Times Cineplex.

Sebahagian daripada jumlah tersebut iaitu sebanyak B$58,847.00 (Ringgit Brunei: Lima Puluh Lapan Ribu Lapan Ratus dan Empat Puluh Tujuh Sahaja) berjaya dikutip melalui Syarikat Kumpulan DST dan disampaikan oleh Awang Abdul Latiff bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Yusof, Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Kumpulan DST manakala sebahagiannya pula iaitu sebanyak B$20,782.00 (Ringgit Brunei: Dua Puluh Ribu Tujuh Ratus dan Lapan Puluh Dua Sahaja) berjaya dikutip melalui Syarikat Progresif Cellular Sdn Bhd dan disampaikan oleh Awang Haji Abu Bakar bin Ibrahim, Pengerusi Syarikat Progresif Cellular Sdn Bhd.

Kedua-dua sumbangan daripada Syarikat Kumpulan DST dan Syarikat Progresif Cellular Sdn Bhd diterima oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (Chairman of the Board of Trustees of DANA).

2015-06-24-AIPC-03

2015-06-24-AIPC-04

Penerimaan Sumbangan Untuk DANA Dari Penyumbang-Penyumbang

Majlis diikuti dengan penerimaan sumbangan kepada DANA yang keseluruhannya berjumlah sebanyak B$60,380.02 (Ringgit Brunei: Enam Puluh Ribu Tiga Ratus Lapan Puluh dan Dua Sen Sahaja) daripada lapan (8) pihak penyumbang iaitu:

1. Syarikat Kumpulan DST menyumbangkan sumbangan tahunan sebanyak B$20,000.00 (Ringgit Brunei: Dua Puluh Ribu Sahaja). Sumbangan daripada Syarikat Kumpulan DST itu disampaikan oleh Awang Abdul Latiff bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Yusof, Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Kumpulan DST.

2. Syarikat Progresif Cellular Sdn Bhd menyampaikan sumbangan hasil kutipan Tabung Dana Syarikat Progresif Cellular Sdn. Bhd. sebanyak B$7,107.02 (Ringgit Brunei: Tujuh Ribu Seratus Tujuh dan Dua Sen Sahaja). Sumbangan ini disampaikan oleh Awang Haji Abu Bakar bin Ibrahim, Pengerusi Syarikat Progresif Cellular Sdn Bhd.

3. Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) menyampaikan sumbangan hasil kutipan acara 'Karnival Amal' yang telah diadakan pada bulan Mac 2015 iaitu sebanyak B$24,123.00 (Ringgit Brunei: Dua Puluh Empat Ribu Seratus Dua Puluh Tiga Sahaja) Sumbangan ini disampaikan oleh Dr. Haji Hambali bin Haji Jaili, Dekan Pelajar KUPU SB.

2015-06-24-AIPC-05

4. Sekolah St. George menyampaikan sumbangan hasil kutipan acara 'Walkathon' yang telah diadakan pada 14 Jun 2015 yang lalu iaitu sebanyak B$1,150.00 (Ringgit Brunei: Seribu Seratus dan Lima Puluh Sahaja). Sumbangan ini disampaikan oleh Awang Janidi bin Jingan, Pengetua Sekolah St. George.

5. Syarikat Perniagaan Malar Setia Sdn Bhd menyumbangkan sebanyak B$3,000.00 (Ringgit Brunei: Tiga Ribu Sahaja) yang disampaikan oleh Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Metasim, Pengarah Urusan Syarikat Perniagaan Malar Setia Sdn Bhd.

6. Syarikat Foundation Contractor & Engineering Sdn Bhd memberikan sumbangan sebanyak B$3,000.00 (Ringgit Brunei: Tiga Ribu Sahaja) yang disampaikan oleh Dayang Norfaizah binti Omar, wakil syarikat.

7. Syarikat TSM Motor Sdn Bhd menyumbangkan sebanyak B$1,000.00 (Ringgit Brunei: Seribu Sahaja) yang disampaikan oleh Awang Peter Sii, wakil syarikat.

8. Syarikat Goldmax Sdn Bhd menyerahkan sumbangan sebanyak B$1,000.00 (Ringgit Brunei: Seribu Sahaja) yang disampaikan oleh Awang Png Kheng Huat, wakil syarikat.

Penyampaian Anugerah Insentif Pelajar Cemerlang DANA 2015 (AIPC-DANA 2015)

Pada tahun ini, seramai lima belas (15) orang pelajar yang terdiri dari anak yatim yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam tahun 2014 telah dipilih untuk menerima Anugerah Insentif Pelajar Cemerlang DANA 2015 (AIPC-DANA 2015). Pelajar-pelajar yang menerima anugerah tersebut adalah seperti berikut:

2015-06-24-AIPC-06

1. Bagi Peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB), penerima akan menerima 1 sijil penghargaan, 1 unit komputer berserta mesin pencetak, dan juga pakej kemudahan belajar selama 2 tahun dalam bentuk wang tunai bernilai B$760.00. Penerimanya ialah Dayang Nor Suziyani binti Abdullah.

2. Bagi Peperiksaan Brunei Cambridge GCE 'O' Level, setiap seorang menerima 1 sijil penghargaan, 1 unit komputer berserta mesin pencetak, dan juga pakej kemudahan belajar selama 2 tahun dalam berbentuk wang tunai bernilai B$760.00. Penerimanya ialah
• Dayang Chua Yee Ling;
• Dayang Nur Qistina Masturina binti Awang Mahali;
• Awang Muhamad Asna Syahruni bin Haji Othman; dan
• Dayang Vanessa Deba Anak Duwat.

3. Bagi Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR), setiap seorang menerima 1 sijil penghargaan, 1 unit komputer berserta mesin pencetak, dan juga pakej kemudahan belajar selama 2 tahun dalam bentuk wang tunai bernilai B$400.00. Penerimanya ialah
• Dayang Nurhanisah Batrisyia binti Haji Azalani;
• Dayang Nur Azmina binti Mohammad Sabree;
• Dayang Nurul Aimi Syahirah binti Abdullah Sunadi;
• Ampuan Amiira Farahiyah binti Ampuan Haji Mohamad;
• Awang Aziz Rifaee bin Haji Rozaime; dan
• Dayang Normadiah binti Abdullah.

4. Bagi Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama Darjah 6 (SSSRU), setiap seorang menerima 1 sijil penghargaan, 1 unit komputer berserta mesin pencetak, dan juga wang simpanan sebanyak B$500.00 yang dikreditkan terus ke Akaun DANA masing-masing di Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei. Penerimanya ialah
• Dayang Nilam Sari binti Abdullah;
• Dayang Aminah @ Siti Aminha Saleha binti Haji Mohd Salleh;
• Dayangku Nur'ul Faizatul Rashidah binti Pengiran Johari; dan
• Awangku Mohamad Nur Amirul Hisam bin Pengiran Ismail.

Anugerah Insentif Pelajar Cemerlang DANA pada tahun ini adalah merupakan kali ke-8 ianya diadakan yang mana tujuan utama mengadakan anugerah ini adalah sebagai pendorong kepada anak-anak yatim untuk menghargai kepentingan pendidikan dan sebagai penyuntik semangat dan galakan kepada mereka untuk terus berusaha bagi meraih kejayaan khususnya dalam bidang pelajaran.

Majlis Penyampaian Anugerah Insentif Pelajar Cemerlang DANA 2015 (AIPC-DANA 2015) ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim.

Turut hadir dimajlis ini ialah Pengarah Radio dan Televisyen Brunei, pegawai-pegawai kanan Radio dan Televisyen Brunei, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, serta pegawai-pegawai dari DST Group dan Syarikat Progresif Cellular Sdn. Bhd, dan para penyumbang DANA.

2015-06-24-AIPC-07

2015-06-24-AIPC-08